Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Tuesday, January 4, 2011
Lemas
Dua beranak lemas
Oleh Ahmad Othman
ANGKAT...anggota tentera mengangkat jenazah mangsa. Gambar kecil, Norizal (kiri) dan Mohd Shyful.
KOTA TINGGI: “Sebelum masuk tidur, Akmal terlebih dulu menulis namanya di semua buku latihan dan meletakkan pakaian dan peralatan sekolah di sebelah tempat tidurnya,” kata Hasnah Taib, 35, yang kehilangan anak sulung dan suami serentak dalam kejadian lemas di pantai peranginan Tanjung Balau di sini, kelmarin.
Dalam kejadian itu, seorang Pegawai Waran ll digulung ombak besar ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya yang lemas sebelum kedua-duanya terkorban di pantai peranginan berkenaan, kira-kira jam 1 tengah hari.
Pegawai dari Briged Ketujuh (Artileri) Kem Mahkota Kluang, Norizal Tajudin, 40, menggadai nyawanya bagi menyelamatkan anak sulung, Mohd Shyful Akmal, 11, yang terjatuh ke dalam laut ketika meniti batuan di tepi pantai itu.
Arwah Norizal akan bersara wajib pada 2012 selepas 21 tahun berkhidmat dalam tentera, meninggalkan Hasnah dan dua anak Nor Shazril, 9, dan Nor Shazwan, 4.
Menurut Hasnah, tiada perubahan ketara pada suami dan anak sulungnya sebelum kejadian.
“Cuma Akmal kelihatan begitu gembira melihat pakaian dan peralatan persekolahan yang dibeli arwah suami.
“Antara kata-kata Akmal yang masih terngiang-ngiang di telinga saya malam sebelum kejadian ialah dia tidak sabar hendak pergi sekolah,” katanya dalam kesayuan.
Akmal sepatutnya masuk tahun enam di Sekolah Kebangsaan Tan Sri Rahman Yassin, Kluang, semalam.
“Saya reda menerima dugaan ini, semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang yang soleh,” tambahnya lagi.
Tragedi berlaku apabila Norizal bersama isteri dan tiga anaknya mengikut birasnya, Rosdi Poniran, 51, menghantar anaknya ke sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di Bandar Penawar di sini.
“Kami bertolak dari Kluang pada jam 9 pagi dan sampai di Bandar Penawar kira-kira jam 12 tengah hari.
“Mengikut perancangan awal, selesai urusan kemasukan Fara Idayu ke IPTS itu, kami hendak pergi melihat cucu saudara di Felda Pasak dan pergi berkelah di Desaru terlebih dulu.
“Norizal yang memandu kereta Proton Waja mencadangkan kami semua berkelah di pantai Tanjung Balau,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.
Menurut Rosdi, selepas makan Akmal minta izin bapanya mandi laut tetapi tidak dibenarkan Norizal.
Katanya, Akmal meminta izin ke batuan di pantai itu bagi melihat pemandangan di sekitar pantai peranginan itu.
“Ketika Akmal dipanggil balik bapanya kerana kami semua sudah mahu pulang, Akmal dikatakan tergelincir ke dalam laut.
“Melihat kejadian, Norizal sempat menyerahkan telefon bimbit kepada anak keduanya, Nor Shazril, sebelum terjun ke laut,” katanya.
Menurut Rosdi, dia hanya menyedari kejadian apabila Nor Shazril memberitahu bapa dan abangnya lemas.
“Saya bergegas ke tempat kejadian dan melihat orang ramai cuba memberi bantuan pernafasan tetapi gagal,” katanya.
Katanya, Akmal ditemui 10 minit selepas bapanya dijumpai dengan kesan cedera di dahi dipercayai akibat terhantuk batu.
Kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Haji Manan, Kluang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah dilaporkan.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment