Monday, November 7, 2011

lari xtahan didera

Remaja nekad larikan diri
Oleh : ROSILAWATI ROSEDI
Tarikh : November 5, 2011
remaja lari
KUANTAN - Akibat tidak tahan didera ibu tirinya sejak lebih 10 tahun lalu, seorang remaja nekad melarikan diri sehelai sepinggang dari rumah bapanya di Kota Damansara, Kuala Lumpur, Rabu lalu untuk mencari ibu kandungnya yang terpisah sejak berusia setahun.

Chin Ping Heng, 13, memberanikan diri menaiki bas ekspres seorang diri menuju ke Kuantan dengan hanya berbekalkan dokumen penceraian ibu bapanya.

Remaja itu mendakwa didera dan dipukul ibu tirinya yang berusia 33 tahun setiap kali bapa kandungnya berusia 43 tahun yang bekerja sebagai tukang masak tiada di rumah.

Dia bagaimanapun selamat tiba di rumah kakaknya di Lorong Sekilau 34, Bukit Sekilau, di sini, kira-kira jam 10.45 malam kelmarin hasil keprihatinan seorang pemandu teksi di Terminal Makmur di sini yang menghantarnya ke rumah itu.

Ditanya bentuk penderaan yang dialaminya, dia menceritakan selain dipukul dengan penyangkut baju hampir setiap hari, remaja itu juga mendakwa dia dikurung dalam bilik dan tidak dibenarkan ke sekolah dan hanya diberi makan nasi serta sup kosong setiap hari.

Dakwanya, bapanya juga kerap memukulnya apabila ibu tirinya mencipta pelbagai cerita mengenai dirinya kepada lelaki berkenaan.

Anak bongsu daripada lima adik-beradik itu ditemui ketika membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan ditemani kakak sulungnya, Chin Yik Jenk, 20, bersama Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chon Siang kira-kira jam 3 petang, di sini, kelmarin.

Yik Jenk, 20, yang bekerja sebagai juru kecantikan berkata, dia terkejut apabila adik bongsunya itu tiba-tiba sahaja muncul di pintu rumah kira-kira jam 10.45 malam kelmarin.

Menurutnya, penderitaan adiknya itu bermula apabila ibunya, Lui Lay Choo, 40, bercerai dengan bapanya kira-kira 13 tahun lalu dan bapanya itu mendapat hak penjagaan terhadap adik bongsunya itu manakala dia dan tiga lagi adiknya dijaga ibunya itu yang kini bekerja sebagai tukang jahit di Singapura sejak enam tahun lalu.

“Kami tidak tahu yang adik mengalami penderitaan sehingga begitu, dipukul dan langsung tidak dapat bersekolah seperti adik-adik tirinya.

“Paling kami tidak tahan melihat tubuh adik yang sangat kurus kering dan tidak bermaya,” katanya.

Lay Choo berkata, dia tidak menyangka bekas suaminya sanggup melakukan perkara itu terhadap anak kandung sendiri dan menyangka anak bongsunya itu dijaga dengan baik tetapi perkara sebaliknya pula yang berlaku.

Menurutnya, dia akan berusaha mendapatkan kembali hak penjagaan anaknya daripada bekas suaminya itu.

Sementara itu, Chon Siang yang membawa remaja itu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan memberitahu, doktor mengesahkan remaja itu pernah menjadi mangsa dera.

No comments:

Post a Comment