Sunday, January 8, 2012

di hempap pokok

Wanita maut dihempap pokok



BEBERAPA anggota saudara mara mententeramkan keluarga terdekat Sintayana Abas di luar bilik mayat Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, semalam.



JOHOR BAHRU 7 Jan. – Seorang wanita maut manakala teman lelakinya parah apabila kereta mereka dihempap sebatang dahan pokok tembusu yang tiba-tiba patah di persimpangan Jalan Gertak Merah dan Jalan Dato' Menteri di sini hari ini.
Mangsa, Sintayana Abas, 25, dan temannya yang hanya dikenali sebagai Farhan berusia 25 tahun terlibat dalam insiden itu ketika kereta Proton Saga berwarna merah dipandu lelaki terbabit melalui jalan tersebut pada pukul 3.30 petang.
Sintayana yang merupakan seorang penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pontian maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan di kepala manakala Farhan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Mayat Sintayana yang merupakan anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik kini ditempatkan di Bilik Mayat HSA dan akan dibedah siasat esok sebelum jenazahnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aping, Kota Tinggi, dekat sini.
Menurut kakaknya, Kartini, 28, adiknya yang mengambil kursus jahitan di IKBN sebelum itu bercuti selama tiga hari di rumah keluarganya di Felda Bukit Aping, Kota Tinggi dan ingin pulang ke asrama.
Tambahnya, adiknya itu diambil oleh teman lelakinya hari ini dipercayai untuk menghantarnya ke IKBN Pontian.
“Saya mulanya tidak percaya dengan berita yang diberitahu kerana Sintayana sebelum ini kehilangan kad pengenalan. Apabila diberitahu bersama Farhan baharu saya percaya.
“Perubahan dirinya adalah ketika cuti penggal selama sebulan lalu, dia telah mengunjungi semua adik-beradik yang lain termasuk dua kakak di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di rumah mayat di HSA di sini.
Ibu mangsa, Tuminah Abu Yamin, 56, turut terkejut kerana kejadian itu berlaku tanpa disangka-sangka kerana selama bercuti Sintayana langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Saya tidak sangka dia yang muda akan pergi tinggalkan kami. Bagaimanapun saya reda dengan pemergiannya,” ujarnya dengan linangan air mata sambil ditenangkan anaknya.
Tinjauan Mingguan Malaysia di tempat kejadian mendapati, anggota Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) dengan bantuan unit khas pihak berkuasa tempatan itu giat membersihkan kawasan sekitar mengalihkan dahan pokok tersebut.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut (SDR).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil memberi bantuan dengan menghubungi pihak polis di balai berdekatan,” ujarnya.




Gadis maut dihempap pokok
SITI NOOR SEPEE
January 8, 2012
gadis dihempap pokok
JOHOR BAHRU - Seorang gadis maut selepas kereta dinaiki bersama rakan lelakinya dihempap sebatang pokok dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, di Persimpangan Jalan Gertak Merah-Jalan Dato’ Menteri, di sini, semalam.

Mangsa, Sintayana Abas, 25, yang juga pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pontian, dipercayai dalam perjalanan dari Plaza Larkin Sentral untuk ke institut kemahiran berkenaan selepas pulang dari rumah keluarganya.

Ibu mangsa, Tuminah Abu Yamin berkata, anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu pulang ke rumahnya di Felda Bukit Aping, Kota Tinggi kerana bercuti dan tidak menyangka tragedi itu menimpa anaknya.

“Makcik mendapat panggilan daripada kakaknya, Kartini Abas, memaklumkan Sintayana kemalangan.

“Namun ketika itu, dia tidak memaklumkan bahawa adiknya itu telah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum bertolak dari rumah, mangsa ada memberitahu, rakan lelakinya yang dikenali sebagai Farhan akan menghantarnya ke tempat dia belajar, sejurus tiba ke Johor Bahru dengan menaiki bas.

“Mereka (Sintayana dan Farhan) memang sudah lama berkawan, malah dia pernah memaklumkan saya dan ayahnya, Abas Jantan, untuk berkahwin selepas tamat belajar,” katanya.

Sementara itu, Kartini ketika ditemui berkata, mangsa sempat pergi ke rumah semua adik-beradiknya termasuk yang tinggal di Kuala Lumpur ketika dia bercuti baru- baru ini.

“Saya orang pertama yang mendapat berita tentang kematian Sintayana daripada rakan sekampung.

“Rakan berkenaan mengetahuinya daripada seorang saudara yang tinggal di sini. Saya yang mendapat tahu berita itu terus menghubungi ibu termasuk ahli keluarga lain,” katanya.

Jenazah akan dikebumikan di tanah Perkuburan Felda Bukit Aping, Kota Tinggi, manakala Farhan yang cedera parah di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Zai­nuddin Yaacob mengesahkan kejadian terbabit dan mengklasifikasikannya sebagai kes mati mengejut (SDR).

Orang ramai atau saksi kejadian kemalangan terbabit diminta untuk menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment