Wednesday, September 29, 2010

Kerana TNB?

Penternak mengalami kerugian sehingga RM200,000

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my


KUBANG PASU 28 Sept - Akibat gangguan bekalan elektrik, seorang penternak ikan siakap di Kampung Kuala Jerlun di sini mengalami kerugian RM200,000 kerana lebih 35,000 ikan siakap peliharaannya mati Ahad lalu.

Penternak tersebut, Ahmad Jusoh berkata, kejadian itu mula disedari apabila pekerjanya memberitahu semua ikan ternakannya mula timbul di permukaan kolam.

"Saya amat kesal dengan kejadian ini kerana semua ikan ternakan telah mencapai usia matang dan hanya menunggu masa untuk dijual.

"Ikan tersebut mula dibela di kolam ini sejak awal April lalu dan hanya dalam sekelip mata sahaja usaha saya menjadi sia-sia," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, gangguan bekalan elektrik itu telah menyebabkan kincir air yang membekalkan oksigen pada semua ikan di kolam miliknya gagal berfungsi.

"Ekoran itu semua ikan ini mati dan saya mengalami kerugian besar.

"Kos ternakan ikan siakap di dalam kolam amat tinggi dan saya membelanjakan puluhan ribu ringgit setiap bulan bagi memastikan ikan itu dapat membesar dengan sempurna," katanya.

Katanya, kolam dengan keluasan satu hektar itu mula diusahakan sejak 10 tahun lalu dengan pelbagai jenis ternakan termasuk udang dan ikan sebelum menjalankan ternakan ikan Siakap April lalu.

"Saya berharap pihak yang bertanggungjawab dapat tampil ke depan dan membantu saya bagi meringankan beban tersebut," ujarnya.

No comments:

Post a Comment