Lara cinta sampai mati
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUCHING: Selepas lebih dua minggu bertarung nyawa, seorang gadis yang melecur seluruh badan selepas menyimbah minyak tanah dan membakar diri sendiri ketika bertengkar dengan teman lelakinya di bilik sewa mereka di Tatau, Bintulu dekat sini, akhirnya meninggal dunia, kelmarin.
Mangsa, 18, yang identitinya enggan didedahkan keluarga meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, jam 11 malam kelmarin, selepas menderita melecur tahap tiga membabitkan 70 peratus badannya sejak dipindahkan ke hospital terbabit, dua minggu lalu.
Kakak mangsa yang mahu dikenali, Sima, 23, mendakwa adiknya membakar diri selepas kecewa dengan kekasih berusia 30-an yang sudah dua kali menolak pelawaan mendirikan rumah tangga, kira-kira jam 10 malam pada 14 Disember lalu.
“Adik saya tinggal bersama kekasihnya sejak mereka menjalin hubungan dua tahun lalu. Malah, adik juga pernah mengajak kekasihnya mendirikan rumah tangga Jun lalu, tetapi ditolak dengan alasan masalah kewangan,” katanya ditemui Harian Metro, di sini, semalam.
Menurutnya, anak bongsu empat beradik itu dikatakan ‘melamar’ kekasihnya untuk kali kedua, dua minggu lalu, namun sekali lagi ditolak lelaki itu atas alasan sama menyebabkan tercetus pertengkaran antara mereka.
“Kekasihnya memberitahu belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga kerana menghadapi masalah kewangan. Jawapan diberikan lelaki itu menyebabkan adik saya kecewa sebelum mengambil minyak tanah yang disimpan dalam sebuah bekas sebelum menyiram ke seluruh badannya,” katanya.
Sima berkata, adik kemudian menggunakan pemetik api dan membakar dirinya sebelum kejadian itu disedari teman lelakinya yang bergegas untuk cuba menyelamatkan kekasihnya itu.
“Lelaki terbabit yang terkejut dengan tindakan adik membantu memadamkan api yang membakar tubuh adik dan menghantarnya ke Hospital Bintulu sebelum dirujuk ke HUS pada 17 Disember lalu kerana keadaannya semakin serius,” katanya.
Katanya, keluarganya menerima apa yang berlaku sebagai suratan takdir walaupun sedih dengan apa yang berlaku.
Click Here
No comments:
Post a Comment