Saturday, October 29, 2011

terima cek

Keluarga penuntut maut terima cek pampasan


DR. Arshad Kasim (tengah) bertanyakan sesuatu kepada Sa-zali Hussian (kanan) selepas menyerahkan cek pampasan di Politeknik Merlimau, Jasin, semalam.


MELAKA 28 Okt. - Keluarga dua penuntut Politeknik Merlimau yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 26, Lebuh AMJ Melaka-Muar, di Jasin pada 25 Ogos lalu menerima pampasan masing-masing berjumlah RM21,000 dan RM31,000.
Cek daripada Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok, Etiqa Takaful itu disampaikan Pengarah Politeknik Merlimau, Dr. Arshad Kasim kepada waris mangsa dalam satu majlis di politeknik itu hari ini.
Bapa kedua-dua penuntut terbabit, Abdul Majid Kassim, 51, dan Sa-zali Hussian, 53, menerima pampasan itu bagi pihak anak mereka iaitu Mohammad Izuan dan Farah Nabila masing-masing berusia 20 tahun.
Mereka yang merupakan penuntut semester lima Diploma Kejuruteraan Awam terbunuh selepas kereta yang dipandu Mohammad Izuan dirempuh sebuah kenderaan lain ketika dalam perjalanan pulang ke Merlimau selepas membeli keperluan menyambut Hari Raya Aidilfitri di bandar Melaka.
Dalam kejadian pukul 3.20 pagi itu, Farah Nabila yang duduk di sebelah Mohammad Izuan turut maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan yang lain.
Pada majlis penyerahan cek berkenaan, suasana hiba menyelubungi kedua-dua waris penuntut terbabit apabila detik-detik kejadian yang menimpa anak mereka diceritakan kembali oleh pengerusi majlis.
Menurut Abdul Majid, pemergian Mohammad Izuan merupakan kehilangan besar kepada keluarganya dan sehingga kini dia masih bersedih apabila terkenangkan anaknya itu.
"Saya dan keluarga reda kerana ini merupakan ketentuan Ilahi dan sesungguhnya apa yang berlaku itu ada hikmahnya," katanya selepas majlis penyerahan cek tersebut.
Bagaimanapun, dia bersyukur bebannya diringankan dengan penerimaan pampasan RM31,000 itu dan berterima kasih kepada Etiqa Takaful yang menguruskan pemberian cek berkenaan.

No comments:

Post a Comment