Wednesday, October 19, 2011

bebas

Derita Dalam Tahanan

Ciuman seorang anak yang begitu menyayangi ibunya yang terpisah lebih tujuh tahun.Foto AZLINA ABDULLAH.
DI balai ketibaan Lapangan Terbang Ho Chi Minh, Vietnam, dia tercari-cari tiang bernombor sembilan berikutan tiada sepanduk sebagai tanda bagi memudahkan pencarian.
Siti Ansyakinah Zainal Abidin, 24, memandang ke kiri dan ke kanan. Hanya Tuhan sahaja yang tahu tentang perasaannya bercampur baur ketika itu.
Bagaimanapun beberapa minit selepas itu dia tidak mampu berkata apa-apa dan seakan tidak percaya apa yang dilihat di hadapan mata.
Hanya linangan air mata menterjemahkan kerinduan dan kegembiraan begitu menebal setelah bertemu dengan ibunya yang terpisah sejak lebih tujuh tahun lalu.
Hari itu, 28 September 2011 menjadi saksi baginya yang pertama kali menaiki kapal terbang dan juga pertama kali ke luar negara demi membawa ibu pulang ke tanah air.
“Saya bersyukur kerana dapat bertemu dengan Mama (ibu) meskipun banyak dugaan, cabaran dan keperitan yang terpaksa ditempuhi selama ini,” katanya kepada Mingguan mStar yang ditemui bersama ibunya, baru-baru ini.
Nor Hayati(kiri) menceritakan pengalaman membawa pulang Normazawati (dua dari kanan) kepada wartawan Mingguan mStar (kanan) sambil disaksikan oleh Ansyakinah (dua kiri).
Sesi pertemuan itu sekali lagi menyaksikan deraian air mata Ansyakinah sambil memeluk ibu, Normazawati Wong Abdullah, 49.
Normazawati, seorang ibu tunggal menjadi mangsa sindiket penipuan antarabangsa atas kesalahan menggunakan kad kredit palsu pada 7 Mei 2004.
Dia dipenjarakan selama enam tahun 11 bulan di Penjara Ham Tan K4, Ho Chi Minh dan sebelum itu ditahan 17 bulan sementara menunggu perbicaraan.
Pengorbanan ibu
Ansyakinah bagaimanapun berkata, dia hanya mengetahui perkara itu selepas dirahsiakan oleh kakak sulungnya selama hampir satu setengah tahun.
“Saya faham tindakan dia (kakak) kerana tidak mahu mengganggu perhatian saya dalam pelajaran yang ketika itu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Selama lebih tujuh tahun, Ansyakinah tidak dapat berhubung langsung dengan ibunya dan hanya sekeping gambar bagi mengubat kerinduan.
“Mama akhirnya menghubungi saya pada 28 Januari lalu untuk memaklumkan mengenai pembebasannya dari penjara dan pulang ke Malaysia.
“Namun kegembiraan saya tidak lama dan bagaikan hendak pitam apabila diberitahu pada hari yang sama bahawa Mama tidak dibenarkan keluar dari Vietnam,” katanya.
Malangnya, Normazawati yang sudah berada di Lapangan Terbang Ho Chi Minh untuk kembali ke tanah air sekali lagi ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam atas alasan belum membayar denda kira-kira RM60,000.
“Saya bukannya hidup senang atau bergaji besar namun saya nekad untuk berusaha demi pengorbanan Mama yang melahirkan dan membesarkan saya,” katanya.
Ansyakinah mendapatkan bantuan daripada Kelab Putera 1Malaysia pada Februari lalu bagi membolehkan ibunya membayar denda untuk pulang ke Malaysia.
“Kami memberi sokongan antara satu sama lain. Memang sedih kerana terpaksa berpisah namun menangis sahaja tanpa usaha tidak akan menyelesaikan masalah.
“Mama dikirimkan wang kira-kira RM2,000 sebulan sepanjang tempoh menunggu untuk membawanya pulang kerana sara hidup di sana agak tinggi,” katanya.
Erti kehidupan
Dia bagaimanapun bernasib baik kerana masih dapat berhubung dengan ibunya sepanjang tempoh itu bagi melepaskan kerinduan dan bertanya khabar.
“Saya sering terfikir bagaimana keadaan dia (Mama) di sana. Apa yang saya makan di sini, macam mana pula Mama (makan) di sana,” katanya.
Sengsara hidup Normazawati sebagai tahanan dan terkandas di Vietnam berakhir apabila dibawa pulang oleh anaknya, Ansyakinah dan Exco Wanita UMNO, Senator Datuk Nor Hayati Onn pada 29 September lalu.
“Saya bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada Kelab Putera 1Malaysia dan Wanita UMNO yang membantu membawa saya pulang ke Malaysia.
“Pengalaman lalu (dipenjarakan) cukup mengajar saya tentang erti kehidupan yang sebenar dan membina kekuatan saya memulakan kehidupan baru,” katanya.
Normazawati berkata, dia hanya diberikan nasi tanpa lauk sepanjang dipenjarakan dan lebih malang apabila tidak dibenarkan untuk bersolat.
“Saya hanya mampu berdoa kepada Tuhan dalam hati agar permudahkan kehidupan saya dan dipertemukan bersama anak-anak yang amat disayangi,” katanya.
Kongsi pengalaman
Normazawati menerima pelawaan kenalannya rakyat tempatan ke Vietnam atas urusan perniagaan perabot dan dipertemukan dengan dua kenalan warga negara itu.
Episod sejarah hitamnya bermula apabila dia diberikan pasport dan kad kredit milik orang lain diarahkan untuk membeli barang-barang mewah dan berjenama menggunakan kad kredit berkenaan.
Pergerakannya dikawal setiap masa malah diugut untuk mengancam keselamatan anak-anaknya di Malaysia sekiranya dia enggan berbuat demikian.
Dia ditahan pada hari keenam melakukan perkara itu dan dihukum penjara 10 tahun namun dipendekkan kepada enam tahun 11 bulan kerana berkelakuan baik.
Sementara itu, Exco Wanita Umno Senator Datuk Nor Hayati Onn pula berkata, dia berasa amat bertanggungjawab apabila mempertemukan seorang ibu tunggal yang dianiaya dengan anaknya yang tidak dijumpai sejak lebih tujuh tahun.
“Apatah lagi Normazawati seorang mangsa yang dianiaya sehingga dia dipenjarakan hampir tujuh tahun di penjara di Vietnam.
“Pengalaman mereka benar-benar menusuk ke dalam hati saya yang bergelar seorang wanita, anak dan ibu. Saya cuba menyelami perasaan mereka,” katanya.
Mengambil contoh kisah Normazawati, masyarakat perlu melihat begitu besar pengorbanan seorang ibu tunggal yang berusaha untuk membesarkan anak-anaknya.
“Segelintir masyarakat mungkin menganggap dia patut dipenjarakan atas kesalahan itu meskipun sebenarnya dia adalah mangsa penganiayaan.” katanya.
Nor Hayati berkata, Wanita Umno akan membantu Normazawati membina kekuatan bagi memulakan kehidupan baru bersama keluarga.
“Wanita Umno bersama Kelab Putera 1Malaysia berusaha untuk membantu menyelamatkan lebih ramai wanita tempatan yang teraniya.
“Dia akan menjadi jurucakap untuk berkongsi pengalaman dalam memberi pengajaran dan kesedaran kepada masyarakat khususnya wanita,” katanya.

No comments:

Post a Comment