Wanita risau keselamatan anak angkat
BALING 29 Okt. - Seorang pengusaha kantin bimbang dengan keselamatan anak angkat perempuannya berusia 21 tahun yang hilang sejak lima hari lalu.
Sharifah Abdul Syukor, 46, berkata, Nurul Adiba Ahmad yang bekerja dengannya di kantin Sekolah Kebangsaan Asam Jawa di sini tidak pulang ke premis itu selepas keluar membeli barang-barang untuk perniagaan kira-kira pukul 3.30 petang, Isnin lalu.
Menurut Sharipah yang berasal dari Kampung Tersusun Grik, Nurul Adiba atau lebih dikenali sebagai Kak Yong tidak pulang semula ke kantin selepas keluar membeli barang di kedai runcit di hadapan sekolah berkenaan.
Sharifah yang enggan wajahnya dirakam berkata, pada hari itu gadis berkenaan memakai seluar berwarna coklat gelap dan baju berwarna merah jambu.
Wanita itu bimbang jika anak gadisnya diculik kerana sejak bekerja dengannya, Nurul Adiba tidak mempunyai sebarang masalah.
"Saya tak tahu ke mana Kak Yong pergi. Saya risau dia diculik. Selain itu, Kak Yong juga tidak mempunyai sebarang masalah keluarga," katanya.
Tambahnya, sepanjang tinggal dengannya, gadis itu tidak pernah mendatangkan masalah atau pernah bertengkar dengan ahli keluarganya.
Katanya, tiga hari lalu dia ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon gadis itu, namun cubaan menghubunginya gagal.
"Selepas dapat SMS itu saya terus menghubunginya, namun telefon itu ditutup. Saya cuba berkali-kali, namun tidak berhasil," ujarnya sedih.
Katanya, dalam SMS itu gadis itu berpesan supaya tidak bimbang dengan keadaannya.
"Saya risau sekiranya yang hantar mesej itu bukannya Kak Yong, tetapi orang lain yang menggunakan telefon bimbitnya," katanya.
Sharifah membuat laporan polis berhubung kehilangan anak angkatnya pada hari gadis itu tidak pulang ke rumah.
No comments:
Post a Comment