Tuesday, February 7, 2012

benjol

Seakan sebiji bola ping pong
Wartawan Sinar Harian
7 Februari 2012
Norain-dan-Othman-menunjukkan-keadaan-bonjolan-di-belakang-kepala-Muhammad-Aidil-Afifi
TUNJANG - Pasangan suami isteri dari Kampung Teluk Keluang di sini bimbang dengan bonjol di belakang kepala anak bongsu mereka, Muhammad Aidil Afifi Othman yang dipercayai mempunyai kandungan air dalam otak sejak dilahirkan.

Keadaan bonjolan di kepala bayi berusia enam bulan itu semakin hari semakin membesar seakan-akan sebiji bola ping pong.

Ibunya, Norain Ridzuan, 25, berkata, pada mulanya mereka tidak menyedari mengenai bonjolan itu namun selepas seminggu kepala anaknya itu mula membengkak.

Menurutnya, mereka segera membawa Muhammad Aidil Afifi ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan selepas pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kandungan air dalam otak anaknya itu.

“Bagaimanapun doktor tidak boleh berbuat apa-apa kepada Muhammad Aidil Afifi memandangkan usianya yang masih kecil dan ia perlu menunggu kira-kira setahun lagi untuk mengambil keputusan sama ada ia perlu dibedah atau sebaliknya.

“Kini setiap bulan kami terpaksa berulang-alik ke HSB bagi menjalani pemeriksaan untuk melihat perkembangannya kerana doktor juga masih belum pasti sama ada ia benar-benar kandungan air atau nanah,”katanya.

Bapanya, Othman Ahmad,32, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di sini berkata, selain itu doktor memberitahu lekuk yang terdapat di pipi bersebelahan telinga kanan anaknya itu juga berkemungkinan memberi kesan kepada buah pinggang bayinya itu.

Menurutnya, mereka semakin bimbang dengan keadaan bayi mereka yang sering kali menangis kerana bonjolan belakang kepala itu bukan sahaja lembik namun menyukarkan anaknya itu untuk tidur.

“Buat masa ini kami memberikannya ubat untuk saraf otak yang dibeli di farmasi selain mendapatkan khidmat rawatan tradisional namun setakat ini tiada lagi perkembangan positif mengenai keadaan kepala anak saya itu,” katanya.

Othman berkata, pada masa sama dia berhasrat memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan pendapatannya antara RM500 hingga RM550 sebulan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan ubat-ubatan untuk anaknya itu.

Sementara itu, Pegawai JKM Kubang Pasu, Mohd Shabbri Othman berkata, pihaknya akan menyiasat kes itu dan permohonan bantuan akan dipertimbangkan sekiranya layak.

No comments:

Post a Comment