Dua pelajar lemas ketika mandi sungai
KEPALA BATAS 9 Okt. – “Kak, esok tolong masak bihun. Nak buat makan-makan sambut hari jadi saya.”
Itulah kata-kata terakhir Mohammad Hafiz Mustapa, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Labu, Penaga sebelum dia dan rakannya, Mohd. Harraz Bukhori, 13, tenggelam dihanyutkan arus deras di muara sungai Kampung Kuala Muda di sini semalam.
Mayat Mohammad Hafiz, 13, ditemui sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kira-kira pukul 10.30 pagi ini selepas operasi mencari dan menyelamat yang disertai pasukan polis dan penduduk sekitar dihentikan pukul 11 malam tadi.
Mayat Mohd. Harraz pula ditemui pukul 6.30 petang ini berhampiran sebuah rumah api, kira-kira 700 meter dari tempat mereka mandi.
Bapa kepada Mohammad Hafiz, Mustapa Mohd. Akhir, 58, berkata, anak ke-11 daripada 13 adik beradik itu bersungguh-sungguh meminta kakaknya memasak bihun untuk meraikan hari lahirnya yang disambut hari ini.
“Sebelum ini, tidak pernah dia meminta kakak-kakaknya meraikan hari jadinya. Tapi semalam, dia bersungguh sangat. Tidak sangka, itu permintaan terakhir anak saya,” katanya dalam nada sebak sambil menyifatkan anaknya itu seorang yang baik dan pendiam.
Menurut Mustapa, anaknya itu juga dilihat agak pelik apabila menatap wajah ibunya, Khatijah Ali, 48, beberapa ketika sebelum keluar dari rumah mereka yang terletak berhampiran muara sungai itu untuk mandi bersama rakannya yang lain.
“Dia jarang mandi di sungai itu walaupun jaraknya dekat dengan rumah kami. Kalau dia mandi pun, selalunya saya tidak merasa risau kerana dia tahu berenang,” kata Mustapa.
Dia memberitahu, kira-kira pukul 5.30 petang semalam, anaknya itu mandi di sekitar muara sungai bersama 14 rakannya termasuk Mohd. Harraz.
Mohammad Hafiz dikatakan hanyut dibawa arus dan dipercayai Mohd. Harraz yang berada paling hampir dengannya berenang ke arah rakannya itu untuk membantu.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka kemudian tenggelam dihanyutkan arus deras.
Sementara itu, Bukhori Mohd., 48, berkata, beliau reda dengan pemergian anak bongsu daripada empat adik beradik itu.
Menurut Bukhori, anaknya itu merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda, Penaga dan merupakan satu-satunya anak lelakinya.
“Dia sangat rapat dengan saya dan ibunya. Namun jika itulah (lemas) takdir Allah terhadapnya, saya reda,” katanya sambil menangis.
No comments:
Post a Comment