11 beradik dibenar pinda tuntutan
KOTA BHARU 21 Nov. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan pindaan dalam tuntutan yang dikemukakan oleh 11 anak terhadap bapa mereka yang merupakan pemilik sebuah syarikat bas ekspres berhubung harta sepencarian ibu mereka yang meninggal dunia tiga tahun lalu.
Permohonan pindaan itu dikemukakan melalui peguam syarie, Rosniza Mohamad yang baru dilantik mewakili adik-beradik berkenaan, atas alasan tuntutan bertarikh 2 Oktober lalu itu tidak lengkap kerana difailkan tanpa mendapat khidmat dan nasihat guaman.
Hakim Syarie, Abu Bakar Abdullah Kutty yang membenarkan permohonan tersebut kemudian menetapkan sebutan kes pada 24 September tahun hadapan.
Beliau turut mengarahkan pihak plaintif menyediakan segala dokumen dan perkara-perkara berkaitan tuntutan tersebut dalam tempoh tiga bulan sebelum kes itu dibicarakan kelak.
Pada 2 Oktober lalu, kesemua anak jutawan itu memfailkan tuntutan terhadap bapa mereka yang merupakan pengusaha bas Ekspres Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail, 56, bagi menuntut harta sepencarian ibu mereka, Paizah Mohd. Yusoff yang dipercayai bernilai jutaan ringgit.
Harta sepencarian itu didakwa milik ibu mereka yang berkahwin dengan Che Ibrahim pada 22 Februari 1979 sehingga wanita itu meninggal dunia pada 24 September 2008.
Pada prosiding hari ini, dua daripada pihak plaintif iaitu Khalilullah, 31, dan Khairul Anam, 26, hadir manakala pihak defendan tidak kelihatan di mahkamah.
Sementara itu, Rosniza yang ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya memohon pindaan tuntutan tersebut kerana ia melibatkan tuntutan harta yang banyak.
"Sebelum ini plaintif tidak mendapat khidmat dan nasihat secukupnya daripada peguam, justeru plaintif bercadang membuat pindaan tuntutan kerana ia melibatkan harta yang banyak dan mengambil masa yang lama untuk diuruskan termasuk penilaian terhadap harta-harta yang dituntut itu," katanya.
Pada 16 Oktober lalu, Che Ibrahim telah membuat aku janji di mahkamah tersebut untuk tidak melakukan sebarang transaksi terhadap harta sepencarian bersama arwah isterinya.
Aku janji itu dibuat berikutan permohonan perintah sementara secara ex-parte (sebelah pihak) pihak plaintif bagi menghalang Che Ibrahim daripada melakukan sebarang transaksi terhadap harta sepencarian milik ibu mereka.
Selain Khalilullah dan Khairul Anam, pihak plaintif yang lain terdiri daripada Tamtini, 30; Amalina, 29; Khairul Azhan, 28; Khairul Adnin, 24; Salsabila, 20; Siti Nahwan, 18; Muhammad Atifuddeen, 16; Nurul Aufa, 13, dan Muhammad Amar, 11.
No comments:
Post a Comment