Sunday, October 30, 2011

hilang

Kerani hilang selepas ke bank

SUNGAI PETANI 29 Okt. - Seorang kerani wanita sebuah syarikat di Sungai Lalang hilang sejak 17 hari lalu selepas ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang atas arahan majikan, menyebabkan keluarganya kini dalam kebimbangan.

Nor Fazilah Rohani, 24, anak ketiga daripada empat beradik, dipercayai hilang pada 11 Oktober lalu, selepas diberi kepercayaan oleh majikannya untuk mengeluarkan wang berjumlah RM3,000 bagi membayar bil elektrik.

Bapanya, Rohani Abdullah, 56, berkata, dia mengetahui kehilangan itu pada petang hari kejadian setelah dimaklumkan majikan Nor Fazilah kerana anaknya tidak pulang semula ke pejabat.

"Fazilah baru tiga bulan bekerja di syarikat itu dan pada hari kejadian, dia diberi kepercayaan menggunakan kenderaan syarikat bagi mengeluarkan wang berkenaan untuk melunaskan bil elektrik, sementara baki wang perlu dibawa pulang.

"Bagaimanapun, sehingga lewat petang, Fazilah masih tidak pulang ke pejabat menyebabkan majikannya terus datang ke rumah kami untuk memberitahu tentang kejadian tersebut," katanya di rumahnya di sini.

Ahli keluarga dan rakan-rakan turut mencarinya di merata tempat, namun hanya menjumpai kereta syarikat yang digunakan Nor Fazilah di sebuah pasar raya berdekatan bank pada pukul 3 pagi keesokannya.

Rohani berkata, laporan polis mengenai kehilangan Nor Fazilah dibuat selain mencari dengan inisiatif sendiri.

"Kami turut mengedarkan gambar Fazilah di merata-rata tempat di seluruh Sungai Petani dan Bedong, sehingga pencariannya juga sudah sampai ke Pulau Pinang serta Bukit Kayu Hitam," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup anaknya itu dikatakan keluar dari bank berkenaan pada 3.35 petang selepas mengeluarkan wang dan membayar bil elektrik pada 4.06 petang.

"Pada hari kejadian, Fazilah juga dikatakan menghubungi seorang abangnya pada 3.55 petang bagi memaklumkan tentang masalah kenderaan peribadi yang sedang dibaiki di Ipoh akibat terlibat dalam kemalangan September lalu," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Rahmah Nayan, 50, berkata, hubungannya dengan Nor Fazilah sangat rapat memandangkan dia merupakan anak tunggal perempuan dalam keluarga.

Katanya, sebelum kejadian, Nor Fazilah tidak pernah menunjukkan kelakuan pelik malah sentiasa ceria seperti biasa dan hubungan dengan adik-beradik lain juga berjalan lancar.

"Andaian pihak tertentu yang kata kehilangan tersebut dirancang Fazilah sendiri adalah sesuatu tidak berasas sebab dia tidak membawa wang simpanannya selain barang berharga miliknya tidak diusik," katanya.

Dia merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang anaknya itu, atau mengambilnya, supaya menghantar Nor Fazilah pulang dengan segera ke Kampung Kongsi Enam, Sungai Lalang, 08100, Bedong atau menghubungi talian 012-5541142 atau polis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment