Kisah keluarga Zainab dapat perhatian
KUCHING 11 Nov. - Pendedahan kisah daif seorang ibu tunggal yang tinggal bersama ibu dan empat anaknya di Kampung Bintawa Tengah, di sini mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak yang datang sendiri ke kediaman mereka petang semalam.
Kehadiran dua pegawai JKM ke rumah Zainab Abdullah, 32, disambut dengan penuh harapan dan kesyukuran apabila jabatan itu memberi jaminan akan menguruskan permohonan bantuan sara hidup bulanan termasuk hal berkaitan persekolahan dua anaknya yang terpaksa berhenti sebelum ini kerana kesempitan hidup.
Penolong Pegawai Kebajikan JKM Sarawak, Chua Lee Kiew berkata, pihaknya telah mengambil maklumat keluarga tersebut dan berusaha menguruskan permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan terutamanya persekolahan semula dua anak Zainab.
''JKM akan menguruskan permohonan bantuan kepada keluarga ini yang dijangka mengambil masa sekurang-kurang sebulan, malah, kita juga akan menemui Jabatan Pelajaran negeri bagi membantu dua anak Zainab untuk masuk semula ke sekolah.
''Lazimnya, JKM ada menyediakan skim bantuan wang tunai RM100 seorang kepada anak-anak dari keluarga daif untuk pembelajaran sekolah mereka," katanya ketika ditemui di kediaman Zainab di sini petang semalam.
Sebelum ini, permohonan keluarga Zainab untuk mendapatkan bantuan bukannya tidak diberi sebarang maklum balas, namun, pihak JKM tidak menerima permohonan tersebut kemungkinan ia telah melalui saluran yang kurang tepat.
Dalam pada itu, kedaifan hidup keluarga Zainab turut mendapat perhatian daripada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi yang turut menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai menerusi Pembantu Khasnya, Mohamad Hasfa Saleh.
Mohamad Hasfa memberitahu, pihaknya juga akan berusaha membantu keluarga Zainab terutamanya bantuan bagi membaiki kediaman mereka yang usang dengan mengemukakan perkara itu kepada Pejabat Daerah Kuching untuk tindakan lanjut.
''Kita juga akan memaklumkan perkara ini kepada Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar agar masalah keluarga ini dapat pembelaan sewajarnya," katanya.
Zainab yang bekerja sebagai tukang cuci telah berpisah dengan suaminya sejak dua tahun lalu dan kini terpaksa menyara ibunya, Sapiah Ahim, 62, serta empat anaknya iaitu Anuar Mostapha, 14; Rajinah, 13; Kamaruddin, 8 dan Kamarullah, 5.
Sejak bergelar ibu tunggal, Zainab tidak mampu menyara persekolahan dua anaknya iaitu Anuar dan Rajinah yang terpaksa berhenti sekolah di tingkatan satu serta darjah enam.
No comments:
Post a Comment