Ibu mangsa berusia 41 tahun mendakwa dia tidak mengetahui kejadian tragis menimpa anak bongsu daripada enam beradik hasil perkahwinan pertamanya itu.
“Suami membawa keluar anak saya (mangsa) bersamanya pergi bekerja pada pagi kejadian sebelum saya menyedari Mohd Firdaus tidak pulang bersamanya pada sebelah petang dan bertanyakan suami di mana Mohd Firdaus atau mesra dipanggil ‘Adik’.
“Suami beritahu dia menghantar Adik ke hospital namun tidak menjelaskan puncanya sebelum dia menghantar saya ke Hospital Alor Gajah,” katanya yang enggan dikenali ketika ditemui di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, sebaik tiba di hospital, dia melihat anaknya terbaring kaku dan disahkan meninggal dunia beberapa minit sebelum ketibaannya.
Wanita yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak ketujuh itu berkata, dia menjaga lima daripada enam anaknya itu sejak lima bulan lalu di rumah disewa di Kampung Padang Sebang, dekat sini, bersama suaminya itu.
“Saya nampak suami sering mengasingkan Adik daripada bercampur abang dan kakaknya. Kira-kira sebulan lalu, saya lihat sifat ceria dan girang Adik semakin tiada dan hampir sepanjang hari suami membawa adik ke mana sahaja dia pergi.
“Sebelum ini, saya pernah dengar Adik menjerit kesakitan ketika mandi dalam bilik air bersama suami dalam keadaan pintu bilik air berkunci sebelum saya mengetuk pintu bilik air minta dibuka kerana bimbangkannya.
Menurutnya, sepanjang berkahwin dengannya, suami tidak pernah mengasari dirinya, namun dia tidak pasti kenapa Adik sering menjadi mangsa suami.
Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, Mohd Firdaus dihantar ke Hospital Alor Gajah oleh bapa tirinya dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Pihak hospital yang menyedari terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa termasuk kedua-dua kakinya dipercayai akibat terkena benda panas.
Bapa tiri kepada anak-kanak malang itu bagaimanapun ditahan polis di sekitar hospital berkenaan tidak lama selepas kejadian.
Sementara itu, abang mangsa yang ingin dikenali sebagai Hisham, 20, mendakwa tidak berpeluang mendekati adik bongsunya itu malah sukar melihat adiknya itu tidak memakai baju.
“Setiap kali lepas mandi, Adik keluar sudah berpakaian dan apabila menyedari kesan luka atau lebam pada anggota badan yang terdedah, Adik hanya menjawab terjatuh atau terlanggar sesuatu.
“Adik tidak pernah mengadu sakit, malahan saya sebagai abang tidak berpeluang tidur bersamanya. Peliknya bapa tiri tidak pernah menunjukkan sikap berang seolah tiada apa berlaku dalam rumah,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, semalam.
Nenek mangsa, Tumirah Mis, 58, berkata, sudah lebih setahun dia tidak bertemu ibu mangsa selepas anak perempuannya itu berkahwin baru.
“Mangsa yang sebelum ini saya pelihara diambil ibunya kira-kira lima bulan lalu.
“Sejak dia (anak perempuan) berkahwin, saya tidak lagi bertemu dengannya walaupun ketika itu semua enam anak mangsa ada bersama saya,” katanya yang turut memberitahu kakak sulung mangsa berusia 21 tahun dijaga olehnya di Rembau, Negeri Sembilan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak malang itu mati akibat kecederaan pada paru-paru dan pendarahan dalaman disebabkan dipukul menggunakan benda tumpul.
“Suspek yang juga bapa tiri mangsa direman tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya.
Mayat mangsa dituntut keluarganya untuk dikebumikan, petang semalam.
No comments:
Post a Comment