Keluarga mangsa tikam terima pampasan Perkeso
23 Februari 2012
Bapa arwah Wan Manisah, Wan Mansor Wan Muda, 51, bersyukur menerima pampasan Perkeso, walaupun keluarganya masih lagi berasa sedih dengan kehilangan arwah kerana pemergiannya dalam keadaan penuh tragis.
“Sehingga kini, kami sekeluarga masih tertanya apa kesalahan arwah sehingga dia diperlakukan sedemikian rupa,” katanya selepas menerima wang pampasan daripada Perkeso, di Wisma Perkeso, Jalan Air Jernih, Kuala Terengganu, semalam.
Majlis penyampaian cek disampaikan Pengarah Perkeso Negeri, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan.
Mansor berkata, bagaimanapun mereka sekeluarga redha dengan takdir yang menimpa arwah dan berasa syukur dengan pampasan yang diterima daripada Perkeso kerana ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka sekeluarga.
Menurutnya, arwah sebelum ini juga sering berpesan agar dia berehat di rumah memandangkan faktor usia yang semakin lanjut dan masalah kesihatan dialaminya.
“Dengan wang pampasan diterima hari ini, seolah-olah arwah menunaikan hasratnya yang tidak mahu melihat saya terus bekerja kerana faktor usia semakin lanjut dan keadaan kesihatan juga tidak menentu,” katanya.
Turut berkongsi rasa syukur tersebut adalah ibu arwah, Noorraine Jusoh, 45, seorang suri rumah berkata, wang pampasan tersebut akan digunakan untuk membuat majlis tahlil dan perbelanjaan keperluan keluarga.
Keluarga arwah Wan Manisah menerima pampa-san pengurusan mayat dan tanggungan, ibu bapa dan adik- beradik sejumlah RM3,000. Selain itu, bagi tanggungan ibu bapa, sebanyak RM14.20 sehari dibayar setiap bulan, diperoleh sepanjang hayat.
Manakala tanggungan adik-beradik (lapan orang) pula RM10.65 sehari dibayar sehingga adik bongsu arwah berusia 21 tahun.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang pembantu kedai maut setelah ditikam bertubi-tubi oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian di sebuah kedai tekstil di bangunan komersial Paya Keladi, Jalan Kampung Daik, pada 1 Februari lalu.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 8 malam itu, mangsa Wan Manisah Wan Mansor, 27, berada di tingkat bawah premis bersama tiga rakannya, sebelum suspek dengan secara tiba-tiba meluru masuk menuju ke tangga kedai untuk ke tingkat atas.
Wan Manisah yang cuba menghalang suspek kemu-diannya dipeluk lelaki itu dari arah belakang dan diseret sehingga ke kedai depan.
No comments:
Post a Comment