Sunday, October 21, 2012

amah vs majikan

ARKIB : 19/10/2012

Amah: Siapa yang teraniaya?

MERUJUK kepada tulisan Lekat Di Hati oleh Jessica Ong Hai Liaw 16 Oktober 2012. Saya berharap Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) dapat membantu golongan majikan yang teraniaya.
Saya mengambil pembantu rumah Indonesia (PRA) yang pertama pada 2004 dengan bayaran RM3,800 dan bergaji RM400 dan PRA kedua 2006 dengan kos RM6,000 dan gaji RM450, terbaru tidak termasuk visa saya perlu membayar untuk seorang PRA RM7,000, gaji RM650 bayaran visa pula RM3,000.
Jika majikan berurusan sendiri di Putrajaya mereka hanya perlu membayar RM1,150 jauh beza dengan bayaran yang dikenakan oleh ejen yang bertauliah dan tidak bertauliah sebanyak RM3,000?
Pakej yang ditawarkan untuk semua adalah lebih RM10,000 untuk mendapatkan seorang PRA?
Seminggu di rumah saya sudah dapat kesan PRA saya tidak boleh bekerja. Sebagai majikan saya bangun pukul 5 pagi, PRA harus dikejutkan oleh majikan. Pembantu rumah hanya perlu membasuh baju menggunakan mesin automatik, menjemur, menggosok baju sahaja.
Memasak langsung tidak. Saya akan memasak untuk keluarga dan pembantu rumah. Hari Sabtu, saya sibuk memasak, pembantu rumah akan tertidur di biliknya pukul 11 pagi.
Selepas solat Zohor saya sibuk melayan anak-anak saya makan tengah hari, pembantu rumah akan tertidur pada pukul 2 petang lagi.
Malam pukul 10 sudah masuk bilik sedangkan saya perlu kemas dapur sebelum kami tidur.
Setelah diadukan kepada ejen, mereka berkata, mereka akan rugi jika tukar pembantu rumah yang lain dan mengambil masa.
Saya cuba bersabar. Setelah masuk tiga bulan, pembantu rumah saya hendak pulang. Apabila diadukan kepada ejen, mereka berkata, tiada ganti rugi kerana sudah lepas tiga bulan.
Ejen memberitahu mereka akan rugi? Siapa yang sebenarnya rugi? Saya majikan membayar RM7,000 tanpa visa tapi selepas tiga bulan ejen mengambil kembali pembantu rumah dengan alasan dari mulut pembantu rumah tersebut: "majikan mendera saya..."
Saya mendapat tahu pembantu rumah saya dipaksa bekerja dengan majikan lain sebab mereka berhutang dengan ejen di Indonesia untuk proses masuk sebagai pelancong.
Panggilan telefon sudah tidak dijawab atau talian sudah ditukar, tiada gantian, tiada ganti rugi malahan majikan harus membuat laporan di balai polis, naik turun pejabat Imigresen untuk membayar denda itu dan ini yang bukan sebenarnya kesalahan di pihak majikan.
Kami bagaikan terbeli buah yang sudah busuk. Mohon PAPA pertimbangkan situasi begini.
SITI, MAJIKAN DIDERA MENTAL
Shah Alam

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20121019/fo_04/Amah-Siapa-yang-teraniaya#ixzz29sjhgyft
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment