Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Monday, January 24, 2011
Akibat Ragut
Derita mangsa ragut berpanjangan
Hasliza Harun (dua dari kanan) bersama anggota Mayang Parlimen Baling melawat Haslinda Lahmin di rumahnya di Kampung Sera, Baling, Kedah, semalam.
BALING 23 Jan. - Seorang gadis, Haslinda Lahmin, 20, terpaksa menanggung penderitaan sepanjang hayat akibat perbuatan keji kejadian jenayah ragut yang dilaluinya sejak tiga tahun lalu.
Dia bukan sahaja terpaksa menggunakan besi di dalam kaki kanannya malah dia hampir hilang suara akibat kejadian itu.
Lebih menyedihkan akibat kejadian berkenaan kegembiraan menikmati zaman gadisnya tidak lagi bermakna apabila dia terpaksa memakai saluran paip pada leher selepas mengalami gangguan pernafasan.
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sera Mukim Pulai dekat sini, Haslinda kini hanya mampu meniti hari-hari penderitaan akibat perbuatan jahat pihak tidak bertanggungjawab.
Haslinda anak ketiga daripada enam beradik itu mengalami nasib malang selepas dia diragut ketika menunggang motosikal bersama adiknya, Nurul Faezah, 17, pada 20 Ogos 2008 di Jalan Weng dekat sini menyebabkan dia kehilangan wang tunai, dokumen pengenalan diri, telefon dan turut menyebabkan kakinya cedera parah dan terpaksa menggunakan besi.
Dalam kejadian itu, dia terjatuh selepas diragut dan kemudiannya dilanggar pula oleh sebuah kereta. Peragut itu pula berjaya melarikan diri.
Kini gadis itu terpaksa menggunakan alat sokongan untuk bergerak.
"Kerana perbuatan itu anak saya kini menderita selepas kakinya patah dan terpaksa menggunakan besi manakala suaranya hampir hilang," kata bapanya Lahmin Che Din, 59, ketika ditemui rumahnya di sini hari ini.
Menurutnya, Haslinda juga sudah lapan kali berulang alik ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan susulan.
Lebih malang, Haslinda yang sebelum ini menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan tiba-tiba hilang sumber kewangan itu kerana dihentikan bantuan tanpa sebab oleh pihak berkenaan sehingga hari ini.
Keadaan itu menyempitkan lagi hidupnya kerana Lahmin hanya bekerja kampung manakala ibunya, Robiah Senawi,63, adalah suri rumah.
Lahmin berkata, anaknya hanya sempat menikmati bantuan JKM itu selama empat bulan sahaja.
Haslinda bagaimanapun menyatakan hasrat untuk berdikari dengan berminat untuk menjalani kursus menjahit bagi menambah pengetahuan sebagai orang kurang upaya (OKU).
Penderitaan yang dilalui Haslinda ini turut menyebabkan Majlis Kebajikan Masyarakat Penyayang (Mayang) Parlimen Baling sentiasa memberi perhatian kepada gadis ini.
Timbalan Pengerusinya, Hasliza Harun berkata, pihaknya sentiasa prihatin dengan nasib gadis itu dan bersedia membantu memenuhi keperluan termasuk berusaha mendapatkan kelas atau kemahiran yang diperlukannya.
"Kita sentiasa memberi perhatian terhadap nasib Haslinda yang mengalami penderitaan itu," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment