Monday, October 1, 2012

sakit tulang

'Ibarat dikikis pisau tajam'
Wartawan Sinar Harian
1 Oktober 2012
'Ibarat dikikis pisau tajam'
Fakir melihat sendi tangan Zabariah yang semakin membengkok.
REMBAU – Terpaksa menanggung kesakitan seperti tulang dikikis pisau tajam dan bergantung kepada suntikan ubat dua minggu sekali sejak hampir tujuh tahun lalu.

Ia merupakan derita tanpa henti buat Zabariah Fakir Mohd, 31, yang menetap di Rumah Rakyat Sungai Layang, di sini bersama keluarganya.

Ibu kepada dua anak berusia dua dan tujuh tahun ini menderita sejak melahirkan anak pertama apabila mula mengalami sakit tulang dan sendi yang begitu kerap.

Sehingga akhirnya doktor di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban mengesahkan dia menghidap rheumatoid arthritis.

Bagaimanapun, menurutnya, dia bersyukur kerana hanya menanggung kos yang dikenakan hospital kerajaan bagi ubat suntikan yang boleh diguna sebanyak tujuh kali dalam masa 14 minggu sebanyak kira-kira RM300 berbanding harga sebenar di pasaran iaitu melebihi RM4,000.

“Suntikan ubat ini tidak boleh menyembuhkan penyakit, sebaliknya hanya dapat mengawal daripada menjadi lebih teruk. Saya perlu bergantung kepada ubat ini sepanjang hidup saya dan situasi ini benar-benar menyebabkan saya buntu kerana menghadapi masalah kewangan susulan tidak mampu bekerja.

“Oleh itu, saya sangat berharap agar permohonan bantuan Baitulmal yang bakal diajukan tidak lama lagi mendapat maklum balas positif pihak berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.

Sementara itu, Zabariah berkata, ketika dia mengandungkan anak kedua, dia berasa sangat pelik kerana selama kira-kira sembilan bulan penyakitnya langsung tidak menyerangnya dan dia mampu menguruskan diri serta keluarga.

Bagaimanapun, selepas anak keduanya dilahirkan, dia terkejut kerana terpaksa menanggung kesakitan dua kali ganda sehingga sering mendapatkan rawatan di hospital.

“Kini, pergerakan saya makin terbatas apabila sendi tangan dan kaki semakin membengkok. Malah, saya juga tidak boleh berdiri terlalu lama kerana kaki saya semakin tidak kuat.

Sementara itu, bapanya, Fakir Mohd Samsudin, 59, berkata, walaupun sudah berusia, dia kini terpaksa bekerja lebih kuat dengan menjual putu mayam dari kampung ke kampung bagi memenuhi keperluan kira-kira 15 anggota keluarga yang menetap bersamanya.

“Menantu saya hanya bekerja kampung dengan upah sekitar RM500 sebulan dan dalam masa sama dia perlu menanggung kos perubatan anak saya.

"Oleh itu, saya sangat berharap agar keluarga kami ini akan mendapat bantuan yang sewajarnya terutamanya bagi perubatan Zabariah,” katanya.

No comments:

Post a Comment