Bantuan adik kali terakhir
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUANTAN: “Ketika kejadian, saya membasuh bahagian atas mesin pembancuh simen sebelum terdengar seperti orang jatuh dan terkejut mendapati adik bongsu meronta-ronta sambil lehernya tersepit pada besi mesin berkenaan.
“Saya bergegas turun untuk menyelamatkannya namun gagal walaupun dengan bantuan rakan sekerja. Dia hanya berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian,” kata Mohd Zainuddin Hamid, 38, menceritakan kejadian yang meragut nyawa adiknya, semalam.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari, Ridzwan Hamid, 29, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas lehernya tersepit besi mesin pembancuh simen ketika melakukan kerja pembersihan di kilang batu-bata tempatnya bekerja di Bukit Rangin, di sini.
Mangsa yang juga anak bongsu daripada enam beradik meninggalkan seorang isteri yang kini mengandung lima bulan serta dua anak, termasuk seorang anak tiri, berusia lapan dan tiga tahun.
Menurut Zainuddin, adiknya sepatutnya ditugaskan sebagai pemandu ‘forklift’ semalam, namun dia beria-ia mahu membantunya membersihkan mesin selepas tamat waktu rehat dan mangsa membersih di bahagian bawah mesin.
“Kami sedaya upaya mengeluarkan mangsa daripada besi mesin itu, namun dia hanya berjaya dikeluarkan selepas kami membuka skru mesin setengah jam kemudian. Malangnya dia sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Ibu mangsa, Khatijah Daud, 63, berkata anak bongsunya sepatutnya pergi ke rumah mentuanya di Bukit Goh, di sini, selepas tamat kerja kerana mahu menyambut hari jadi anak saudara, manakala isterinya menunggunya di sana.
“Ridzwan turun awal ke tempat kerjanya hari ini (semalam) dan dia kelihatan bersemangat, namun kami tak sangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
No comments:
Post a Comment