Nikah 21 wanita dalam 9 tahun
JEMPOL 8 Nov. - Jika ada anugerah khas mengiktiraf lelaki beristeri ramai diwujudkan di negara ini, seorang lelaki berusia 32 tahun dikenali sebagai 'Shah Bunga' layak menerima anugerah itu kerana kehebatannya memiliki 21 isteri dalam tempoh sembilan tahun.Bekas banduan dan juga penganggur itu mempunyai 18 isteri berketurunan Melayu dan tiga Siam dari Thailand yang dikahwini mengikut agama Islam dan juga Buddha.
Meskipun berkahwin sebanyak 21 kali dan ada di kalangan isterinya masih beragama Buddha, Shah Bunga tetap berusaha untuk menambah bilangan isterinya kerana menyedari mereka mampu memberi kemewahan kepadanya.
Setiap kali berkahwin baru, lelaki romeo bertubuh sasa itu tidak menceraikan isteri terdahulu sebaliknya meninggalkan mereka tanpa mengambil tahu khabar isterinya bersama anak-anak yang dilahirkan.
Shah Bunga sebenarnya mengahwini wanita terbabit semata-mata untuk menjadikan mereka pelacur dan wang hasil menjual tubuh isterinya itu digunakan untuk berjoli dan hidup mewah.
Lelaki berimej macho yang gemar memakai seluar jean dan baju singlet itu, mampu berkahwin dengan 18 wanita Islam tanpa menceraikan mereka kerana menggunakan khidmat jurunikah palsu melalui satu sindiket di Kodiang, Kedah.
Sijil nikah palsu yang dibeli dengan harga tertentu itu akan digunakan untuk mengaburi pegawai penguat kuasa jabatan agama Islam semasa pemeriksaan bagi mengelak dicekup kerana bersekedudukan atau berkhalwat.
Bagi membolehkan dia berkahwin dengan tiga isteri berketurunan Siam yang dikenali semasa melancong ke Danok, Thailand pula, Shah Bunga sanggup menikahi mereka mengikut upacara pernikahan agama Buddha di negara jiran itu.
Sebelum berkahwin, dia akan melayan baik wanita terbabit sehingga mereka benar-benar jatuh cinta dan percaya terhadapnya.
Namun, selang dua tiga hari selepas bernikah, 'isteri' terbabit akan dipaksa menjadi pelacur dan bekerja dengan sekumpulan sindiket pelacuran di beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Jika enggan menurut arahannya, Shah Bunga tanpa belas kasihan akan memukul dan mencederakan mangsa, malah isteri terbarunya, Julia (bukan nama sebenar) yang kini sarat mengandung tujuh bulan turut dipaksa melacur.
Julia yang dipaksa bekerja di sebuah karaoke di Bahau, Negeri Sembilan nyaris putus kedua belah telinganya akibat dipotong oleh lelaki itu yang berang apabila permintaannya supaya isterinya melayan lelaki lain ditolak.
Penderitaan ditanggung Julia berakhir pada Rabu minggu lalu, apabila diselamatkan oleh sepasukan anggota polis dari Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Gadis malang berusia 18 tahun itu berjaya diselamatkan setelah seorang kakaknya, Fifi, 29, (bukan nama sebenar) yang tinggal di Alor Setar, Kedah, menghubungi Utusan Malaysia meminta bantuan menyelamatkan adiknya itu pada awal September lalu.
Melalui maklumat disalurkan oleh Utusan Malaysia kepada polis, mangsa yang dikurung oleh Shah Bunga di sebuah rumah sewa di Taman Sornam, Bahau berjaya dikesan dan diselamatkan pada kira-kira pukul 1 pagi, Rabu lalu.
Shah Bunga yang turut ditahan dalam serbuan itu, masih direman sehingga Isnin depan, untuk siasatan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.
Difahamkan, semasa ditahan, Shah Bunga turut memakai dua tangkal yang dililit di pinggang dipercayai digunakan sebagai pelindung dan pemikat gadis-gadis yang dijadikan mangsanya.
Lelaki berasal dari Jitra, Kedah itu didapati mempunyai dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera parah).
Dia juga pernah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh tetapi bernasib baik apabila gagal disabitkan kesalahan dan dibebaskan oleh mahkamah pada 31 Januari tahun ini.
Isteri ke-20 lega Shah Bunga akhirnya ditahan polis
KUALA LUMPUR 8 Nov. - Sebagai seorang wanita yang pernah menjadi isteri dan dipaksa melacur oleh lelaki bergelar Shah Bunga, Mimi (bukan nama sebenar) bersyukur apabila lelaki yang banyak menganiaya wanita itu ditahan polis kerana tindakan kejam yang dilakukan.Dengan penangkapan Shah Bunga pada Rabu lalu, Mimi, 36, yang mempunyai seorang anak hasil hubungan sulitnya dengan suspek menganggap dia kini bebas daripada ketakutan dan tidak akan bertemu dengan lelaki terbabit lagi.
Mimi bercerita, dia mula mengenali Shah Bunga yang berusia 32 tahun pada 2007 dan sejak itu, dia telah ditiduri lelaki terbabit sehingga melahirkan seorang anak.
Menurutnya, selepas berkahwin, hidupnya berubah menjadi seorang pelacur kerana dipaksa oleh Shah Bunga dan jika enggan, dia akan dipukul tanpa belas kasihan.
"Penampar, sepak terajang, tumbuk sehingga berdarah menjadi perkara biasa bagi saya kalau tidak melacur demi mendapatkan wang untuknya (Shah Bunga).
"Tetapi selepas setahun, saya bernasib baik apabila Shah Bunga ditahan polis kerana dipercayai membunuh seorang lelaki di Lorong Petani, Alor Setar pada 2008.
"Selepas itu saya dapat meninggalkan Lorong Petani yang merupakan lokasi pelacuran dan bekerja sebagai pembantu kedai makan sehingga kini bagi menyara anak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, dia tidak menyangka kerjasama Utusan Malaysia dengan polis dapat menghapuskan tindakan Shah Bunga yang sering memaksa wanita melacur demi kepentingan diri sendiri.
"Ketika Shah Bunga memaksa saya menjadi pelacur, dia hanya memberikan sedikit daripada hasil pelacuran untuk saya makan bersama anak manakala bakinya digunakan lelaki itu untuk minum arak dan berjudi.
"Bagi saya lelaki seperti ini tidak boleh hidup bebas kerana dia akan menyeksa kehidupan gadis dan wanita lain dengan memaksa menjadi pelacur selepas ini," ujarnya.
Tambahnya, dia bersedia untuk memberi maklumat kepada polis jika pihak berkuasa memerlukan kerjasama.
No comments:
Post a Comment