Bimbang gambar bogel disebar
KUALA LUMPUR 19 Feb. - Seorang janda muda tidak menyangka ikatan cinta yang terjalin semula dengan bekas teman lelakinya sejak tahun lalu, membawa kepada ugutan penyebaran lebih 80 keping gambar bogelnya.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Woon, 29, mendakwa, dia telah menjalinkan semula hubungan cinta dengan suspek, Teh kira-kira enam bulan lalu apabila mereka bertemu kembali dalam satu majlis perjumpaan rakan sekolah lama, tahun lalu.
Difahamkan, mereka yang pernah bercinta ketika di alam persekolahan hampir 13 tahun lalu, turut merancang untuk berkahwin dan suspek juga berjanji untuk menjaga dua anak hasil perkahwinan Woon sebelum ini.
Terpedaya dengan janji-janji manis suspek, wanita yang mengusahakan kedai roti itu telah menunaikan segala permintaan Teh, termasuk menghantar sendiri puluhan keping gambar bogelnya.
Katanya, dia menghantar gambar-gambar itu apabila suspek yang begitu dicintainya ketika itu mendesaknya, malah berkata, gambar-gambar itu hanyalah satu seni untuk simpanannya sahaja.
"Saya hanya bercinta dengannya selama dua bulan dan selepas itu dia kerap menghubungi saya untuk melakukan hubungan seks tetapi saya tolak.
"Namun Teh bertindak mengugut untuk menyebarkan kesemua gambar bogel itu hingga menyebabkan saya tunduk dan telah menjadi hamba seksnya," katanya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan Awam MCA di Wisma MCA di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Woon memberitahu, setiap kali diajak melakukan seks di hotel, dia akan menolak tetapi Teh akan menghantar gambar bogel itu sebagai tanda ugutan.
"Dia mengugut untuk menghantar gambar itu kepada keluarga dan rakan-rakan saya, malah pernah berkata mahu memusnahkan perniagaan saya jika menolak permintaannya itu.
"Saya tidak tahan lagi dijadikan hamba seks dan pernah juga berniat untuk membunuh diri tetapi memikirkan dua anak yang masih kecil, saya akhirnya membatalkan hasrat itu," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong ketika ditemui mengingatkan Teh supaya menghentikan ugutannya jika tidak mahu dirinya didedahkan kepada umum.
"Saya akan pastikan wajah suspek yang melakukan perbuatan ini terpampang di media-media massa jika dia masih berani membuat perkara ini dan tidak menyerahkan kembali gambar itu kepada mangsa," katanya.
Tambahnya, terdapat 14 kes ugutan gambar bogel yang direkodkan biro pengaduan tahun lalu dan lima daripada kes itu turut melibatkan mangsa lelaki.
No comments:
Post a Comment