Saturday, February 18, 2012

duit terbakar

Kebakaran: Penoreh kerugian RM60,000

PASIR MAS 17 Feb. - Hasrat seorang penoreh getah di Kampung Chenerai dekat sini untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi menyara keluarga tidak kesampaian, apabila wang tunai sebanyak RM2,000 yang dipinjam daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) musnah dalam kebakaran hari ini.

Lebih malang, wang tersebut baharu sahaja diterima oleh Mastura Abdullah, 34, tiga hari lalu untuk dijadikan modal.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, kebakaran berlaku kira-kira pukul 11 pagi ketika dia sedang menyiang ikan di dapur untuk dijadikan lauk makan tengah hari bersama keluarga.

"Ketika sedang menyiang ikan, saya ternampak cahaya merah dari arah bilik tidur yang terletak di sebelah dapur. Terkejut melihat cahaya tersebut, saya terus berlari ke dalam bilik untuk melihat apa yang berlaku, sebaik sahaja sampai api sudah marak membakar barangan yang ada di situ.

"Saya terus bergegas ke ruang tamu untuk menyuruh anak-anak keluar dari rumah. Saya dan anak sulung Nur Maisarah, 15, dan adik saya Mohd. Nizam, 18, cuba memadam api dengan menyimbah air. Tetapi api terlalu marak. Dalam masa 10 minit sahaja keseluruhan rumah telah dijilat api," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Mastura memberitahu, kebakaran tersebut turut memusnahkan sebuah motosikal miliknya dan ketika kejadian suaminya, Abdullah Hanapi, 37, tidak berada di rumah.

"Buat masa ini, saya menumpang di rumah adik yang terletak tidak berjauhan. Saya terima semua ini sebagai satu ujian daripada Yang Maha Esa," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Dunia Saad ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.59 pagi dan seramai 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Pasir Mas serta Rantau Panjang telah bergegas ke tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment