Kecacatan kekal, kami mahu keadilan
Tarikh : November 16, 2011
Mereka mahu siasatan terperinci dibuat untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku ke atas anak mereka selain berhak mendapat pampasan jika benar ada unsur kecuaian.
“Lebih menyedihkan, hanya permohonan maaf yang kami terima dari pihak hospital dan mereka menolak kes itu berpunca kecuaian doktor malah memberi bermacam-macam alasan selain mendakwa ia berpunca daripada anak kami sendiri kerana kecil dan sukar disuntik.
“Ada laporan dikeluarkan pihak hospital bahawa tangan anak saya boleh berpusing tetapi sebenarnya tidak. Laporan juga mengesahkan anak kami mengalami ‘Cerebral Palsy’ tetapi kami yakin masalah itu berpunca kecuaian pihak hospital malah doktor yang merawat anak kami sebelum ini sering mengelak untuk berjumpa,” kata Husdalia Hussin, 31.
Dia hadir bersama suami, Muhamad Shahrim Ishak, 33, dan anaknya Nur Sofira Natasha, 2, untuk mengadu masalah kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, ketika sesi Hari Bertemu Pelanggan di sini, semalam.
Husdalia merayu agar Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri menyiasat tindakan salah sebuah hospital di sini yang didakwanya cuai menyebabkan kecederaan dan kecacatan kekal pada anaknya.
Menurutnya, Nur Sofira Natasha yang dilahirkan normal dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) di hospital berkenaan ketika berusia dua bulan pada April 2009 akibat demam panas dan muntah.
Katanya, ketika itu pihak hospital memberitahu anaknya mengalami masalah saluran usus sempit yang menimbulkan kesukaran menghadamkan makanan.
Bagaimanapun katanya, hospital itu tidak membuat rawatan berdasarkan penyakit yang dialami sebaliknya hanya menjalankan suntikan biasa.
“Doktor ketika itu tidak memberitahu rawatan apa yang diberikan kepada anak saya sehingga keesokannya saya lihat bahagian bawah jari sehingga ke pergelangan tangan anak saya bengkak dan kehitam-hitaman.
“Kata seorang doktor, kesan hitam itu akibat tumpahan ubat manakala seorang doktor lain pula memberitahu jarum suntikan yang dicucuk di tangan tidak masuk ke urat menyebabkan ubat keluar semula hingga tangan anak saya itu menjadi menggelembung dan kehitam-hitaman,” katanya kepada pemberita.
Dia dan suami mahu mengetengahkan masalah mereka termasuk kesukaran pengeluaran caruman KWSP suami bagi merawat anak mereka kerana masalah beberapa dokumen.
Rentetan masalah itu membawa mereka untuk bertemu Zambry kerana dua khidmat peguam yang digunakan sebelum ini juga tidak menunjukkan hasil.
“Kami harap perkara ini mendapat perhatian, sudah lama kami menanggung dan kes ini seolah-olah tidak ambil peduli,” kata Husdalia.
Sementara itu, Zambry meminta Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir menyiasat dan menyediakan laporan lengkap masalah itu untuk tindakan lanjut.
“Saya harap beliau melihat semula kes ini dan serahkan laporan punca sebenar menimpa Nur Sofiera.
No comments:
Post a Comment