Rindu dua anak di Afrika
Laporan dan foto MARY VICTORIA DASS
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
JOHOR BAHRU: Akibat cair dengan pujukan bekas suami supaya berhijrah ke Afrika Selatan bagi membina kehidupan baru, seorang wanita mendakwa teraniaya apabila bukan saja dua anaknya dirampas teman hidupnya itu, malah dia diusir selepas lelaki itu menjalin hubungan dengan gadis mat salih negara itu.
Menceritakan kisah hidupnya, Koh Luang Ngoh, 38, berkata sejak mendirikan rumah tangga bersama lelaki dikenali sebagai Lau, 43, dia menderita apabila menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Bagaimanapun, katanya, dia tabah menghadapi dugaan, termasuk ketika bekas suami memujuknya berpindah ke Eastern Cape, Afrika Selatan dengan alasan mahu membina kehidupan bahagia di situ pada 1997.
Menurutnya, ketika tinggal di negara itu, dia terpaksa menyara keluarganya berseorangan dengan bekerja kilang, sedangkan bekas suaminya berjoli sakan.
“Saya hanya menyedari niat bekas suami ke Afrika Selatan bukan semata-mata membaiki kehidupan rumah tangga, sebaliknya menyelamatkan diri kerana berhutang dengan along dan mendalangi beberapa kes penipuan di Johor.
“Saya pernah pulang ke Johor sebanyak dua kali termasuk pada 1999 untuk melahirkan anak sulung lelaki, Lau Weng Sheng, 12, di rumah ibu dan kali kedua pada 2001 hingga 2003 bertujuan memohon sijil kelahiran anak kedua, Lau Zi Yu, 10, yang lahir di Afrika Selatan serta menziarah keluarga.
“Impian saya melihatnya insaf, termasuk menjadi ketua keluarga bertanggungjawab selepas kami dikurniakan dua cahaya mata, musnah kerana perangainya bertambah buruk, termasuk mengugut membunuh dan mendera saya,” katanya.
Koh berkata, apabila hubungan sulit dengan wanita mat salih terbongkar pada 2006, bekas suaminya mengusir dan menghalangnya daripada membawa kedua-dua anaknya ke Malaysia.
Menurutnya, akibat tidak berpuas hati dengan tindakan itu, dia mengambil keputusan berpisah dan mendapatkan perceraian selain perintah mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan dua anaknya pada 30 April tahun lalu. Selain itu, bekas suaminya diperintah membayar nafkah sebanyak RM1,500 sebulan.
“Dalam tempoh lima tahun ini, bekas suami tidak akur dengan perintah mahkamah di mana saya hanya dibenarkan berkomunikasi dengan anak menerusi telefon dan Skype kurang dua minit dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
“Dia menyatakan sanggup menjaga anak tetapi tindakannya bukan kerana sayang, sebaliknya bimbang kesunyian jika ditinggalkan isteri barunya.
“Saya berharap bekas suami menghantar pulang anak ke Johor bagi membolehkan saya bertemu Sheng dan Yu dan membincangkan masa depan mereka,” katanya ketika ditemui di pejabat Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, Michael Tay, di sini, semalam.
Koh turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral pada 20 Julai lalu.
No comments:
Post a Comment