Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Thursday, January 20, 2011
Cinta Lanjut
Cinta di hujung usia
Oleh ZUHAYATI YAZID
Gambar AZMAN MD. NOOR
Md. Yusof Jamaluddin dan Khalijah Ahmad ketika 'disatukan' dalam majlis serba sederhana di kelilingi keluarga, anak dan cucu masing-masing.
PERASAAN kasih, sayang dan cinta merupakan anugerah Tuhan paling istimewa untuk makhluknya bergelar manusia.
Sememangnya alam percintaan amat mengasyikkan tanpa mengenal sempadan usia, bangsa mahupun warna kulit. Ia bermula dari hati, timbul perasaan sayang lalu membuahkan rasa cinta.
Hakikatnya, alam percintaan bukan milik mutlak orang muda, malah mereka berusia juga masih berhak untuk bercinta dan dicintai.
Bezanya perasaan cinta golongan ini lebih halus disulami dengan perasaan saling ingin menemani, menjaga serta berkongsi suka dan duka seiring dengan kebijaksanaan dan pengalaman yang dimiliki sebagai 'orang tua yang lebih makan garam'.
Bagi golongan ini, cetusan rasa cinta yang lahir lebih kepada kemahuan untuk berteman dan bukannya tuntutan seksual semata-mata.
Rata-rata ramai di kalangan golongan warga emas memilih pasangan mereka yang seusia untuk menzahirkan perasaan kasih sesama insan. Kehadiran pasangan dijadikan tempat untuk meluahkan bicara dan berkongsi cerita.
Ini terbukti bagi pasangan Md. Yusof Jamaluddin, 73, dan Khalijah Ahmad, 60, dari Baling, Kedah, yang mana gurauan rakan-rakan dan saudara-mara terdekat membuatkan hati mereka terbuka untuk berkahwin lagi biarpun pada usia emas.
Md. Yusof yang tinggal di Kampung Haji Abas, Mukim Bongor, memberitahu, dia hidup menduda selama lima tahun apabila isterinya, Che Don Zakaria meninggal dunia kerana menghidap kanser usus.
Sejak dari itu, hidupnya kesepian kerana sudah tiada tempat untuk mencurahkan kasih sayang memandangkan anak-anaknya sudah besar dan masing-masing mempunyai keluarga sendiri.
Dia yang ketika itu tinggal bersama salah seorang anaknya, Norita Md. Yusof, 24, mulanya tidak pernah terfikir untuk berkahwin semula, tetapi kerana jodoh yang telah tertulis, hatinya terbuka lagi untuk berkahwin.
Bagi perkahwinan kali kedua ini, dia memilih Khalijah yang tinggal di Kampung Nering, kira-kira dua kilometer dari rumahnya.
Md. Yusof yang juga ketua tukang masak pakatan kenduri di kampung itu memberitahu, dia dan Khalijah hanya bertunang selama seminggu sebelum diijabkabulkan oleh Imam Masjid Sultanah Bahiyyah, Tajuddin Man, pada 21 Disember tahun lalu.
"Memang pak cik tidak sangka walaupun usia sudah lanjut tetapi masih bertemu jodoh. Syukur pada Tuhan saya ditemukan dengan jodoh yang baik yang boleh berada di sisi saya pada waktu sihat dan sakit,'' ujarnya yang menyifatkan perkahwinan itu sebagai rezeki di hari tua.
Ceritanya, selepas berkahwin hidupnya kini semakin gembira kerana sudah ada 'teman' untuk mengadu dan berkongsi cerita.
Lebih menggembirakan hatinya, kesemua anak-anaknya tidak menghalang dan bersetuju dia berkahwin sambil menyatakan kesediaan untuk menerima kehadiran ibu baru dalam hidup mereka.
Melalui perkahwinan lalu, dia dikurniakan lima anak serta sembilan cucu hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya.
Md. Yusof juga tidak bersetuju dengan pandangan bahawa apabila orang tua ingin berkahwin kerana menurut tuntutan nafsu.
Sebaliknya ia lebih kepada keperluan untuk mencari teman berbual dan berkongsi cerita.
"Sekurang-kurangnya sakit pening kita ada isteri yang boleh tengokkan. Lagipun tak seronoklah kalau asyik nak menyusahkan anak-anak," katanya lembut.
Sementara itu isterinya, Khalijah pula berkata, dia menganggap perkahwinan kali ini sebagai satu ibadah dan berjanji menjadi isteri yang baik kepada suami serta kesemua anak-anak mereka.
''Sekarang ini keluarga bertambah besar dengan kehadiran anak-anak dan juga cucu baru,'' ujarnya yang menjanda selepas kematian suaminya, Shaari Abd. Wahab.
Kata Khalijah lagi, selepas menjanda hidupnya lebih tertumpu pada anak-anak dan tidak terfikir untuk berkahwin lagi.
Namun selepas hampir dua tahun barulah terdetik hati untuk berkahwin semula.
Ditanya mengenai kehidupan baru sekarang, Khalijah menjelaskan dia berasa seronok kerana mempunyai teman hidup baru.
''Sekurang-kurang selepas ini saya ada teman untuk berkongsi cerita, kalau sebelum ini anak-anak tempat saya meluahkan perasaan kini bolehlah bercerita dengan suami pula,'' ujarnya tersenyum.
Ditanya bagaimana mereka boleh berkenalan sebelum berkahwin, jelas Khalijah mereka berkenalan ketika sama-sama mendengar kuliah mingguan di masjid yang berdekatan dengan rumahnya.
Sementara itu, di New York, Amerika Syarikat lain pula ceritanya apabila sepasang warga emas menemui cinta menerusi laman sosial Facebook.
Kedua-dua mereka, Barbara Moore, 77, dan Laurence Brocklesby, 82, berkenalan melalui skrin komputer itu sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
Moore yang merupakan bekas jururawat di bahagian kanak-kanak di sebuah Hospital di negara itu dikatakan tertarik dengan profil Brocklesby yang terpapar di laman sosial tersebut.
Bermula dengan meminta tip-tip mengenai berkebun daripada Brocklesby, pasangan itu akhirnya berbual dalam talian dan telefon selama beberapa jam setiap hari.
"Kami berbual tentang semua perkara. Sungguh mengagumkan bahawa kami mempunyai banyak persamaan dan lebih terbuka apabila berbual di Internet," kata Moore.
Pasangan itu juga meneliti profil gambar masing-masing di laman Facebook supaya dapat tahu apa yang ingin dijangkakan.
Selepas tiga bulan berkenalan dan mengalami patah pergelangan tangan, Brocklesby akhirnya dapat berjumpa dengan Moore.
"Barbara (Moore) menawarkan diri untuk membawa saya berjumpa doktor kerana saya tidak lagi boleh memandu akibat kecederaan itu.
"Dari situlah segalanya bermula," cerita Brocklesby yang sudah 16 tahun menduda dan mempunyai empat orang cucu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment