Hanya kad kahwin selamat
Oleh Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA TERENGGANU: Sebuah keluarga terpaksa melupakan seketika majlis perkahwinan anak perempuannya pada 31 Disember ini berikutan rumah mereka hangus dijilat api mengakibatkan kesemua kelengkapan musnah dalam kejadian tengah hari semalam.
Asli Baring, 48, dari Kampung Bukit Tunggal, di sini, berkata, dia berada di pejabatnya di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan kejadian itu.
Menurutnya, akibat kejadian itu dia terpaksa melupakan seketika persiapan majlis perkahwinan anaknya, Nurul Azma Asli, 24, yang kini bertugas di ibu negara berikutan kelengkapan yang disediakan bagi majlis itu hangus semuanya.
“Hanya tinggal 15 hari lagi untuk kami mengadakan majlis perkahwinan itu namun yang terselamat hanya 500 keping kad jemputan yang disimpan di dalam kereta, “ katanya.
Menceritakan detik cemas itu, anaknya, Nur Adlin Qayum Asli, 18, berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu rumah menggunakan komputer riba dan secara tiba-tiba dia melihat kepulan asap berserta api keluar dari biliknya.
“Tanpa berlengah saya cuba memadam kebakaran itu menggunakan air, bagaimanapun, usaha lima minit itu gagal berikutan api semakin marak dan saya mengambil keputusan menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah terbabit.
“Kejadian mungkin berpunca daripada litar pintas dan ketika itu emak berada di dapur dan adik-adik bermain di luar rumah, namun saya bersyukur kerana tiada yang tercedera akibat kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Ibunya, Zainab Saleh, 47, berkata, ketika kejadian dia memasak dan struktur rumah yang diperbuat daripada kayu memudahkan api marak dengan pantas.
“Kesemua barangan di dalam rumah tidak dapat diselamatkan termasuk peralatan perkahwinan yang dijadual akhir bulan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Bukit Tunggal, Ismail Nik, berkata pihaknya akan membantu keluarga itu sama ada dari sudut pembinaan rumah baru dan majlis perkahwinan anak mangsa yang bakal dilangsungkan penghujung bulan ini.
“Dua pilihan sama ada keluarga berkenaan ingin rumah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM33,000 atau wang tunai RM25,000 bagi membolehkannya membina sendiri rumah baru,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamarul Bieza Mohd Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira jam 12.30 tengah hari.
No comments:
Post a Comment