Friday, January 14, 2011

Faktor Dera

Mangsa dera banyak libatkan ahli keluarga

Oleh DR. SAODAH ABD RAHMAN
PERISTIWA kanak-kanak didera sampai mati oleh ibu tiri, bapa tiri, kekasih ibu atau disimbah asid oleh bapa sendiri yang berlaku di negara ini semakin bertambah.

Sehubungan itu, kerajaan patut memperketatkan perundangan berkaitan dengan hadanah (hak penjagaan anak-anak) demi memelihara keselamatan kanak-kanak dari segi mental dan fizikal.

Kejadian menyayat hati ini menunjukkan struktur perkahwinan umat Islam semakin hari semakin goncang ekoran daripada kecuaian tanggungjawab terhadap ahli keluarga dan anak-anak. Ia sekali gus mengundang bertambahnya kes perceraian dalam usia muda. Mereka kurang berkebolehan dalam mengendalikan permasalahan rumah tangga lantaran terlalu memikirkan kehendak naluri dan gagal mengawal emosi apabila berada dalam dilema.

Perkahwinan yang hancur juga menyebabkan semakin ramai kanak-kanak menjadi mangsa dera ahli keluarga. Sikap ibu bapa dalam mengendalikan urusan kanak-kanak apabila berlaku perceraian lebih cenderung kepada kepentingan diri daripada anak-anak. Sebagai ibu, sepatutnya mereka sering mengunjungi anak-anak di bawah jagaan bapa dengan tujuan mengetahui keselamatan dan kebahagiaan anak-anak mereka.

Peruntukan ini diberikan oleh Mahkamah Syariah kepada pasangan suami isteri yang bercerai. Begitu juga dengan bapa, mereka mempunyai tanggungjawab penuh memberi nafkah yang secukupnya kepada anak-anak dan memastikan keselamatan mereka terjamin. Ini merupakan salah satu perundangan Islam berhubung kait dengan urusan perceraian.

Bapa yang diberi hak memelihara anak-anak yang masih kecil ketika berlaku perceraian sepatutnya memantau tingkah laku isteri barunya supaya sikap kejam ibu tiri tidak dihantui oleh bisikan syaitan dalam mengurus anak-anak tiri.

Wanita yang ingin berkahwin dengan duda yang mempunyai anak-anak yang masih kecil pula perlu bermuhasabah diri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk berkahwin. Jika hati nurani kurang berkemampuan untuk menjadi ibu tiri kepada kanak-kanak yang memerlukan kasih sayang dan belaian, usah mengahwini duda yang mempunyai anak.

Sikap begini bukan sahaja menyebabkan beliau merasai kedudukannya tergugat lantaran berkongsi kasih sayang suami dengan anak-anak tiri, malah ia juga boleh menyebabkan dirinya menjadi kejam terhadap anak tiri apabila perasaan cemburu dan kebencian yang tersemat dalam hati sukar dikawal.

Sebagai suami mereka perlu tegas mengendalikan tingkah laku isteri yang kejam terhadap anak-anak mereka kerana suami diberi kuasa untuk menceraikan isteri yang zalim. Kasih sayang yang membuta tuli menyebabkan suami akur kepada tindakan dan tingkah laku isteri yang kejam.

Ibu yang diberi hak memelihara anak apabila berlaku perceraian atau kematian suami sepatutnya mengkaji latar belakang bakal suami terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkahwin kerana kuasa suami dalam rumah tangga kadang-kadang boleh menyebabkan isteri terpaksa akur kepada kehendak suami.

Peristiwa kanak-kanak didera oleh kekasih ibu atau bapa tiri sepatutnya dijadikan panduan kepada wanita yang bercerai atau kematian suami.

Kasih sayang terhadap isteri atau suami jika tidak didasarkan kepada prinsip kehidupan Islam boleh menyebabkan lelaki atau wanita merelai anak-anak didera dan disakiti oleh pasangan masing-masing. Sikap begini wujud dalam diri pasangan tersebut akibat terlalu takut kasih sayang yang dibina atas dasar cinta buta terputus.

Apabila berlaku pelbagai penderaan kepada kanak-kanak, maka kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan kekejaman tersebut dan juga pasangan mereka.

Sikap pasif dan terlalu takut kepada suami atau isteri yang kejam menyebabkan kanak-kanak menderita dan tiada pembelaan. Jika perkara ini berlaku ketika bapa diberi hak untuk menjaga anak-anak, maka lelaki tersebut perlu dibawa ke Mahkamah Syariah dan dikenakan hukuman berkaitan dengan kecuaian dan bersubahat menganiayai anak-anak kerana Islam memberi kuasa dan hak kepada suami untuk menentukan kehidupan dan keselamatan anak-anak terjamin apabila berlaku perceraian.

Hati nurani wanita disulami dengan perasaan kasih sayang terhadap kanak-kanak. Jika wanita sanggup mendera kanak-kanak sehingga mati maka wanita tersebut adalah dalam kategori wanita jahat dan perlu dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatannya.

Begitu juga jika lelaki sanggup menganiayai kanak-kanak maka kedudukan dan statusnya adalah lebih rendah daripada binatang. Oleh itu, kerajaan perlu bertindak tegas supaya umat Islam memahami hukuman merupakan salah satu cara untuk menyedarkan mereka erti kehidupan sebagai manusia yang dianugerahi akal oleh Allah.

Dr. Saodah Abd. Rahman,

Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment