Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Saturday, January 1, 2011
Xsempat Sekolah
‘Tak sabar nak sekolah’
Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
SEBAK...Norlida yang cedera di kaki hiba terkenang arwah anaknya.
JEMPOL: “Dia begitu bersemangat dan beritahu tidak sabar untuk mula bersekolah dan berulang kali mencuba pakaian sekolah baru yang dibeli, selain mengemas beg sekolahnya,” kata Norlida Khalid, 39, mengenai anaknya, Siti Nurzulaihah Mohd Zaidi, 6, yang maut apabila dirempuh dua motosikal dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Bahau-Juasseh di sini, malam kelmarin.
Insiden menyayat hati berkenaan sekali gus memusnahkan impian dan harapan kanak-kanak itu yang sepatutnya dijadualkan mendaftar di sebuah sekolah rendah di daerah ini, semalam.
Menceritakan detik tragis kira-kira jam 11.15 malam itu, Norlida berkata, dia yang menunggang Honda EX5 bersama anaknya itu mahu pulang ke rumah mereka di Kampung Kuala Jempol di sini.
“Kami berdua dan seorang rakan saya yang menunggang motosikal berasingan ketika itu baru selesai menjamu selera di restoran berdekatan untuk memenuhi keinginan Nurzulaihah yang beria-ia mengajak keluar makan bihun sup.
“Sewaktu perjalanan pulang, saya tersentak apabila sebuah motosikal tidak berlampu ditunggang laju dari arah belakang tiba-tiba mencelah di antara motosikal kami hingga berlaku pergeseran dengan motosikal saya.
“Pergeseran itu menyebabkan kami terjatuh di atas jalan dan penglihatan saya turut menjadi kabur. Tidak lama kemudian, rakan memberitahu Nurzulaihah yang ketika itu berdiri untuk mencari saya sambil menangis turut dirempuh sebuah motosikal lain hingga tercampak agak jauh,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Felda Pasoh 1, di sini, semalam. Menurut ibu kepada lima anak itu, dia yang patah kaki kiri menggagahkan diri pergi ke arah anaknya yang terbaring di tengah jalan lalu memangku kepala sambil memanggil namanya, namun tiada sahutan dan tidak menunjukkan sebarang reaksi.
“Pada waktu itu terdetik kuat mengatakan Nurzulaihah sudah meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya,” katanya yang gagal menahan sebak.
Harian Metro difahamkan kanak-kanak malang itu tercampak hampir 10 meter akibat rempuhan kedua berkenaan dan maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala, badan dan kaki.
Katanya, dia dan lima anaknya menetap sementara di Felda Pasoh 1 untuk menemani serta menjaga ibunya yang kurang sihat selepas kematian bapanya, Khalid Ujang, 70-an, kira-kira tiga minggu lalu.
“Namun semalam (kelmarin), anak saya itu bersungguh-sungguh mengajak saya pulang ke rumah kami kerana tidak mahu terlewat untuk mendaftarkan diri di sekolah pada hari ini (semalam),” katanya.
Menurutnya, pada hari kejadian, anak keempat daripada lima beradik yang lebih banyak tersenyum dilihat turut amat berselera untuk makan berbanding biasa.
“Dia yang agak sukar menghabiskan makanan, makan tiga pinggan nasi sebelum disusuli beberapa keping roti potong. Sebelum kejadian, dia turut memakan bihun sup dan minuman sehingga habis,” katanya.
Katanya, lebih menyedihkan Nurzulaihah sempat memberitahu mahu pergi mengikut arwah datuknya, namun tiada siapa mengambil perhatian apa yang dicakapkannya itu.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Zaidi Mohamad, 39, berkata dia ketika itu tiada di rumah kerana bekerja sebagai pemandu kren di Kuala lumpur.
“Kejadian ini sememangnya mengejutkan kami sekeluarga, namun saya tetap reda dengan ketentuan Allah swt yang ternyata lebih menyayanginya,” katanya.
Selain Nurzulaihah, pasangan berkenaan mempunyai empat anak lain iaitu Mohd Rafzanani, 16; Mohd Hafizuddin, 14; Nurhidayatul Husna, 11, dan Siti Nurabihah, 2.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasoh 1, petang semalam.
Sementara itu, jurucakap polis berkata siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan itu membabitkan tiga motosikal lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment