Monday, November 7, 2011

gilakan biras

Suamiku gilakan biras

PEMBACA tentu biasa mendengar atau membaca kisah suami gila nak kahwin lagi atau bermadu, tetapi lain pula masalah yang saya hadapi apabila suami bercinta dengan ahli keluarga sendiri.

Pelik bunyinya.Tetapi itulah sebenarnya berlaku membuat saya makan hati berulam jantung.

''Bayangkan hati siapa tak sakit bila suami memberikan lebih perhatian kepada kakak iparnya daripada saya isterinya yang sah. Bukan saya mereka cerita atau cemburu buta seperti suami saya Az tuduh, tetapi itulah yang saya hadapi sejak lebih tiga tahun berkahwin.'' Itu cerita Norfarah dalam emelnya panjang lebar.

''Pada mulanya saya tak sedar perangai Az, sebab kami berkahwin cinta sama cinta, walaupun tak memakan masa yang lama seperti orang lain, setakat lapan bulan memadai. Kami dikenalkan oleh saudara Az sendiri yang kebetulan kenalan pejabat lama saya.

''Memikirkan Az lelaki yang baik, tak banyak kerenah dan tidak begitu mengawal pekerjaan saya, maka terfikir tentulah dia berfikiran terbuka dan matang, tambahan perbezaan umur kami lebih sembilan tahun cukup sesuai dia jadi suami bertanggungjawab kepada saya yang baru berusia 25 tahun ketika itu.

''Tetapi setelah berkahwin dan tinggal sebumbung baru saya sedar dan ternampak kelakuan Az sebenar. Dalam banyak hal Az banyak minta nasihat kakak iparnya iaitu biras saya, kak Zee, berbanding saya mahupun ibunya sendiri.

''Bukan setakat cari rumah sewa, beli perabot, balik kampung, pergi makan angin, hinggakan benda remeh-temeh pun dia akan tanya pendangan kak Zee dulu dan bukan saya.

''Pada awal perkahwinan saya pun ada minta pandangan kak Zee sebab hormatkan dia kerana dia lebih tua, tetapi bukan sepanjang masa, hinggakan hospital mana nak bersalain, cari bidan, beli pakaian bayi semua kak Zee yang pilihkan. Ini sudah lebih! Bukankah saya isterinya?

''Az banyak bantu kak Zee anak beranak sejak dia ditinggalkan oleh suaminya (abang Az) yang berkahwin lain. Sejak itu Az jadi tempat kak Zee bergantung, termasuklah sewa rumah, makan minum dan sekolah anak-anak. Kerana itulah juga Az lambat kahwin hingga membimbangkan ibunya.

''Namun kalau benda tak baik, terbau juga busuknya. Hubungan mereka terlalu akrab, setiap pagi Az mesti ambil kak Zee di rumah dan hantar ke tempat kerja. Petangnya Az ambil dan hantar balik rumah. Sedangkan saya pergi kerja sendiri, walhal tempat kerja saya dengan Az tak sampai 2 km. Sementara jarak tempat kerja kak Zee lebih 5km. Sebenarnya anak sulung kak Zee boleh hantar dan ambil emaknya. Tapi kak Zee tak mahu naik motor.

''Kerana terlalu ambil berat kebajikan kak Zee saya disuruh pergi sendiri ke klinik semasa hamil. Masa mengidam saya teringin nak makan di restoran, tapi Az tak mahu bawa sebab kak Zee nasihatkan jangan membazir wang dan jangan terlalu ikutkan selera orang mengidam, itu semua mainan fikiran. Maka Az kata saya mengada-ngada. Sakitnya hati!

''Sepanjang hamil saya banyak bersabar sebab bimbang kesihatan terganggu. Ketika balik kampung dalam pantang jiran beritahu kak Zee selalu tidur di rumah kami. Bila saya tanya, Az beri alasan kak Zee tolong bersihkan rumah yang berdebu.

''Malam pertama balik ke rumah selepas habis pantang kak Zee datang tidur di rumah katanya takut anak saya menangis sebab beralih rumah. Tapi alangkah terkejutnya saya lihat mereka berdua tidur depan televisyen, seorang atas sofa seorang lagi tersandar di kerusi. Bila saya tanya kak Zee kenapa tak tidur di bilik, katanya bilik panas walaupun ada kipas angin.

''Sebagai isteri saya punya firasat hubungan mereka berdua memang tak baik, tetapi Az nafikan, malah mendakwa saya cemburu dan suka buruk sangka. Lepas kejadian malam itu kak Zee tak datang ke rumah saya lagi.

Bekerja

''Anak kak Zee tiga orang, seorang dah bekerja, dua lagi masih sekolah. Kak Zee bekerja, dia boleh sara anaknya. Kerana sewa rumah Az yang bayar. Sedangkan saya terpaksa sara diri sendiri dan anak, termasuk bayar upah orang jaga anak.

''Bila minta duit dari Az dia beri RM50 seminggu, alasannya tak ada duit sebab kena bayar sewa rumah, ansuran dua kereta selain bil air dan elektrik. Saya tak minta dia belikan kereta untuk saya, kami boleh pergi kerja bersama.

''Apa yang saya masak semua tak sesedap masakan kak Zee hingga menjilat jari. Begitu juga kalau balik kampung sentiasa kak Zee ikut sama pergi dan balik. Bila saya tanya kenapa kak Zee tak balik kampung dengan anak-anaknya. Az marah takut kak Zee kecil hati.

''Kerana jiwa semakin tertekan saya pernah beritahu keadaan ini kepada mertua, macam biasalah mertua saya tak percaya, kerana Az baik pijak semut tak mati

''Mertua saya pernah duduk beberapa hari di rumah kami. Tapi peliknya Az sentiasa ada di rumah, tak pulak dia terburu-buru hantar dan ambil kak Zee di pejabat atau menemannya ke pasar. Kerana mertua saya puji masakan saya, dia pun makan cukup berselera.

"Lagi pelik, kak Zee tak pulak datang rumah kami atau telefon Az meminta bantuan.

''Sebenarnya saya melahirkan isi hati saya ini kerana tak tahu pada siapa nak bercerita, nak cerita pada emak, dia jauh di kampung, mertua pula tak percaya. Akhirnya saya jadi buntu, masalah saya tak ada penyelesainya dan hidup saya macam orang mati beragan. Pernah saya terfikir apa kurangnya saya apa lebihnya biras saya yang berumur lebih 45 tahun itu. Kami suami isteri hanya pada namanya sahaja tinggal sebumbung, tetapi tidak ada kemesraan, kami membawa haluan sendiri.'' Demikian cerita Norfarah yang mendakwa hidupnya seperti telur di hujung tanduk kerana suaminya lebih sayangkan kakak iparnya sendiri.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment