Saturday, December 31, 2011

labur di tempat yang salah

Wang pelaburan ternakan lintah lesap
Oleh : NURULFATHA MUAH
Tarikh : December 31, 2011
Wang pelaburan ternakan lintah lesap
SHAH ALAM - “Kami mahu duit kami semula. Mana wang yang kami laburkan dalam penternakan lintah seperti yang dijanjikan?”.

Itu antara luahan hati kira-kira 13 individu yang kerugian hampir RM400,000 selepas membuat pelaburan dalam projek penternakan lintah daripada seorang ahli perniagaan dan mendakwa mereka tidak mendapat pulangan.

Mereka yang diiringi Ahli Parlimen Kapar, S Manika­vasagam, semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), di sini, berhubung perkara itu untuk menuntut pembelaan.

Manikavasagam berkata, semua mangsa membuat pelaburan itu sejak 2009 selepas mendengar taklimat yang menawarkan pelaburan projek itu di Kuala Lumpur.

“Penganjur menjanjikan pulangan lumayan bergantung kepada lot yang dilaburkan dalam tempoh antara enam hingga 18 bulan. Satu lot dilaburkan RM5,230.

“Selepas tempoh itu, bukan saja hasil pelaburan tidak diperoleh, malah wang pelaburan mereka juga tidak dikembalikan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu individu tersebut untuk memfailkan saman dan membawa perkara itu ke mahkamah.

“Difahamkan, kira-kira 450 orang melabur dalam projek itu, tetapi saya hanya dapat lebih 10 aduan saja di kawasan saya dan mungkin ada lagi individu lain di luar sana belum tampil membuat laporan dan dianggarkan jumlah kerugian mencecah RM2 juta.

Sementara itu, mangsa, Krishna Kumari, 53, seorang guru, berkata, dia tertarik untuk melabur kerana terpengaruh dengan ‘kata-kata manis’ yang ditawarkan.

“Saya dan rakan lain yang mendengar taklimat itu turut berpeluang melihat sendiri kawasan penternakan lintah di Dengkil. Kami terus tandatangan dokumen perjanjian selepas melihat semua bukti itu.

“Saya pinjam wang dari bank sebanyak RM10,000 untuk melabur dua lot penternakan lintah,” katanya.

Bagaimanapun, impian­nya untuk mendapatkan hasil pelaburan musnah apabila ahli perniagaan itu sentiasa berdolak-dalik apabila dihubungi.

“Kami juga pernah pergi ke pejabatnya di Klang, tetapi ia dikunci. Kami telefon berkali-kali, tetapi tidak dijawab.

“Saya tidak dapat satu sen pun wang yang dijanjikan, malah terpaksa pula bayar faedah dan hutang yang dipinjam,” katanya.

No comments:

Post a Comment