Anak selam tak timbul
Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PETRA JAYA: “Adik... bangun...adik...bangunlah,” rintih seorang ibu selepas mendakwa terbayang anak bongsunya yang hilang dan dikhuatiri lemas ketika menangkap ketam di Sungai Midin, berdekatan Kampung Semerah Padi, di sini, petang kelmarin.
Lebih menyedihkan apabila Rabinah Junaidi, 53, dikatakan pengsan sebaik menerima khabar buruk menimpa Mohd Idris Roni yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah Padi, kira-kira jam 6.40 petang.
Menurut Rabinah, sebelum kejadian, anak bongsunya baru saja pulang dari sekolah dan tidak sempat menjamah makan petang yang disediakan, sebaliknya terus menanggalkan seragam sekolah untuk melihat bubu yang dipasang di sungai berkenaan.
“Sebaik sampai di rumah, dia terus menukar pakaian. Saya menyuruhnya makan terlebih dulu kerana semua makanan sudah disediakan, namun memberitahu mahu berjumpa rakan.
“Hanya beberapa minit kemudian, seorang penduduk memberitahu saya, Mohd Idris lemas ketika mahu menarik tali bubu yang tersangkut pada akar pokok bakau,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di sini, semalam.
Sebelum kejadian, Mohd Idris bersama seorang lagi rakannya, Mohd Uzaed Safari, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Semerah Padi, ke sungai itu untuk melihat bubu ketam yang dipasang mereka, pada pagi hari kejadian.
Bagaimanapun, Mohd Idris dikatakan hilang selepas menyelam untuk melepaskan tali bubunya yang tersangkut pada akar pokok bakau itu.
Sementara itu, Mohd Uzaed berkata, ketika kejadian dia berada pada jarak 10 meter dan air sungai pasang sehingga paras pinggang.
“Ketika itu, Mohd Idris berkata, tali bubunya tersangkut sebelum terus menyelam. Tetapi, selepas beberapa minit dia tidak timbul sebelum menjerit memanggil namanya, namun tidak dijawab,” katanya.
Katanya, dia bergegas pulang ke rumah memberitahu ibunya sebelum memaklumkan kejadian kepada ibu Mohd Idris.
“Kami berdua cukup rapat, malah sering menangkap ketam menggunakan bubu di sungai itu. Namun, persahabatan kami tidak berpanjangan dan lebih menyedihkan apabila kejadian itu berlaku di depan mata saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat, Balai Bomba Petra Jaya, Terry Robson berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.30 malam, sebelum mengerahkan 27 anggota ke lokasi itu.
“Operasi bermula setengah jam kemudian dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) serta penduduk kampung, sebelum dihentikan jam 12 tengah malam semalam (kelmarin),” katanya.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat disambung jam 7.30 pagi semalam, namun sehingga jam 5.30 petang, mangsa masih gagal dijumpai.
No comments:
Post a Comment