Friday, October 19, 2012

anak dirogol ibu meninggal

ARKIB : 17/10/2012

Ibu mangsa rogol meninggal dunia

SHAH ALAM 16 Okt. - ‘‘Dua bulan saya mengurungkan diri di rumah, saya malu, tertekan, ibu saya terlalu sedih mengenangkan tragedi itu, dia menangis selama setahun hingga matanya buta dan dia meninggal dunia setahun selepas kejadian saya dirogol.’’
Demikian kenyataan impak kesalahan ke atas mangsa (VIS) yang diluahkan oleh gadis berusia 18 tahun yang dirogol secara bergilir-gilir oleh lima lelaki termasuk teman lelakinya, dua tahun lalu.
Selepas dua tahun berlalu, dia perlu berdepan sekali lagi dengan bekas teman lelakinya, Mohamad Yassar Wandi Modin, 25, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Mangsa yang hadir berbaju kurung dan tudung merah jambu dengan nada suara tersekat-sekat menyatakan, kesihatan ibunya terganggu selepas kejadian itu dan pada 1 Ramadan tahun lalu, ibunya meninggal dunia.
Menceritakan kesan perbuatan kejam terhadapnya itu, gadis tersebut berkata, dia mengalami kemurungan, trauma, hilang keyakinan diri, sering menangis secara tiba-tiba, dan terpaksa menjalani rawatan psikologi di Hospital Selayang.
Akibat kejadian itu juga, dia sekeluarga terpaksa berpindah dari kediaman mereka di Serendah ke Ipoh, Perak selepas dipandang serong oleh jiran dan saudara-mara.
Berikutan itu, dia mengharapkan mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh terhadapnya.
Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar yang mendengar kes itu kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan enam kali terhadap Mohamad Yassar yang mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.
Lelaki terbabit berasal dari Sabah dan merupakan bekas pekerja di sebuah kilang membaiki piano.
Dia didakwa bersama empat rakannya merogol mangsa di tingkat atas rumah kedai di sebuah taman perumahan di Serendah antara pukul 4 pagi dan 10.30 malam, 27 Ogos 2010 mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Tiga tertuduh yang lain ialah Majirin Masungkit, 31, Saladin Ajim, 33, dan Suhimin Tius, 21, yang telah dihukum penjara antara 10 dan 15 tahun serta sebatan antara tiga dan enam kali selepas masing-masing mengaku bersalah atas tuduhan sama.
Mohamad Yassar yang diwakili peguam bela Nik Muamer Hurrie Mohamad Sukri, sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen berlainan bagi tuduhan yang sama.
Dia dihukum penjara 15 tahun dan sebatan enam kali, namun selepas itu, dia membuat rayuan di Mahkamah Tinggi bagi mengetepikan hukuman itu.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah mengetepikan rayuannya dan memerintahkan kes itu didakwa semula di Mahkamah Sesyen berbeza atas alasan keputusan hakim terdahulu tidak mengikut prosedur yang betul.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan memberi impak besar dalam hidup mangsa.
Menurut fakta kes, mangsa dihubungi oleh Mohamad Yassar dan rakan lelaki itu, Suhimin yang mengajaknya bersahur di warung.
Selepas minum mangsa pitam dan apabila tersedar dia dalam keadaan bogel dikelilingi lima lelaki berbogel yang sedang tidur.
Mangsa cuba melarikan diri tetapi terlanggar botol arak menyebabkan teman lelakinya tersedar.
Kelima-lima tertuduh bangun dan mengikat kaki dan tangan mangsa, menindih kaki mangsa dengan batu sebelum merogolnya beberapa kali pada pagi, tengah hari dan malam.
Salah seorang daripada tertuduh turut didakwa mentertawakan mangsa yang cuba melawan.
Mangsa kemudian ditinggalkan keletihan tanpa diberi makan atau minum sehingga dia berjaya melepaskan diri.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121017/je_03/Ibu-mangsa-rogol-meninggal-dunia#ixzz29irIhoTy
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment