Friday, December 16, 2011

maut akibat cemburu

'Suara ayah kesakitan'
Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: “Saya hanya mampu mendengar suara ayah menjerit meminta tolong akibat dipukul sebelum suspek mematikan telefon bimbit. Ketika itu saya dapat rasakan ayah cukup terseksa,” kata Hasniza, 33, anak sulung kepada Hamdan Saad, 56, yang meninggal dunia selepas 15 jam menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah setelah ditemui terbaring di kawasan kebun kelapa sawit Kampung Machang Kudong, Pokok Sena, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga arwah isterinya di Kampung Bukit, Jalan Naka dengan menunggang motosikal sebelum ditahan seorang lelaki berusia 54 tahun dan anaknya berusia 25 tahun.


Mangsa dikatakan bertengkar dengan dua beranak terbabit sebelum kunci motosikalnya dirampas dan dipukul berulang-kali disebabkan cemburu buta menyebabkan mangsa berlari meminta pertolongan di kawasan berkenaan.

Menceritakan kejadian itu. Hasniza berkata dia menerima panggilan pada jam 11.12 pagi ketika berada di rumahnya di Simpang Makam Diraja Langgar dan mendengar suara bapanya meminta tolong dalam keadaan kesakitan menyebabkannya panik.


Menurutnya, lelaki itu mematikan telefon sebelum menghubungi semula kira-kira 30 minit kemudian sambil meminta mengambil bapanya di suatu tempat iaitu di kawasan kebun kelapa sawit.


“Saya memaklumkan kepada suami, Mohd Faizal Abdullah, 33, lalu mengajaknya ke lokasi kejadian, tetapi suami tidak membenarkan saya mengikutinya sebaliknya dia bergegas ke sana bersama adik, Mohd Hanif Hamdan, 21, dan sepupu.

“Sebaik tiba lokasi, adik saya menemui motosikal ayah, tetapi kelibatnya tidak nampak lalu terus mencarinya dan adik saya menemui ayah dalam longkang tidak berair sedalam kira-kira 0.5 meter dalam keadaan nyawa-nyawa ikan,” katanya, semalam.


Hasniza berkata, sepasukan anggota polis tiba dan membuat pemeriksaan sebelum bapanya dihantar ke HSB akibat cedera parah di kepala.

Katanya, bapanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB sebelum meninggal dunia pada jam 2.25 pagi semalam.


“Kami kenal dengan suspek dan dia mungkin berdendam dengan ayah sebelum ini. Ayah tidak mempunyai musuh dan lebih suka melakukan kerja di rumah sejak kematian ibu kami, Fatimah Murad, dua tahun lalu,” katanya.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Baharom Abu berkata, pihaknya sudah menahan dua beranak itu bagi membantu siasatan.


Menurutnya, suspek dipercayai membawa mangsa ke kawasan kebun sawit dan memukulnya berkali-kali sebelum menghubungi anak perempuan mangsa untuk mengambil bapanya yang tidak sedarkan diri.


Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan bermotifkan cemburu apabila mangsa didakwa mempunyai hubungan dengan isteri suspek.


“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) selepas ditahan sejurus anak mangsa membuat laporan polis.


“Mangsa dipercayai dipukul dengan besi di kepala dan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment