Sunday, October 23, 2011

pukul mertua buta

Mertua buta patah kaki dipukul menantu


Ibrahim Omar yang patah kaki kanan dipukul menantu ditenteramkan oleh tiga anaknya (dari kanan) Rozita, Kamariah dan Jamaliah di Kampung Pengkalan Rama, Melaka, semalam.


MELAKA 22 Okt. - Sudahlah mencampuri urusan rumah tangga mertuanya, seorang menantu tergamak mengheret, menghumban, memukul dan memijak bapa mertuanya yang buta sehingga warga emas itu patah kaki di Kampung Morten di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang pada 10 Oktober lalu, Ibrahim Omar, 65, teruk dibelasah menantu lelakinya itu yang berusia 38 tahun ketika suspek pulang ke rumah untuk mengambil beberapa helai pakaian.

Ibrahim mendakwa, ketika itu berlaku perselisihan faham antara dia dan isteri, Arah Mahmud, 64, bersama anak kelapannya, Jalilawati, 31, dan menantu lelakinya itu.

"Ketika itu, menantu lelaki cuba mencelah pertengkaran kami tetapi saya memintanya agar tidak mencampuri urusan kami suami isteri. Tiba-tiba badan saya dipukul, malah dia turut mencekak belakang leher, mengheret dan menghumban saya ke luar rumah.

"Dalam keadaan sakit, menantu saya memijak kaki kanan sehingga saya menjerit kesakitan," katanya ketika ditemui di rumah seorang lagi anaknya di Kampung Pengkalan Rama Pantai di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, mujurlah kejadian itu disaksikan dua jiran yang kemudian menghubungi anaknya, Jamaliah, 46, yang kemudian datang menyelamatkannya dalam keadaan kaki yang berdarah.

"Lima hari kemudian iaitu pada 15 Oktober, saya rasa kaki saya semakin sakit. Apabila diperiksa di hospital, doktor memberitahu tulang atas jari kaki saya patah dan perlu disimen," katanya.

Tambahnya, sejak kejadian itu, dia yang mempunyai sembilan orang anak iaitu lima perempuan dan empat lelaki dijaga oleh Jamaliah.

"Namun, saya tidak sangka, baru tiga hari kaki disimen, pada Rabu lalu menantu saya datang ke rumah Jamaliah dan memukul seorang lagi anak perempuan saya, Rozita, 37, sehingga lebam," dakwanya.

Tambahnya, bimbang akan keselamatan diri dan anak-anak perempuannya itu, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi memberitahu, suspek ditahan tengah malam tadi selepas dipanggil untuk memberi keterangan.

Menurutnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 325 kerana sengaja menyebabkan cedera parah dan direman selama tiga hari.

No comments:

Post a Comment