Pergi Tak Kembali
Oleh D J Dolasoh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GERIK: “Mereka bertiga sangat rapat sejak seminggu lalu malah sering menyanyikan lagu ‘Pergi Tak Kembali’ nyanyian kumpulan nasyid Rabbani bersama-sama hampir setiap masa tidak kira malam atau siang,” kata Abidah Mohd Noor, 42, ibu kepada dua beradik yang dikhuatiri lemas, Muhammad Adham Hamiz Ruzai, 8, dan abangnya, Muhammad Amir Fadlilah, 11, selepas terjatuh ke dalam Sungai Kenderong, di sini, petang kelmarin.
Menurut Abidah, dia langsung tidak membayangkan perkara buruk walaupun anak-anaknya riuh-rendah menyanyikan lagu berkenaan berulang kali tanpa rasa jemu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, tiga kanak-kanak, Muhammad Adham Hamiz dan Muhammad Amir Fadlilah serta sepupu mereka, Mohd Saiful Haikal Dahari, 7, dikhuatiri lemas berhampiran Kampung Bukit Marikan, di sini.
Mereka sebelum itu kali terakhir dilihat berada di tengah sungai ketika sedang menaiki bot kayu milik ibu saudara mereka.
Kejadian disedari seorang penduduk kampung yang terserempak dengan ketiga-tiga mangsa sebelum menasihati mereka supaya kembali ke tebing sungai namun tidak diendahkan kanak-kanak itu sebelum saksi berkenaan memaklumkan kepada ibu dan bapa masing-masing.
Bagaimanapun, kelibat kanak-kanak itu gagal dikesan termasuk bot yang mereka naiki ketika ibu dan bapa mangsa tiba di tebing sungai.
Abidah berkata, dua anaknya sangat rapat dengan sepupu mereka itu malah, mereka bertiga pernah merancang untuk bermain bot berkenaan sebelum ini namun, sempat dihalangnya.
Dia berkata, mereka sekeluarga juga bimbang kerana sebelum ini, kedua-dua anaknya itu tidak pernah menaiki bot berkenaan biarpun tinggal berdekatan sungai itu.
Ketika kejadian, dia dan suami, Ruzai Kasim, 43, tiada di rumah kerana pergi ke pekan Gerik untuk membeli peralatan sekolah anak mereka. Apabila pulang ke rumah kira-kira jam 3 petang, dia dimaklumkan jiran bahawa anaknya gagal dikesan selepas bermain bot di sungai.
“Saya dan suami pasrah dengan kejadian ini dan berharap mereka ditemui segera dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.
Katanya, Muhammad Amir Fadlilah kini menuntut di tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Adika Raja di sini, manakala, adiknya Muhammad Adham Hamiz di tahun dua SK Mahkota Sari.
Abidah berkata, mereka adalah anak kelima dan keenam dari enam beradik malah, mereka juga tidak pandai berenang.
Sementara itu, ibu Mohd Saiful Haikal, Hapsah Sahak, 44, berkata, anaknya yang turut belajar di tahun satu, SK Sri Adika Raja, juga tidak pandai berenang dan seorang yang takut dengan air.
“Saya tidak pasti bagaimana dia berani menaiki bot bersama sepupunya itu sedangkan pada ketika itu air sungai berkenaan sangat dalam dan arus deras.
“Saya dan suami, Dahari Kamaruddin, 48, sering menasihati anak kami termasuk dua sepupunya itu supaya tidak menghampiri sungai terutama pada musim hujan.
“Mohd Saiful adalah anak ketujuh dari lapan beradik malah, dia juga sangat rapat dengan sepupunya itu kerana sering bermain bersama,” katanya.
Katanya, dia sekeluarga berharap anaknya segera ditemui sama ada masih hidup atau sebaliknya.
Click Here
No comments:
Post a Comment