Thursday, September 30, 2010

Di Belasah Tengah Akad Nikah

Amuk gila talak
Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/09/30

KUANTAN: Mungkin akibat gila talak, seorang pembantu perubatan sebuah hospital di sini, bertindak ganas apabila membuat kecoh pada majlis akad nikah bekas isterinya dengan membelasah seorang anggota tentera yang bakal menikahi wanita berkenaan di Medan Warisan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 30-an dan bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang di sini, dikatakan sudah berjabat tangan dengan kadi untuk dinikahkan di rumah pengantin perempuan sebelum bekas suami bakal isterinya tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menyerangnya menggunakan topi keledar.

Kejadian itu menyebabkan mangsa patah kaki kanan selain cedera di kepala, muka dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh suspek yang berusia 37 tahun. Suspek dipercayai tidak puas hati dengan tindakan bekas isterinya berkahwin lain sedangkan mereka baru setahun bercerai.

Suspek turut memijak kaki mangsa yang dikatakan belum sembuh sepenuhnya akibat kecederaan lama menyebabkan kaki lelaki berkenaan cedera semula.

Selain itu, suspek turut bertikam lidah dengan bekas isteri dan keluarga wanita berkenaan sebelum dileraikan beberapa tetamu. Dia kemudian ditahan polis yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima laporan.

Difahamkan, majlis akad nikah itu tetap dilangsungkan selepas suspek ditahan. Biarpun kakinya patah dan mengalami kecederaan lain, mangsa masih mampu menggagahkan diri menyempurnakan pernikahannya.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.


Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai tidak puas hati dengan bekas isterinya yang bakal melangsungkan perkahwinan, lalu menyerang bakal suami wanita itu dengan topi keledar.

Katanya, lelaki terbabit sudah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan sebelum dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tinjauan Harian Metro di rumah pengantin perempuan di Medan Warisan, semalam mendapati ia kosong manakala jiran tidak mengetahui di mana keluarga wanita berkenaan berada.

Wednesday, September 29, 2010

Kerana TNB?

Penternak mengalami kerugian sehingga RM200,000

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my


KUBANG PASU 28 Sept - Akibat gangguan bekalan elektrik, seorang penternak ikan siakap di Kampung Kuala Jerlun di sini mengalami kerugian RM200,000 kerana lebih 35,000 ikan siakap peliharaannya mati Ahad lalu.

Penternak tersebut, Ahmad Jusoh berkata, kejadian itu mula disedari apabila pekerjanya memberitahu semua ikan ternakannya mula timbul di permukaan kolam.

"Saya amat kesal dengan kejadian ini kerana semua ikan ternakan telah mencapai usia matang dan hanya menunggu masa untuk dijual.

"Ikan tersebut mula dibela di kolam ini sejak awal April lalu dan hanya dalam sekelip mata sahaja usaha saya menjadi sia-sia," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, gangguan bekalan elektrik itu telah menyebabkan kincir air yang membekalkan oksigen pada semua ikan di kolam miliknya gagal berfungsi.

"Ekoran itu semua ikan ini mati dan saya mengalami kerugian besar.

"Kos ternakan ikan siakap di dalam kolam amat tinggi dan saya membelanjakan puluhan ribu ringgit setiap bulan bagi memastikan ikan itu dapat membesar dengan sempurna," katanya.

Katanya, kolam dengan keluasan satu hektar itu mula diusahakan sejak 10 tahun lalu dengan pelbagai jenis ternakan termasuk udang dan ikan sebelum menjalankan ternakan ikan Siakap April lalu.

"Saya berharap pihak yang bertanggungjawab dapat tampil ke depan dan membantu saya bagi meringankan beban tersebut," ujarnya.

Friday, September 24, 2010

Awas Menantu Hantu

Mentua berdarah dibelasah menantu
Oleh Hadzlihady Hassan

2010/09/24

AMPANG: Menantu setan! Itu gelaran layak buat seorang lelaki yang membelasah ibu mentuanya selepas berang kerana dianggap campur tangan dalam hal ehwal rumah tangganya di Taman Cahaya, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Ahad lalu, mangsa yang berusia lingkungan 50-an ditumbuk di muka hingga hidungnya berdarah, selain ditendang di perut.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut memecahkan cermin teksi milik ibu mentuanya selepas wanita berkenaan memberitahu mahu membuat laporan polis.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila seorang jiran menghubungi mangsa mengatakan anak perempuannya dipukul menantunya, menyebabkan wanita itu bergegas ke rumah pasangan berkenaan.

“Jiran itu menghubungi mangsa dan memaklumkan anaknya sudah tiga hari dipukul menantunya. Sejurus mengetahui hal itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu teksi, bergegas ke rumah anak dan menantunya itu,” katanya.

Sumber itu berkata, sejurus tiba, mangsa bertanyakan kepada menantunya mengapa dia sanggup berbuat demikian kepada isterinya.

“Mendengarkan soalan itu, menantunya secara tiba-tiba naik angin dan terus menendang perut ibu mentuanya tanpa belas kasihan.

“Bagaikan dirasuk, dia kemudian mengamuk dan memecahkan semua barang dalam rumahnya hinggakan mangsa turut terkena serpihan barangan yang pecah itu, selain ditumbuk hingga hidungnya berdarah,” katanya.
Menurutnya, melihat menantunya semakin menggila mangsa cuba melarikan diri dan memberitahu akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Berikutan itu, menantunya mengekori mangsa sebelum menghayunkan topi keledar ke cermin teksi mangsa. Lelaki terbabit kemudian terus melarikan diri meninggalkan mangsa bersama anak perempuannya,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis dan susulan itu, suspek yang berusia lingkungan 20-an itu ditahan polis pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Difahamkan, lelaki terbabit bertindak memukul isterinya kerana dia gagal mendapatkan wang berjumlah kira-kira RM10,000 yang dikatakan untuk menjamin seorang saudaranya yang ditahan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan lelaki terbabit.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun Keseksaan.

Thursday, September 23, 2010

Meja Lipat Bahaya


Budak mati tersepit meja lipat

Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my
KUALA KANGSAR 22 Sept. - Seorang kanak-kanak berusia lima tahun meninggal dunia setelah lehernya tersepit pada kaki meja lipat ketika bermain di rumahnya di Kampung Talang Hilir, di sini, semalam.

Kejadian berlaku pukul 5.50 petang ketika mangsa, Muhammad Irfan Mohd. Fadtah (gambar) bermain bersendirian di belakang rumahnya.

Dia meninggal dunia pada pukul 1.10 pagi selepas dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk menerima rawatan.

Bapa mangsa, Mohd. Fadtah Sadhabil, 27, berkata, kejadian itu hanya disedari salah seorang bapa saudaranya yang membuat pemeriksaan tidak lama selepas anaknya tersepit.

Menurutnya, sebelum itu, ahli keluarga ada terdengar Muhammad Irfan menjerit tetapi menganggap jeritannya itu sebagai gurauan kerana anaknya itu memang suka menjerit semasa bermain.

"Kami sekeluarga menganggap ia perkara biasa dan tidak sangka yang jeritan itu sebenarnya dia meminta tolong.

"Sebaik sahaja menyedari anak saya tiba-tiba sahaja mendiamkan diri, salah seorang bapa saudaranya pergi memeriksa dan mendapati anak saya tersangkut di kaki meja lipat dalam keadaan tenat, malah tubuhnya kebiruan akibat tidak dapat bernafas.

"Saya kemudian segera menghantar Muhammad Irfan ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan sebelum dia dihantar ke HRPB," katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di sini hari ini.

Mohd. Fadtah berkata, Muhammad Irfan adalah anak kedua daripada tiga beradik dan merupakan kanak-kanak yang sangat aktif.

Sementara itu, ibu mangsa, Salmah Sapiay, 25, pula berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergiannya sebagai satu suratan takdir.

Katanya, jenazah Muhammad Irfan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Talang Hilir di sini pada pukul 11 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Ghaffar Muhamad ketika dihubungi memberitahu pihaknya tidak menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Menurut beliau, sekiranya kejadian itu berkaitan dengan unsur jenayah, pakar perubatan di hospital kebiasaannya akan memaklumkannya kepada polis.

Wednesday, September 22, 2010

Tertelan Pen

Mahu mandi sendiri
Oleh Rashidi Karim

2010/09/22

KANGAR: “Dia tidak mahu suami saya memandikannya seperti kebiasaan, sebaliknya mahu mandi seorang diri di luar rumah beberapa jam sebelum meninggal dunia,” kata Rohayani Asra, ibu kepada Mohd Hamizan Jasmin, 10, yang mati akibat tertelan besi hujung pen ketika berada dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Chuping, dekat sini, semalam.


MOHD HAMIZAN...maut
Murid tahun empat itu dipercayai mengulum pen berkenaan sebelum secara tiba-tiba besi hujung depan pen berkenaan dikatakan tercabut dan memasuki saluran pernafasannya menyebabkan dia rebah sehingga mengejutkan rakan sekelas lain.

Mangsa kemudian disahkan sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Beseri selepas tidak sedarkan diri, kira-kira jam 9.45 pagi dan hasil bedah siasat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) menemui besi hujung pen itu dalam badannya, semalam.

Rohayani berkata, selain enggan dimandikan ayahnya, Mohd Hamizan juga menunjukkan perubahan sikap apabila menjadi pendiam sejak seminggu lalu sedangkan sebelum ini dia banyak bercakap.

Bapa mangsa, Jasmin Saman, 44, pula berkata sejurus selepas kejadian, dua guru datang ke rumahnya memaklumkan anaknya tertelan sesuatu dan dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Beseri untuk rawatan.

“Bagaimanapun, saya menjadi lemah lutut apabila melihat arwah sudah kaku di katil dengan keadaan mulutnya berlumuran darah manakala pegawai perubatan di klinik berkenaan pula gagal menyatakan punca sebenar kematian.
“Malah, ujian X-ray juga gagal menjumpai sesuatu bagi mengaitkan punca kematiannya menyebabkan jenazah anak saya dibawa ke HTF untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurutnya, selepas selesai bedah siasat petang semalam, baru doktor menemui sesuatu dalam badan arwah iaitu besi pen yang menjadi punca kematiannya.
Katanya, arwah Mohd Hamizan adalah anak kedua daripada empat beradik, malah dia sempat menghantar anaknya itu ke sekolah dengan motosikal, semalam.

“Arwah seorang yang aktif selain rapat dengan ibunya. Malam tadi (semalam), dia sempat berbual panjang dengan ibunya. Apapun, saya reda dengan kejadian yang berlaku dan menyifatkannya sebagai ketentuan Allah,” katanya yang bekerja sendiri.

Mayat mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Perun, Chuping, lewat petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros, mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut.

Beliau berkata, pihaknya menolak sebarang unsur jenayah berhubung kematian mangsa, namun siasatan terperinci tetap dilakukan termasuk mendapatkan maklumat daripada rakan sekelas, guru dan ibu bapa mangsa.

“Kami menerima laporan daripada seorang guru Hal Ehwal Murid sekolah terbabit yang menyatakan arwah meninggal dunia kerana tertelan sesuatu ketika berada dalam kelas bersama rakan lain,” katanya.

Difahamkan, besi hujung pen itu memasuki saluran pernafasan mangsa hingga menyebabkan mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.

Sunday, September 19, 2010

Kejam

Pembunuhan kejam Sosilawati: Kes bunuh Sosilawati, 3 individu paling kejam


2010/09/19

Mangsa dibakar berbanding jenayah dilakukan Mona Fendy

KES pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiyah serta tiga individu lain dianggap paling kejam dan tragik berbanding kes pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Batu Talam, Datuk Idrus @ Mazlan Idris 17 tahun lalu, membabitkan Maznah Ismail atau Mona Fendy.

Mayat bekas ADUN itu ditemui ditanam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong dekat Temerloh, Pahang dengan keadaan anggota badannya dipotong kepada 18 bahagian oleh pasangan bomoh Nor Affendy Abdul Rahman, isterinya, Mona Fendy serta pembantu mereka, Juraimi Husin.
Ini berbeza dengan kes pembunuhan Sosilawati serta tiga individu lain yang dianggap paling kejam kerana semua mangsa dipercayai dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran lokasi pembunuhan di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Selangor bagi melupuskan bukti.

Sosilawati dikatakan keluar dari pejabatnya di Kampung Baru di sini bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, perunding kewangan CIMB Bank, Noorhisham Mohamad, 38 dan peguam sivilnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, kira-kira pukul 10 pagi, 30 Ogos lalu ke Banting bertujuan untuk bertemu dengan suspek yang juga seorang peguam.

Difahamkan, pertemuan itu bagi membincangkan urusan penjualan sebidang tanah seluas 12 hektar di Pulau Pinang yang dimiliki bersama serta dua lagi rakan kongsi yang bernilai RM29 juta.

Kira-kira jam 4 petang, mangsa dan rakannya dilihat mengunjungi Fazz Enterprise Kerepek House, sebuah kedai perusahaan kerepek di Kampung Sungai Lang, Banting ketika dalam perjalanan bertemu dengan suspek di Ladang Gadong.
Sosilawati dikatakan memakai blaus berwarna merah jambu, kasut sukan berwarna hitam dengan jahitan kuning serta memakai seluar ‘legging’ hitam ketika membeli kerepek di kedai terbabit sambil ditemani Kamaruddin.

Selepas membeli kerepek, mangsa bersama rakannya dikatakan beredar dari situ, difahamkan ketika dalam perjalanan, Kamaruddin ada menghubungi anak saudaranya, Khairul Izuan Ismail kira-kira jam 5 petang.

Antara jam 5 hingga 6 petang, Sosilawati menghantar SMS kepada suaminya bagi memaklumkan yang beliau berada di Banting dan kesemua mereka akan pulang selepas tiga hari.

Kira-kira jam 8.15 malam, Noorhisham menghubungi isterinya, Suzana Radim Pangat dalam keadaan tergesa-gesa memaklumkan yang beliau akan pulang ke rumah selepas tiga hari.

Kira-kira jam 10 malam, semua mangsa dipercayai diikat, dipukul sehingga parah lalu ditikam sebelum mayat mangsa dibakar dan abu mayat dibuang ke dalam sungai.

Anak Sosilawati membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan pada 6 September lalu, kereta milik Sosilawati dijumpai di tempat letak kereta Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah, kira-kira jam 8.30 malam, manakala kereta milik Ahmad Kamil ditemui diletakkan di hadapan Hotel Dorsett di SS12, Subang Jaya setengah jam kemudian.

Empat hari selepas penemuan kedua-dua kereta milik mangsa, lapan suspek termasuk seorang peguam menggunakan gelaran ‘Datuk’ palsu dan adiknya ditahan pada 10, 11 dan 12 September lalu dan polis turut mengesahkan Sosilawati, Ahmad Kamil, Noorhisham dan Kamaruddin dipukul sampai mati, mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang ke dalam sungai.

Rabu lalu, polis menganggap kes terbabit selesai dan kesemua suspek dijangka didakwa minggu depan selepas menemui beberapa bahan bukti di lokasi kejadian.

Pembunuhan Kejam

Pembunuhan paling kejam
Oleh MANAN SAMAD dan RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
metahad@hmetro.com.my
2010/09/18

KUALA LUMPUR: Ketika umat Islam gembira meraikan kedatangan Syawal, negara digemparkan dengan berita penemuan bukti berkaitan pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga individu lain di Banting, Selangor, Sabtu lalu.


Cara digunakan penjenayah berkenaan untuk menamatkan riwayat mangsa mungkin langsung tidak pernah difikirkan manusia normal dan di luar batas perikemanusiaan.

Berikut adalah lima kes jenayah berprofil tinggi yang pernah menggemparkan negara sejak 1982.


KES 1
PEMBUNUHAN DATUK MAZLAN IDRIS

KES pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Datuk Mazlan Idris hampir 17 tahun lalu disifatkan jenayah paling ngeri dalam sejarah negara dan memeranjatkan ramai pihak.

Penemuan mayat Mazlan yang dikerat kepada 18 bahagian dan ditanam di dalam sebuah lubang sebelum disimen membawa kepada penahanan pasangan bomoh, Maznah Ismail atau Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman serta pembantu mereka, Juraimi Husin.


Mazlan dibunuh pada 2 Julai 1993 di bilik air sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang selepas mengadakan pertemuan dengan pasangan bomoh itu.

Hajat membunuh ahli politik itu dirancang awal berdasarkan persiapan rapi dengan mengorek lubang di dalam sebuah stor bagi mengebumikan jasad Mazlan seminggu sebelum hari kejadian.

Juraimi yang dinamakan sebagai tertuduh pertama mengaku menetak leher Mazlan dengan kapak sebanyak tiga kali sehingga putus selepas mendapat isyarat tangan daripada Affandi.

Dia kemudian memotong sendi dan melapah kulit serta daging Mazlan setelah mendapat arahan lanjut daripada Affandi.

Tulang dan daging yang dikerat kepada 18 bahagian itu diletakkan di dalam besen sebelum dicurahkan ke dalam lubang stor rumah sedalam 1.8 meter dan ia dilakukan dalam masa tiga jam setengah.

Difahamkan, Mazlan ke rumah yang didiami pasangan bomoh itu untuk melakukan proses mandi bunga kira-kira jam 10 malam.

Ketika perbicaraan, berlaku beberapa percanggahan pernyataan daripada ketiga-tiga suspek, yang mana Juraimi memberitahu bahawa Affandi dan Mona membuat rancangan membunuh Mazlan sebulan sebelum kejadian dan dia diminta memberi kerjasama.

Affandi dan Mona pula mengatakan, pada malam kejadian ketika mereka menjalankan upacara mandi bunga ke atas Mazlan, Juraimi dengan tiba-tiba seperti orang hilang pedoman menetak leher Mazlan.

Namun pihak pendakwa raya berjaya membuktikan kejadian itu berlaku hasil perancangan ketiga-tiga tertuduh.

Perbicaraan itu mendapat perhatian segenap masyarakat yang mengikuti perjalanan perbicaraan itu sehingga hukuman dijatuhkan.

Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 memutuskan ketiga-tiganya bersalah membunuh dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan rayuan mereka untuk mengurangkan hukuman juga ditolak.

Pada 2 November 2001, mereka menjalani hukuman itu di Penjara Kajang dan jenazah Mona dan Mohd Affandi dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang pada jam 11.05 dan 11.30 pagi, manakala jenazah Juraimi dimandi dan dikebumikan di kampungnya iaitu di Teluk Gong, Klang, pada 11.15 pagi hari sama.

KES 2
PEMBUNUHAN DATUK DATUK S KRISHNASAMY

BELIAU ditembak di dalam lif sebelum menghadiri mesyuarat perhubungan MIC di tingkat dua bangunan MIC Johor di Jalan Segget, Johor Bahru.

Satu das tembakan yang dilepaskan di belakang leher oleh individu tidak dikenali menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh, Datuk S Krishnasamy, 62, mati serta-merta di tempat kejadian.

Kejadian yang berlaku kira-kira 2 petang pada 11 Januari 2008 itu disedari oleh kerani di Ibu Pejabat MIC negeri, V Kamala dan Ketua Puteri MIC negeri, Vitayah Mohan, sebaik pintu lif terbuka di tingkat lima bangunan berkenaan.

Siasatan awal mendapati Krishnasamy keluar dari keretanya di depan bangunan itu dan ditembak ketika dalam perjalanan naik ke tingkat dua menggunakan lif.

Beberapa minggu sebelum kejadian, mangsa pernah mengadu menerima ugutan bunuh melalui panggilan telefon tetapi tidak menganggapnya sebagai serius.

Namun keluarganya tidak menyangka ugutan itu benar-benar terjadi dan lebih menghairankan, kejadian berlaku di dalam bangunan yang menempatkan pejabatnya.

Polis menubuhkan satu pasukan khas membabitkan pegawai kanan bagi menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan hingga membawa kepada penahanan seorang suspek yang dilihat tergesa-gesa meninggalkan premis itu sejurus kejadian.

Kejadian itu menyebabkan majlis perkahwinan anak lelaki mendiang, S Raj Kumar, 32, terpaksa ditangguh.

Menurut anak saudaranya, pada kali terakhir dia bertemu mendiang beberapa minggu sebelum kejadian, mangsa lebih banyak mendiamkan diri dan kurang bercakap berbanding biasa.

Mendiang sememangnya seorang yang kuat bekerja dan sentiasa memastikan rakyat di kawasannya tidak tercicir dengan pembangunan.

Bagaimanapun, sehingga kini, pembunuh mangsa masih bebas walaupun pihak berkuasa menjalankan pelbagai operasi bagi memburu mangsa.

Malah anggota forensik juga membuat siasatan di tempat kejadian dengan teliti sejurus kejadian berlaku dan hasilnya 13 orang ditahan secara berperingkat bagi membantu siasatan.

Namun, semua suspek berkenaan dibebaskan berikutan tiada bukti kukuh untuk mengaitkan mereka dengan kes terbabit.

KES 3
PEMBUNUHAN DATUK MOHAMED TAHA TALIB

CUKUP menggemparkan apabila bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim, dituduh membunuh bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohamed Taha Talib 28 tahun lalu.

Beliau ditangkap polis dekat rumahnya di Jalan 16/5 Petaling Jaya dalam bulan puasa, kira-kira jam 1.30 pagi 10 Julai 1982 atas tuduhan berkenaan.

Pada 5 Mac 1983, Mahkamah Tinggi mendapati Mokhtar bersalah dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

Rayuan Mokhtar ke Mahkamah Persekutuan pada 23 Julai 1983 ditolak. Pada 3 Mac 1984, Yang di-Pertuan Agong meringankan hukuman ke atasnya kepada penjara seumur hidup selepas bekas perdana menteri, Tuanku Abdul Rahman menulis surat peribadi dengan disertai sokongan petisyen orang ramai.

Kes itu mencatatkan sejarah sebagai perbicaraan kedua paling lama di Malaysia iaitu 75 hari, selepas kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika dalam tahanan, Mokhtar diberi tugas sebagai pendaftar di klinik Penjara Pudu.

Beliau yang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Penjara Pudu, bagaimanapun, dibebaskan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah pada 15 April 1991.

Mokhtar yang sepatutnya menamatkan tempoh hukuman itu pada 1995, dibebaskan jam 10.15 pagi itu.

KES 4
PEMBUNUHAN HASLEZA ISHAK

KES pada 2002 ini menggemparkan negara dan menarik minat ramai kerana ia turut dikaitkan dengan kerabat diraja.

Hakim Datuk Mohd Noor Abdullah ketika merumuskan kes itu berkata, satu perkara yang menyerlah, tindakan keempat-empat tertuduh membuang Hasleza (Ishak) dari jambatan setinggi bangunan lima tingkat nyata perbuatan kejam, tidak kira sama ada ketika itu mangsa masih hidup atau sudah mati.

Beliau berkata, rumusan itu satu daripada alasannya untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun bermula dari tarikh ditangkap terhadap empat tertuduh dalam perbicaraan kes bunuh Hasleza yang juga isteri kedua Raja Dihilir Perak.

Perbicaraan itu diadakan di Mahkamah Tinggi Taiping pada 25 April 2003 yang keseluruhannya berlangsung 41 hari sejak 21 Januari tahun itu.

Empat tertuduh ialah tukang kayu, Sabarudin Non, 34; nelayan, J Manimaran, 25; bomoh, Rahim Ismail, 47, dan pekerja istana Raja Dihilir Perak, Tengku Aristonsjah Tengku Mohd Ansary, 40.

Sabarudin dan Manimaran pada asalnya dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu membunuh Hasleza dengan niat pada 6 Oktober 2002 di Kilometer 63 Jalan Sumpitan, dalam daerah Larut Matang dan Selama, Perak, antara jam 6 petang dan 11 malam.

Rahim dan Tengku Aristonsjah pula dituduh bersubahat dengan Sabarudin dan Manimaran. Keempat-empat mereka menghadapi hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dalam penghakimannya, Mohd Noor meminda pertuduhan ke atas Sabarudin dan Manimaran kepada Seksyen 304 KK iaitu menyebabkan homisid atau membunuh tanpa niat ke atas Hasleza.

Pertuduhan ke atas Rahim dan Tengku Aristonsjah juga dipinda kepada bersubahat dengan Sabarudin dan Manimaran mengikut seksyen sama.

Sebelum ini, seorang lagi tertuduh, Mat Saad Mat Isa, 50, dituduh bersama Sabarudin dan Manimaran, namun mengaku bersalah pada 28 Januari lalu sejurus menerima tuduhan membunuh tanpa niat yang ditawarkan kepadanya. Dia dikenakan hukuman 14 tahun penjara.

Mat Saad yang juga tertuduh pertama kemudian menjadi saksi pendakwa ke-34 dan memberi keterangan untuk menyokong kes pendakwaan. Dalam keterangannya, dia mengaku menetak leher Hasleza di jambatan Jalan Sumpitan.

KES 5
PEMBUNUHAN CANNY ONG LAY KIAN

DIROGOL, dibunuh dan dibakar. Itulah azab yang terpaksa ditanggung penganalisis teknologi maklumat (IT), Canny Ong Lay Kian sebelum mayatnya ditemui dalam sebuah lubang di Batu 7, Jalan Klang Lama pada 17 Jun 2003.

Empat hari sebelum itu, Canny diculik ketika pergi ke Pusat Beli-Belah Bangsar bersama ibunya untuk meraikannya pulang ke Malaysia selepas berada lama di Amerika Syarikat kerana mengikut suaminya, Brandon Ong.

Dia bagaimanapun hilang ketika mengambil tiket letak kereta yang ditinggalkan dalam keretanya di tingkat bawah kompleks itu.

Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah itu, Canny dilihat menaiki Proton Tiara milik ibunya, V Pearly. Ibunya membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur.

Canny menjadi mangsa lelaki ‘gila seks’. Tertuduh yang juga pembersih kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris didakwa menikam perut mangsa selepas melampiaskan nafsunya antara jam 1 dan 5 pagi pada 14 Jun 2003.

Lebih kejam, tubuhnya disumbat ke dalam lubang dan Ahmad Najib membakar mayat mangsa dengan minyak.

Malah, Ahmad Najib menutup mayat mangsa dengan papan tanda jalan sebelum meletakkan dua biji tayar yang bersimen dan seterusnya menutup lubang dengan papan.

Ketika dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), mayat mangsa didapati putus antara bahagian badan dan kakinya.

Bahagian luar kemaluan mayat itu juga didapati terbakar, bagaimanapun tiada kesan seluar dalam ditemui.

Hasil bedah siasat pakar patalogi serta ujian DNA mengesahkan mayat itu adalah Canny dan berita itu menghancurkan hati keluarganya yang sebelum ini yakin Canny masih hidup.

Hasil siasatan menerusi imej CCTV, polis akhirnya menahan Ahmad Najib di rumahnya di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam pada 20 Jun 2003 dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Petaling Jaya, 13 hari kemudian.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi jenayah rogol dan Seksyen 302 kanun sama bagi jenayah membunuh yang boleh membawa hukuman mati.

Pihak pendakwaan berjaya membuktikan ada kes prima facie terhadap tuduhan merogol dan membunuh selepas perbicaraan selama 52 hari itu dilakukan.

Pada 23 Februari 2005, Ahmad Najib dihukum gantung sampai mati atas tuduhan membunuh dan penjara maksimum 20 tahun serta 10 sebatan atas tuduhan merogol Canny.

Manusia Kejam



Azab pembantu rumah
Laporan dan foto RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
metahad@hmetro.com.my
2010/09/18

GEORGETOWN: Dera, rogol dan campak. Itulah tiga tindakan kejam dipercayai dilakukan sepasang suami isteri terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia sebelum ditahan dalam serbuan di Jelutong, di sini, malam kelmarin.


NGERI...kesan kecederaan yang dialami pembantu rumah

BUKTI... antara barangan yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.
Majikan tidak berperikemanusiaan itu kemudian meninggalkan mangsa sendirian di kawasan ladang di Taman Cenderawasih tanpa dokumen pengenalan diri.


Bagaimanapun, keesokannya mangsa diselamatkan orang ramai pada jam 10.30 pagi sebelum diserahkan kepada anggota polis Nibong Tebal untuk tindakan selanjutnya.


Ketua Polis Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, polis pada mulanya menghadapi kesukaran apabila mangsa gagal memberitahu alamat rumah majikannya dan hanya memaklumkan bahawa rumah itu terletak di kawasan Jelutong.


Katanya, mangsa mendakwa bekerja dengan majikannya sejak tujuh bulan lalu dan sepanjang tempoh itu dia tidak dibayar gaji manakala sejak Mei lalu dia sering didera termasuk dipukul di kepala, disiram air panas di belakang badan serta dilecurkan dadanya menggunakan seterika elektrik.

“Siasatan lanjut mendapati banyak kesan kecederaan dan bengkak serta lebam di beberapa bahagian badan mangsa yang juga mendakwa dirogol empat kali oleh majikannya di rumah.


“Hasil pemeriksaan doktor turut mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), di sini, semalam.


Gan berkata, susulan kejadian itu dan hasil maklumat awam, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Blok 75, Jalan Penawar Satu, Sri Wangsa Satu, Jelutong, di sini, dan menahan sepasang suami isteri berusia 41 tahun dan 36 tahun yang mempunyai empat anak.


Katanya, majikannya bekerja sebagai kontraktor memotong rumput dan siasatan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah iaitu dua rekod kesalahan dadah dan satu kes jenayah manakala isterinya suri rumah.


“Polis turut menemui seterika elektrik dipercayai digunakan untuk mendera mangsa selain merampas satu tali pinggang, cadar dan lapik tilam mangsa serta sebuah kereta jenis Toyota Camry yang digunakan untuk meninggalkan mangsa di kawasan ladang di Nibong Tebal.


“Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku mendera mangsa dan suspek lelaki juga mengaku merogol mangsa beberapa kali di rumahnya,” katanya.


Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 376 kanun sama iaitu rogol dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun atau tidak melebihi 20 tahun atau sebatan,” katanya.


Gan berkata, mangsa kini berada di Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan dan pasangan suami isteri itu akan direman untuk siasatan lanjut, manakala polis memaklumkan kejadian itu kepada Konsul Jeneral Indonesia di Malaysia.

Saturday, September 11, 2010

Tip Memandu 3K

ARKIB : 09/09/2010

Hayati 3 'K' sewaktu memandu

NOOR MOHAMADSHAKIL HAMEED
Padang Rengas, Perak
Umat Islam di negara ini bakal menyambut ketibaan 1 Syawal esok yang sekali gus menandakan bermulanya pesta balik kampung di kalangan anak perantau yang akan pulang beraya di kampung halaman.

Bagi membendung kadar kemalangan jalan raya di musim perayaan ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi melancarkan Ops Sikap yang dikenali sebagai Ops Sikap Ke-22 bermula 3 September yang lalu. Apa yang menyedihkan ialah Ops Sikap yang baru sahaja bermula beberapa hari sudahpun mengorbankan sebilangan nyawa yang mula merisaukan semua pihak.

Lantas timbul satu persolan yang penting, apakah Ops Sikap Ke-22 ini mampu mengurangkan kadar kemalangan atau sebaliknya bakal meningkatkan lagi statistik kemalangan, terutamanya kemalangan jiwa di musim perayaan yang besar seperti ini?

Semuanya terletak pada diri pemandu dan pengguna jalan raya itu sendiri sama ada menjayakan Ops Sikap kali ini ataupun menjadi sebahagian daripada statistiknya kelak. Hal ini adalah kerana ternyata segala kajian yang dilaksanakan selama ini secara terang menjurus kepada sikap kecuaian dan kelalaian pemandu itu sendiri sebagai punca utama kepada kemalangan yang berlaku selama ini.

Untuk itu, saya ingin mengajak semua pemandu dan pengguna jalan raya bersama-sama menghayati formula tiga 'K' yang telah diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini dalam Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Sempena musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2010.

Tiga 'K' yang disyorkan oleh beliau ialah kelajuan, kesabaran dan kecergasan. Ketiga-tiga 'K' ini dilihat mempunyai hubungan yang sangat signifikan dengan sikap kecuaian dan kelalaian yang ada pada para pemandu selama ini.

Misalnya, sikap mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan keselamatan diri dan juga orang lain semasa berada di atas jalan raya mendorong para pemandu memandu kenderaan masing-masing melebihi had laju yang telah ditetapkan yang akhirnya mengundang pelbagai kecelakaan yang tidak diingini. Keinginan untuk sampai ke destinasi dengan segera dan cepat menyebabkan kita seringkali lupa kepada had laju yang telah ditetapkan.

Semasa berada di atas jalan raya juga, pemandu haruslah mengutamakan dan menyematkan elemen kesabaran dalam diri masing-masing. Bukankah dari kecil lagi kita telah diajar bahawa sabar itu separuh dari iman? Maka tiada salahnya kalau kita bertolak ansur mahupun sedikit mengalah dan lebih berhemah semasa memandu asalkan masing-masing selamat tiba ke destinasi.

Begitu juga halnnya dengan elemen kecergasan di mana ramai di kalangan kita gemar untuk memandu atau memulakan perjalanan pada waktu malam atas alasan lebih tenang dan kurang kenderaan. Perkara itu mungkin ada kebenarannya tetapi pada masa yang sama kita gagal untuk membuat persiapan yang sewajarnya sebelum memulakan pemanduan pada waktu malam seperti tidur dan mendapatkan rehat yang secukupnya.

Minda yang penat dan letih selalunya akan menyebabkan kita berasa mengantuk dan kurang cergas untuk memandu terutamanya jika ianya melibatkan pemanduan yang jauh. Akibatnya ramai yang terlelap semasa memandu yang akhirnya membawa kepada tragedi yang menyedihkan.

Justeru kita harap agar semua pemandu akan berusaha dan bertekad untuk mengurangkan kadar kelajuan masing-masing, paling tidak pun mematuhi had laju yang telah ditetapkan, lebih bersabar dan berhemah semasa memandu dan seterusnya memandu dalam keadaan yang lebih cergas.

Ingatlah kata-kata keramat yang sering diungkapkan 'seminit tidak membawa erti jika ia berakhir dengan tragedi'. Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaga keselamatan diri dan juga keselamatan pengguna jalan raya yang lain agar Aidilfitri kali ini kita dapat raikan dalam suasana yang lebih meriah dan bukannya menjadi majlis ratapan seluruh kaum keluarga.

Tuesday, September 7, 2010


'Belum sedia serah 5 adik'
Oleh D J Dolasoh

2010/09/07

GERIK: Sebaik kisah mereka dipaparkan akhbar ini, semalam, nasib lima beradik ditinggalkan ibu mereka menemui sinar baru apabila menerima banyak panggilan daripada masyarakat yang prihatin termasuk yang menyatakan hasrat mengambil semua mereka dijadikan anak angkat.


MENANTI...Syafiqah Abdullah (dua dari kanan) bersama adik-adiknya menunggu kepulangan ibu mereka yang menghilangkan diri, semalam.
Sehingga petang semalam, mereka menerima 13 panggilan yang semuanya berhasrat membela nasib lima beradik berkenaan selain dua daripadanya memberi sumbangan wang tunai. Abang sulung berlainan ibu kepada lima beradik berkenaan, Mohd Irwandi Awang Bakar, 24, berkata, seawal jam 8 pagi semalam, dia menerima 13 pemanggil yang semuanya adalah wanita dan mereka menyatakan hasrat untuk mengambil adik-adiknya untuk dipelihara sebagai anak angkat. Katanya, pemanggil berkenaan yang menghubunginya dari seluruh pelosok negara itu kebanyakannya mahu membela adik-adiknya yang kecil iaitu yang bongsu berusia lima tahun dan sehingga berusia 11 tahun.

“Saya terharu di atas simpati pemanggil itu yang masing-masing menghubungi saya dari Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Kelantan dan Kedah serta menyatakan kesungguhan mereka untuk mengambil adik-adik saya untuk dijadikan anak angkat.


“Terima kasih di atas hasrat semua mereka dan saya minta maaf banyak kerana setakat ini hati saya belum bersedia untuk menyerahkan adik-adik saya ini selagi saya sendiri boleh membelanya,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Bersia Lama, semalam.


Katanya, meskipun dia sukar untuk membela adik-adiknya itu kerana kemiskinan dan tiada pekerjaan tetap, dia berazam membela nasib mereka selagi terdaya.


Mohd Irwandi, seorang nelayan di Tasik Banding, Gerik yang berpendapatan antara RM400 dan RM700 sebulan turut mendapat simpati daripada dua pembaca yang mahu menderma kepada keluarganya terutama membeli pakaian raya lima adiknya yang masih belum dibeli.


Sehingga ini, katanya, seorang hamba Allah dari Kuala Lumpur menderma RM500 selain seorang lagi pemanggil dari Terengganu yang tidak dinyatakan jumlahnya. “Buat masa ini, saya mahu adik-adik saya diberi kemudahan untuk belajar bagi menjamin masa depan mereka. Saya buntu memikirkan hal ini terutama dua daripada mereka yang tidak dibenarkan bersekolah.


“Saya juga buntu memikirkan tempat tinggal kami selepas Aidilfitri ini kerana tidak mampu untuk menyewa rumah kerana sewa yang paling rendah dengan kadar sewaan di Gerik ialah RM250 sebulan,” katanya.


Katanya, beliau berharap pihak berkenaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal atau pihak tertentu dapat membantunya mendapatkan sebuah rumah kediaman meskipun kecil.


Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan sumbangan menerusi rumah beralamat 52, Kampung Bersia Lama, 33320 Gerik, Perak atau melalui nombor akaun CIMB Mohd Irwandi: 0810-0066633-52-0 atau hubungi talian 019-5437025.

Terbakar


RM10,000 terbakar
Oleh Mohd Fakri Awang Lah

2010/09/07

KUALA KRAI: Jeritan seorang kanak-kanak berusia enam tahun berjaya menyelamatkan dia serta adik perempuannya daripada rentung dalam kebakaran memusnahkan rumah mereka di Kampung Chuchuh Puteri B, dekat sini, semalam.


PILU...Zuhaimi dan anaknya melihat rumah mereka yang hangus dijilat api, semalam.
Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu disedari Mohd Fikri Hakim Mohd Zuhaimi, 6, yang ternampak percikan api di ruang tamu rumah mereka ketika menonton televisyen bersama adik perempuannya, Siti Hazar Zulaikha, 4.

Ketika itu, ibu mereka, Zakiah Che Soh, 37, menjemur kain di belakang rumah manakala bapa mereka, Mohd Zuhaimi Abdullah, 39, pula tiada di rumah kerana menoreh di kebun yang terletak beberapa kilometer dari rumah mereka. Keluarga empat beranak itu menganggarkan kerugian kira-kira RM120,000 apabila dua kereta dan dua motosikal milik mereka musnah dalam kebakaran itu.


Menurut Zakiah, dia terdengar anak lelakinya itu menjerit memberitahu ada api dalam rumah sebelum meluru masuk untuk menyelamatkan kedua-dua anaknya.


Katanya, dia turut terdengar letupan kecil sebelum kebakaran itu memusnahkan rumah mereka dalam masa kurang 10 minit.


“Saya yang terkejut mendengar jeritan anak terus bergegas masuk ke dalam rumah menyelamatkan anak.


“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya tidak sempat menyelamatkan barang berharga termasuk wang RM10,000 yang dipinjam dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya.


Dia sedih kerana banyak kelengkapan untuk menyambut Aidilfitri yang baru dibeli beberapa hari lalu turut hangus dalam kejadian itu.


“Saya dan suami sebenarnya bercadang ke bandar Kuala Krai petang ini (semalam) untuk membeli beberapa lagi barangan kelengkapan termasuk kasut raya anak selepas suami pulang, tetapi rancangan itu terpaksa dibatalkan akibat kejadian ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Che Mohd Nasir, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 9.49 pagi sebelum tiba di tempat kejadian setengah jam kemudian.


“Sepasukan 10 anggota bersama dua jentera dan dua van tiba di tempat kejadian dan melihat api sudah memusnahkan sebahagian rumah terbabit.


“Kami berjaya mengawal kebakaran 10 minit sejurus tiba di tempat kejadian. Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.” katanya.

Bapa 10 anak maut nahas 'pelik'
Oleh Hadzlan Hassan

2010/09/07

KUALA TERENGGANU: “Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, namun bagi saya sekeluarga sambutan tahun ini suram kerana ayah sudah pergi selama-lamanya.


MAUT...anggota polis memeriksa mayat Sulong (gambar kecil) yang terbunuh selepas motosikalnya merempuh rumah kakaknya.
“Walaupun arwah sempat menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan menyediakan segala kelengkapan raya untuk kami 10 beradik, namun sambutan tahun ini sudah tidak bermakna bagi kami yang sepatutnya mencium tangannya pada pagi lebaran,” kata Mohd Asnazir Sulong, 23.

Bapanya, Sulong Ibrahim, 50, maut selepas motosikal ditungganginya merempuh rumah jiran mereka yang juga kakak mangsa ketika membaiki motosikal itu bersama seorang lagi anak lelakinya dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam.

Kejadian berlaku di Kampung Petai Bubus, Manir, dekat sini, ketika adik Mohd Asnazir, Mohd Azlin, 19, menolak motosikal yang dibaiki manakala bapa mereka menunggangnya untuk membolehkan enjin kenderaan itu dihidupkan.

“Bagaimanapun sebaik motosikal itu berjaya dihidupkan, ia meluncur laju lalu merempuh rumah di depannya sebelum terperosok di bawah rumah berkenaan menyebabkan beberapa ahli keluarga termasuk ibu, Sabidah Ismail, 47, yang terdengar dentuman akibat pelanggaran itu berkejar ke situ.

“Ketika itu, kami sudah tidak mampu berbuat apa-apa kerana ayah sudah nazak dan tidak sedarkan diri dan hanya badannya bergerak-gerak sebelum akhirnya terhenti,” katanya.

Harian Metro difahamkan, kejadian berlaku akibat tali minyak motosikal berkenaan dikatakan gagal berfungsi dengan baik kerana terlekat menyebabkan motosikal berkenaan meluncur laju sebaik enjinnya hidup tanpa dapat dikawal mangsa.

Akibatnya, kenderaan itu merempuh rumah kakak mangsa dan kesan perlanggaran itu menyebabkannya cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.


Mohd Asnazir berkata, bapanya menunjukkan perubahan sikap apabila arwah sebelum ini serius tiba-tiba berubah menjadi seorang yang periang sejak beberapa hari lalu.

Sebelum membaiki motosikal anaknya, arwah dikatakan baru pulang dari klinik berhampiran untuk mengambil ubat darah tinggi sambil ditemani isterinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes itu adalah kematian pertama yang dilaporkan di Kuala Terengganu sejak Ops Sikap ke-22 dilancarkan.

Tip Mengelak Kebakaran Di Hari Raya

angan guna elektrik berlebihan, elak kebakaran menjelang hari raya

KOTA BHARU 6 Sept. - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan tenaga elektrik secara berlebihan dalam keghairahan mereka membuat persiapan dan merayakan Aidilfitri ini bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Osman berkata, berdasarkan rekod, kes-kes kebakaran sering mencatatkan peningkatan menjelang 1 Syawal.

"Lazimnya dua tiga hari sebelum hari raya, kes kebakaran kerap berlaku berbanding hari biasa dan salah satu puncanya adalah penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan.

"Saya minta orang ramai berpada-pada dalam penggunaan tenaga elektrik dan sentiasa memastikan aspek keselamatan semasa menggunakan barangan elektrik," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penerimaan Kuih Raya daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh di sini, semalam.

Azmi juga meminta semua pengguna jalan raya agar tidak bersikap mementingkan diri sebaliknya bersedia memberikan laluan kepada jentera bomba apabila berlaku kecemasan.

"Sebagaimana kita maklum, kepulangan lebih 600,000 perantau pada musim perayaan ini akan menyebabkan kesesakan teruk.

"Jentera bomba yang dihantar ke lokasi kemalangan atau kebakaran sudah pasti akan menghadapi kesukaran untuk tiba seawal mungkin.

"Jadi saya amat berharap agar masyarakat segera memberikan laluan apabila melihat jentera kami. Berilah kerjasama kepada pihak bomba dalam proses kami membantu orang yang dalam kesusahan," katanya.

Menurutnya, seramai 540 anggota bomba dan penyelamat di seluruh negeri sudah bersiap sedia menghadapi sebarang insiden sepanjang musim perayaan ini.

Beliau turut memberitahu, pihaknya telah memilih enam kawasan strategik di bandar ini untuk ditempatkan jentera bomba berikutan risiko kebakaran yang tinggi, antaranya berhampiran Masjid Muhammadi.

"Kami juga mempunyai pasukan bermotosikal 'Rapid Intervention Team' (RIT) yang akan melakukan rondaan di jalan raya dan memberi respons awal sekiranya berlaku kemalangan dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, Mohd. Fatmi berkata, pemberian kuih raya itu sebagai penghargaan kepada pasukan bomba dan penyelamat yang seakan-akan dilupakan berbanding pasukan keselamatan lain.

"Selalunya perhatian lebih ditumpukan kepada pasukan keselamatan seperti tentera di perbatasan, padahal bomba juga memainkan peranan amat penting dalam masyarakat," katanya.

Friday, September 3, 2010



18 cedera, dua parah
Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Muhammad Apendy Issahak

2010/09/03

GOMBAK: “Jalan terlalu licin, saya tak dapat kawal bas. Saya tak pandu laju kerana hujan lebat, tapi tiba-tiba saja terbabas dan merempuh penghadang jalan sebelum terbalik.


BANTU...anggota ketenteraman awam dan trafik membantu penumpang yang cedera.
“Saya cepat-cepat keluar bas ikut cermin depan yang pecah untuk selamatkan diri dan membantu penumpang lain,” kata pemandu bas persiaran, Atan Muhamad, 44, menceritakan detik cemas bas dari Genting Highlands ke Batu Pahat, Johor terbabas di Kilometer 31 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur dekat Terowong Genting Sempah, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, 18 daripada 27 penumpang cedera termasuk dua parah dan dirawat di Hospital Selayang.

Seorang penumpang cedera ringan, Manja Kasim, 28, berkata dia tidak sedar bagaimana kemalangan berlaku kerana tidur ketika kejadian.

“Saya hanya terjaga selepas terdengar dentuman kuat dan baru sedar bas sudah terbalik. Saya merangkak keluar menyelamatkan diri sebelum membantu penumpang lain.

“Semua penumpang dalam perjalanan pulang selepas bercuti di Genting Highlands,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, kejadian dipercayai berlaku kerana jalan licin akibat hujan lebat.

Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Selayang menggunakan enam ambulans manakala yang tidak cedera meneruskan perjalanan dengan menaiki bas lain.


“Tujuh penumpang patah dan retak tulang manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar. Antara yang parah ialah seorang wanita warga negara China dan seorang lelaki warga Indonesia.

“Mengikut rekod bas berkenaan membawa tujuh rakyat tempatan manakala bakinya warga asing,” katanya.

Wednesday, September 1, 2010

Jangan Percaya Lelaki

Gadis dirogol 8 lelaki

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Akibat terlalu mudah mempercayai individu baru dikenali, seorang remaja berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol bergilir-gilir lapan lelaki di sebuah rumah di Jalan Melor 2A, Desa Melor di Serendah, dekat sini, Jumaat lalu.

Mangsa yang sudah tidak bersekolah pada mulanya berkenalan dengan dua daripada suspek dan bersetuju mengikut mereka minum di sebuah kedai makan.

Semasa minum, suspek dipercayai telah memasukkan sesuatu ke dalam minuman mangsa menyebabkan gadis itu tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudian dibawa ke sebuah rumah terletak di tingkat atas lot kedai di Jalan Melor 2A dan dirogol bergilir-gilir oleh dua suspek bersama empat lagi rakan serumah yang lain.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, apabila mangsa tidak pulang ke rumah selama sehari, bapanya telah membuat laporan di Balai Polis Serendah.

Beliau berkata, hasil maklumat orang ramai, seorang rakan kepada bapa mangsa berjaya menemui dan menyelamatkan gadis terbabit di rumah tersebut.

"Mangsa yang diikat tangannya berjaya diselamatkan oleh rakan bapanya pada Sabtu lalu.

"Dengan bantuan orang awam, kelapan-lapan suspek berusia 20 hingga 30 tahun berjaya ditangkap pada hari yang sama," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Norel Azmi berkata, kelapan-lapan suspek merupakan pekerja kilang dan berasal dari Sabah.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan mangsa telah dirogol.

Katanya, polis juga sudah menghantar barang-barang bukti di tempat kejadian untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 dan 342 Kanun Keseksaan," katanya.