Sunday, February 5, 2012

laki pura2 baik

Ibu rayu anak dipulangkan
Wartawan Sinar Harian
5 Februari 2012
Ibu rayu anak dipulangkan
SIK - Seorang ibu berusia 42 tahun, merayu supaya lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan kehilangan anak gadisnya, Nordiana Shekih Ramli, 23, segera menghantar anaknya itu pulang ke pangkuan­nya semula.

Siti Bedah Hussain berkata, sudah lebih dua bulan dia menjejaki anaknya, namun semua usahanya termasuklah mengedarkan risalah dan membuat laporan polis, menemui jalan buntu.

Menurutnya, kali terakhir kelibat Nordiana dilihat adik kembarnya, Norliana, ialah pada 29 November lalu iaitu selepas menerima panggilan daripada lelaki yang sering mereka panggil dengan gelaran­ Abah.

“Ketika itu, saya berada di Kuala Lumpur kerana mempunyai urusan di sana.Norliana menelefon saya dan memaklumkan bahawa Abah meminta mereka membantunya mengemaskan barang-barang di kantin sebuah kem tentera kerana kontrak memasak tamat.

“Katanya, dia tidak dapat pergi kerana perlu menjaga gerai berhampiran rumah dan hanya Nordiana seorang sahaja yang pergi, tetapi selepas itu Nordiana tidak pulang ke rumah malah panggilan telefon dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) juga tidak berbalas,” katanya.
Siti Bedah berkata, dia dan dua anak perempuannya itu mula bekerja dengan lelaki terbabit sejak setahun lalu, malah hubungan mereka sekeluarga dengan Abah agak rapat.

“Saya terkejut dan tidak menyangka kebaikan yang ditunjukkan selama ini hanya pura-pura, kini anak gadis saya hilang dan gagal dikesan.

“Sudah banyak tempat saya cuba mencari Nordiana, malah sehingga sampai ke Pulau Pinang dan Bukit Kayu Hitam, selepas mendapat berita anak saya berada di sana, namun hampa,” katanya.

Ditanya sama ada Siti Bedah berselisih pendapat Nordiana, dia bagaimanapun menafikannya dan menyatakan bahawa dia juga tidak mempunyai masalah dengan Abah.

“Memang tiada perselisihan­ faham berlaku, namun saya dapat mengesan perangai Nordiana yang berubah seolah-olah terkena perbuatan sihir, tambahan pula dia keluar rumah sehelai sepinggang.

“Sebelum ini, saya pernah bertanya mengenai keakraban dia dengan Abah dan dia menyatakan tidak menyukai lelaki itu atas faktor usia, namun kami tidak bertelagah disebabkan perkara itu,” katanya.

Siti Bedah berharap sesiapa yang menemui anaknya atau mempunyai maklumat mengenai Nordiana, dapat melaporkan di balai polis berhampiran atau menghubunginya di talian 017-584 9827 atau 013-5002542.

“Sekiranya Nordiana ada bersama lelaki berkenaan, saya merayu supaya dia segera memulangkan Nordiana kepada saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment