Tumor di otak: 'Di sebalik musibah, rahmat besar menanti'
27 Oktober 2012
Menyingkap kisah tragis yang menimpa dirinya, anak muda ini tidak dapat lupakan tarikh 1 September 2005 yang mengubah perjalanan hidupnya. Walaupun sudah tujuh tahun berlalu namun kisah ini masih segar dalam ingatan dan tidak mungkin dapat dilupakan.
“Ketika melintasi bawah LRT Masjid Jamek sekitar jam 11 malam, tiba-tiba muncul dua lelaki berwajah bengis meminta beg yang sedang saya sandang. Namun saya enggan berbuat demikian, kedegilan saya membuatkan mereka berang.
“Mereka kemudiannya memukul saya dengan sebatang kayu, saya rasa amat sakit di bahagian kepala dan tidak sedar apa yang berlaku selepas itu. Apabila buka mata saya sudah berada dalam ambulan menuju ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Pemeriksaan rapi dilakukan, saya hanya mampu berdoa agar kesan kecederaan ini akan cepat pulih. Hasil imbasan CT mendapati ada ketulan darah beku di otak saya. Tetapi doktor mengatakan ketulan ini agak aneh. Lantaran, doktor melakukan imbasan MRI. Saya akur dengan keputusan doktor, saya juga tidak sabar untuk mengetahui apa sebenarnya yang bersarang di otak saya,” ujar Royzilee.
Hasil imbasan MRI amat mengejutkan, doktor mendapati terdapat tumor sebesar 6 sentimeter dalam otak Royzilee. Dia terkedu mendengar penjelasan doktor yang mengatakan tumor ini kemungkinan sudah bermula sejak usianya 16 tahun namun kehadirannya tidak disedari.
“Kata doktor jika tidak dikesan pada hari berkenaan, jangka hayat saya tinggal cuma tujuh bulan sahaja. Perasaan saya bercampur baur ketika itu, terkejut, sedih, bersyukur dan insaf dengan apa yang berlaku. Maha Suci Allah, saya berasa diri amat kerdil ketika itu,” cerita Royzilee.
Pengalaman aneh beri keinsafan
Keadaan semakin sukar buat Royzilee. Dia diberi kata dua: lakukan pembedahan segera tapi berdepan dengan risiko untuk lumpuh atau tunggu saja hari kematian. Selepas berfikir semasak-masaknya, Royzilee tekad melakukan pembedahan.
“Saya tiada pilihan lain ketika itu, hanya pembedahan peluang untuk saya meneruskan kehidupan. Saya sedar dengan keadaan diri saya yang kritikal tapi saya tidak mudah menyerah kalah, saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan.
“Sebelum melakukan pembedahan, saya menjalani rawatan dan mendapatkan khidmat nasihat doktor pakar. Dalam tempoh itu, saya perlu makan sehingga 65 biji ubat sehari. Ini sebahagian usaha rawatan yang dilakukan,”katanya.
Tiba di hari pembedahan, Royzilee merasakan tubuhnya semakin lama semakin mengecil sebaik sahaja bius memasuki tubuhnya. Tiba-tiba dia berasa tersedar namun ketika itu tubuhnya dipegang erat dan diikat di atas meja sebelum otak ditebuk. Apa yang mampu dilakukan cuma menjerit sakit sekuat hati.
Belum pun hilang kesakitan, muncul pula lembaga hitam bermata merah. Royzilee diangkat dengan kasar sebelum diikat dan dipanggang hidup-hidup. Habis terbakar baju yang dipakainya. Bau hangit dagingnya terbakar menusuk rongga hidung. Perasaan ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Takut, gerun, sedih, geram bercampur baur.
Puas dipanggang, Royzilee diletakkan di atas batu berbara. Sungguh pun sakit, perasaan lapar turut menusuk perut. Tanpa berfikir panjang serpihan batu berbara dikutip lalu ditelan. Sakit dan panas melecurkan tekak sampai ke usus. Bila diangkat kepala, terlihat tulisan Iqra’bismirab tertera di langit berwarna merah. Di kiri kanannya, terdapat ramai lagi manusia mengalami nasib serupa. Malah ada antara perempuan yang makan rambut sendiri, barangkali tak mampu lagi menahan lapar sama seperti dirinya.
Dalam keadaan tertanya-tanya bilakah seksa bakal berakhir, Royzilee dapat merasakan ada satu tangan besar yang mengutip dirinya lalu dicampakkan ke padang pasir. Aneh, kulit yang tadinya rentung terbakar serta-merta mengelupas jadi bersih. Hatinya berdetik, kalaulah ini kiamat mana orang lain?
Ketika meninjau sekeliling, dia terlihat satu padang hijau. Dek kerana dahaga yang amat sangat, Royzilee berlari-lari anak menuju ke situ. Sebelum sempat memasuki kawasan subur tersebut, muncul seorang lelaki berjubah.
“Sambil tersenyum dia hulurkan pakaian pada saya. Di tangannya terdapat air dan sebiji kurma warna keemasan,” cerita Royzilee.
Sebaik sahaja air melalui tekak, bukan sahaja dahaga yang hilang tetapi kepuasannya tidak dapat digambarkan. Pada fikirannya bagai baru lepas minum selautan air dan tidak akan berasa dahaga lagi sampai 300 tahun. Bermacam-macam rasa makanan enak pula bagaikan terkandung dalam sebiji kurma yang diberikan padanya.
Selepas makan Royzilee dipelawa memasuki padang hijau. Namun dia meminta izin untuk menunggu orang tuanya datang terlebih dahulu. Dia memilih untuk menunggu di atas seketul batu berhampiran pintu masuk.
Tidak lama kemudian ibu bapa Royzilee muncul. Namun belum sempat dia menyentuh mereka, suasana di kiri kanannya terasa seperti ada aliran laju. Dalam keadaan panik dia menjerit sekuat-kuat hati sebelum tersedar berada di katil hospital.
Royzile lihat ibunya ada di sisi. Lepas berbicara dengan ibunya, muncul seorang lelaki di kepala katil. Wajah, tubuh lelaki tersebut persis dirinya namun berkulit bersih. Katanya sebelum hilang, ‘kalau kamu tahu alam barzakh maka kamu akan lupakan dunia’.
Keadaan ini membuatkan dia mula bingung, sama ada dia berada di dunia atau alam mana. Apatah lagi keanehan demi keanehan mula muncul. Antaranya melihat orang kenit yang amat ramai. Pernah satu masa, dia bersalam dengan seorang makcik yang kemudiannya menembus dinding. Telinga kanannya terdengar alunan muzik menenangkan manakala telinga kiri, diganggu irama bingit dan pelbagai lagi.
Kepala berasa kebas
Selepas berapa lama di hospital akhirnya Royzilee dibenarkan pulang ke rumah keluarganya di Yong Peng, Johor. Di rumah, dia tidak berani keluar kerana banyak perkara aneh masih mengganggu dirinya. Kejadian ini memberi seribu rahmat buat Royzilee, dia sedar inilah hidayah yang diberikan ALLAH.
Setelah dinasihatkan bapa, dia mulai solat dalam keadaan duduk. Secara perlahan-lahan Royzilee mendalami ajaran Islam. Dia mahu berjaya bukan hanya di dunia malah akhirat juga. Dia memanjat kesyukuran pada Ilahi kerana diberi peluang kedua untuk terus menikmati kehidupan ini.
“Selepas pembedahan itu, kepala saya sering berasa kebas, Walaupun dijirus dengan air tapi tak rasa apa-apa. Jadi saya minta pada ayah untuk pergi mandi air terjun. Syukur selepas duduk selama dua jam di bawah air terjun rasa kebas hilang sedikit demi sedikit itu pun setelah empat kali saya melakukannya,” kata Royzilee yang dibawa ke Air Terjun Berkok, Chaah oleh ayahnya.
Setelah lima bulan tinggal di kampung, ibu Royzilee mula mengimbau kisah silam yang pernah dilaluinya. Sebelum ini dia tidak diingatkan kerana dibimbangi mengganggu emosi yang belum stabil. Antara yang ditunjukkan adalah sekeping gambar yang tertera wajahnya bersama seorang wanita dan gadis kecil.
“Kata ibu, itu adalah isteri dan anak saya. Walaupun ibu berusaha mengingatkan saya namun saya masih berasa bingung kerana otak saya tidak mampu menganalisis sejauh mana kebenaran tersebut.
“Satu hari, ibu mengeluarkan sebuah ‘walkman’. Di dalamnya terdapat rakaman saya bermain muzik bersama kawan-kawan beberapa hari sebelum hari kejadian. Sungguh ajaib, sebaik sahaja rakaman tersebut didengar dunia saya bagai berputar-putar. Syukur saya sudah dapat mengingati siapa diri saya yang sebenar dan apa yang berlaku pada malam saya dipukul.
“Selepas ingatan saya pulih, saya minta izin keluarga untuk pulang ke Kuala Lumpur. Pada mulanya, ayah saya keberatan kerana dia bimbang perkara buruk menimpa saya. Namun saya berjaya yakinkan keluarga, saya tidak mahu terus hidup begini sebaliknya saya mesti tabah agar dapat meneruskan kehidupan seperti biasa,” cerita Royzilee.
Beri semangat kepada pesakit kanser
Jelas Royzilee, penyakit ini sebenarnya memberi impak yang besar dalam kehidupannya. Tanpa disedari selama ini, penyakit tersebut banyak mempengaruhi tindakan dan keputusannya dalam hidup.
“Tak sangka, rupa-rupanya tumor di otak saya turut mempengaruhi emosi dan cara saya berfikir hinggakan rumah tangganya turut mendapat tempias. Sebelum ini, saya sering melakukan tindakan kurang bijak.
“Saya tidak akan sia-siakan peluang kedua ini, selain cuba perbaiki kelemahan yang ada, saya juga belajar menghargai insan-insan yang saya sayangi. Saya berusaha gigih memberikan yang terbaik untuk keluarga, isteri, Norhayati Abd Latif, 38, dan anak-anak, Syafira Irwayu, 13, dan Muhammad Adam Rizqin, 2.
“Sambil bekerja, saya menyertai Persatuan Barah Otak dan Urat Saraf. Saya sering mengunjungi pesakit di HKL untuk beri semangat dan sokongan moral pada mereka. Saya pernah melalui detik getir dalam kehidupan jadi saya amat faham perasaan pesakit kanser.
“Penyakit ini juga membuatkan saya begitu menitik berat kesihatan diri. Setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala agar kita ketahui keadaan diri kita. Jika ada penyakit, kita dapat mengesan lebih awal dan mempunyai peluang besar untuk rawatan dan kembali sembuh,” ujarnya mendapat sokongan isterinya yang merupakan jururawat pakar bagi kanser darah. Royzilee juga begitu terharu dengan pengorbanan kedua ibu dan ayahnya yang banyak membantunya ketika berdepan saat sukar.
* Dipetik dari majalah Mingguan Wanita
No comments:
Post a Comment