Rekrut dipukul jurulatih
11 Oktober 2012
GEMAS – Susulan dipukul jurulatih pada kejadian 16 Ogos lalu, seorang bekas rekrut yang menjalani latihan asas tentera di Port Dickson sejak pertengahan 2011 itu bimbang apabila kemampuan fizikalnya kini terjejas berikutan tulang belakangnya beralih sedikit dari kedudukan asal.
Mangsa, Muhammad Zulizdihar Zakaria, 20, berkata, dia dipukul setelah berlaku sedikit salah faham apabila tindakannya ke bilik kerani membuatkan rekrut lain beranggapan dia ingin memotong baris dan tercetusnya pertengkaran.
Menurutnya, akibat pertengkaran itu dia menampar rekrut yang menuduhnya memotong barisan menyebabkannya dipanggil jurulatih berpangkat koperal sebelum disebat menggunakan hos pemadam api di hadapan rekrut lain.
"Selepas dipukul, koperal berkenaan mengugut saya supaya tidak memberitahu pihak atasan dan merahsiakan daripada pengetahuan keluarga," katanya ketika ditemui di kediaman saudaranya di Desa Permai Gemas, dekat sini, semalam.
Zulizdihar berkata, akibat ugutan itu dia tidak melaporkan kepada pihak atasan dan akhirnya pulang ke kampung halaman di Pengkalan Hulu Perak.
"Bagaimanapun ketika di kampung, abah saya menyedari kecederaan yang dialami dan membawa saya ke Hospital Baling untuk pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan yang dibuat pada hari terakhir Ramadan itu menunjukkan saya mengalami kecederaan di bahagian badan, punggung, belakang betis dan tapak kaki," katanya.
Katanya, pada awalnya dia dan keluarga tidak mahu membesarkan isu ini memandangkan dia sendiri berminat dengan kerjaya itu selain membesar dalam keluarga tentera.
"Semasa mendapat tawaran menjadi rekrut dulu saya sanggup menolak tawaran menjalani latihan bomba dan berhenti kerja sebagai tukang masak di sebuah restoran dengan harapan dapat ditugaskan di bahagian masakan setelah selesai latihan rekrut Disember ini," katanya.
Menurutnya, selepas berbincang, mereka sekeluarga bercadang mahu menarik semula laporan polis yang dibuat dan tidak mahu memanjangkan isu berkenaan namun apa yang mengecewakannya, selepas menyambung semula latihan dia sekali lagi ditampar kerana membuat laporan.
"Kini saya sudah diberhentikan daripada latihan asas atas alasan penyakit buasir yang saya hidapi.
"Namun apa yang lebih merisaukan saya kini tidak mampu berdiri dalam perbarisan yang mengambil masa dua hingga tiga jam dan hanya mampu bertahan sekitar setengah jam sahaja," katanya
Sementara itu bapa saudara mangsa, Bukhari Ismail, 51, berkata, disebabkan ayah mangsa menetap jauh di Baling, Kedah, dia menawarkan diri menguruskan kes berkenaan untuk dibawa ke mahkamah.
Menurutnya yang juga pesara polis, mereka sekeluarga tidak bermaksud untuk membesarkan kes berkenaan namun sekadar mahu dijadikan pengajaran kepada semua jurulatih untuk lebih bertimbang rasa ketika menjatuhkan hukuman.
"Mereka seharusnya menyiasat dahulu dengan memanggil kedua-dua pihak yang terlibat dalam pergaduhan.
"Kita juga tahu peraturan jurulatih dan sekiranya mereka mematuhi peraturan berkenaan pasti tidak timbul masalah seperti ini," katanya.
No comments:
Post a Comment