Sanggup tak kahwin demi ibu
Tarikh : November 14, 2011
Rahimah Mamat, yang berasal dari tiga beradik pada asalnya, tinggal sebatang kara, setelah kematian abang sulungnya yang menghidapi barah paru-paru serta adik bongsunya juga turut meninggalkan keluarga disebabkan mengalami masalah kegagalan buah pinggang kronik dua tahun lalu.
Lebih menyayat hati, apabila bapanya, Mamat Seman, 76, turut meninggalkan keluarga akibat penyakit kencing manis.
Rahimah berkata, ibunya, Mariam Abdullah, 72, mengalami masalah terbabit setelah diserang demam panas tiga bulan lalu.
“Doktor mengesahkan ibu mengalami serangan otak dan disebabkan itu dia tidak dapat bergerak serta seluruh anggota badanya mengalami kekejangan.
“Sejak mengalami masalah itu sayalah yang memikul tanggung jawab sepenuh masa menjaga ibu, termasuk mengusungnya ke bilik air untuk membersihkan diri serta menguruskan makan dan minumnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Rahimah bukan sahaja perlu menjaga ibunya yang sakit malah terpaksa bekerja untuk mencari pendapatan bagi menanggung kehidupan mereka dua beranak.
“Saya yang bekerja di kilang membuat perabot dan sewaktu bekerja saya tinggalkan ibu dengan jiran, Mashitah Yaakob, 66, yang juga merupakan kenalan ibu.
“Risau juga tinggalkan ibu dengan orang lain namun apakan daya, saya terpaksa bekerja untuk menyara kehidupan kami yang tidak seberapa ini,” katanya.
Rahimah berkata, ibunya ada menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun wang terbabit tidak mencukupi kerana gaji yang diperolehi juga tidak seberapa untuk membeli kelengkapan lampin pakai buang selain ubat-ubatan.
“Apa yang saya harapkan agar ibu mendapat bantuan katil pelbagai guna di samping kerusi roda kerana dia langsung tidak boleh bergerak seperti sedia kala.
“Saya tidak sanggup tinggalkan ibu keseorangan kerana bimbang akan kesihatannya yang semakin uzur,” katanya.
Dia berharap pihak berwajib dapat membantu meringankan beban ditanggung di samping mengharapkan peluang pekerjaan yang dapat dilakukan dari rumah kerana ingin menjaga ibunya sepenuh masa.
“Jika ada pihak yang sudi membantu, saya amat berharap dapat menjaga ibu dan melakukan kerja dari rumah, dengan peluang ini tidak perlulah saya meninggalkannya kerana terpaksa keleuar bekerja.
“Lagipun hanya dialah keluarga saya dan selagi termampu dan mempunyai kudrat saya akan terus menjaganya sehingga ke akhir hayat,” katanya.
No comments:
Post a Comment