Monday, December 19, 2011

maut langgar tembok

Maut rempuh tembok rumah
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 17, 2011
kena langgar
ALOR GAJAH - Seorang ­remaja maut selepas ­motosi­-kal jenis Honda Wave yang ­ditunggang terbabas ke kiri ­jalan merempuh tembok ­rumah penduduk di Kam­pung Dalong, Gadek, dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa P Vonooth, 21, dalam ­ perjalanan pulang dari tempat ­kerjanya di Jalan Kolam Air ke rumahnya di Taman Sebang Mutiara, dekat sini dipercayai hilang kawalan sebelum ­terbabas selepas melalui satu selekoh.

Mangsa yang bekerja sebagai kelindan lori ayam itu pada mulanya merempuh sebuah papan tanda arah jalan diikuti ­ tembok jalan rumah penduduk sebelum melambung ke longkang sedalam satu meter.

Saksi kejadian, Noraini Sulaiman, 37, berkata, ketika kejadian dia sedang menyusukan anak bongsunya berusia 2 tahun dikejutkan bunyi ­dentuman kuat di hadapan rumahnya sebelum suaminya, Raja Hisham Raja Mohd Khamis, 40, menjenguk ke luar.

“Sebaik keluar, kami ­terkejut apabila mendapati mangsa sudah nazak dan ­dipenuhi darah.

“Topi keledar dan kasut dipakai mangsa tertanggal manakala papan tanda penunjuk arah patah dua selain ­tembok masuk ke rumah saya turut pecah,” katanya.

Noraini berkata, dia bertindak menghubungi talian kecemasan dan pihak polis tiba tidak berapa lama selepas itu.

“Sudah banyak kali ­kemalangan yang meragut nyawa berlaku di selekoh ­berdekatan rumah saya ini.

“Malah, kemalangan ini juga turut mengingatkan kembali kemalangan yang meragut nyawa arwah bapa saya di tempat sama enam ­tahun lalu,” katanya.

Bapa mangsa, V Ponusamy, 54, ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka berkata, ­anaknya itu sempat menghubunginya kira-kira jam 8 ­malam untuk bertanyakan keadaan ibunya yang tidak ­sihat kebelakangan ini.

Menurutnya, selepas ­bercakap dalam telefon, dia ada pulang mengambil topi keledar di rumah sebelum ­keluar bekerja semula.

“Itu adalah kali terakhir saya berjumpa dengannya dan anaknya itu bersikap ­seperti biasa.

“Anak saya ini seorang yang pendiam dan bertanggungjawab terhadap keluarganya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan kemalangan maut itu yang membabitkan seorang lelaki berusia 21 tahun.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk ­ bedah siasat,” katanya.

No comments:

Post a Comment