Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Wednesday, January 19, 2011
Hilang
Hilang bersama 2 kereta mewah
Oleh KAMARDIN HAMZAH
pengarang@utusan.com.my
Rozimi Ismail bersama anak-anak menunjukkan gambar Yusaini Mohamad (gambar kecil) yang hilang ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur di Kampung Pengkalan Kubur Tembila, Besut, Terengganu, semalam.
BESUT 18 Jan. – Seorang pemandu lori, Yusaini Mohamad sepatutnya membawa dua buah kenderaan mewah jenis Mercedes-Benz milik syarikat Kumpulan Naza yang baru siap dipasang di Kuantan, Pahang ke ibu negara.
Malah, dia sempat menghubungi isterinya, memaklumkan dia hampir tiba di Kuantan, Jumaat lalu sebelum mengambil dua kenderaan tersebut.
Bagaimanapun, Yusaini, 37, yang sepatutnya tiba di ibu negara sehari kemudian gagal dikesan, bukan sahaja oleh isterinya, malah syarikat pengangkutan Naza Transport, tempat dia bekerja.
Kehilangan bapa kepada empat orang anak berusia antara 3 hingga 9 tahun itu jelas sekali membimbangkan isterinya, Rozimi Ismail, 33.
Menurut Rozimi, dia mulai cemas apabila rakan suami menghubunginya awal pagi semalam memberitahu lori yang dibawa Yusaini tersadai tanpa muatan di tepi jalan Kampung Paya Pasir di Maran, Pahang.
“Rakan suami saya memberitahu, Yusaini tiada di situ, begitu juga dua buah kereta Mercedes yang diangkut, tiada di atas lori. Lalu saya cuba menghubungi suami berkali-kali tetapi gagal.
“Saya bimbang kerana suami saya tidak pernah pernah mematikan telefon bimbitnya dan walaupun betapa sibuk, sekurang-kurangnya dalam sehari dia pasti akan hubungi saya sekali,” kata Rozimi.
Menurutnya, sebelum pergi ke Kuantan Jumaat lalu, suaminya yang memandu dari Gurun, Kedah, sempat singgah di rumah mereka di Kampung Pengkalan Kubor Tembila dekat sini.
“Sampai di rumah, dia tidak turun lori kerana ingin terus ke Kuantan, cuma menghulurkan sehelai baju untuk dibasuh dan mendukung anak bongsu kami, Mohd. Syabil.
“Saya dimaklumkan, dia akan mengambil dua buah kenderaan di Kuantan dan sepatutnya sampai di Kuala Lumpur pada hari Sabtu. Semalam, dia sepatutnya menghantar kenderaan itu di premis Naza di Klang, Selangor,” jelasnya.
Berikutan kehilangan Yusaini itu, Rozimi membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja di sini semalam selain mengadakan solat hajat malam tadi bagi memohon keselamatan suaminya yang bekerja dengan syarikat itu sejak dua tahun lalu.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment