Tuesday, September 7, 2010

Tip Mengelak Kebakaran Di Hari Raya

angan guna elektrik berlebihan, elak kebakaran menjelang hari raya

KOTA BHARU 6 Sept. - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan tenaga elektrik secara berlebihan dalam keghairahan mereka membuat persiapan dan merayakan Aidilfitri ini bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Osman berkata, berdasarkan rekod, kes-kes kebakaran sering mencatatkan peningkatan menjelang 1 Syawal.

"Lazimnya dua tiga hari sebelum hari raya, kes kebakaran kerap berlaku berbanding hari biasa dan salah satu puncanya adalah penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan.

"Saya minta orang ramai berpada-pada dalam penggunaan tenaga elektrik dan sentiasa memastikan aspek keselamatan semasa menggunakan barangan elektrik," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penerimaan Kuih Raya daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh di sini, semalam.

Azmi juga meminta semua pengguna jalan raya agar tidak bersikap mementingkan diri sebaliknya bersedia memberikan laluan kepada jentera bomba apabila berlaku kecemasan.

"Sebagaimana kita maklum, kepulangan lebih 600,000 perantau pada musim perayaan ini akan menyebabkan kesesakan teruk.

"Jentera bomba yang dihantar ke lokasi kemalangan atau kebakaran sudah pasti akan menghadapi kesukaran untuk tiba seawal mungkin.

"Jadi saya amat berharap agar masyarakat segera memberikan laluan apabila melihat jentera kami. Berilah kerjasama kepada pihak bomba dalam proses kami membantu orang yang dalam kesusahan," katanya.

Menurutnya, seramai 540 anggota bomba dan penyelamat di seluruh negeri sudah bersiap sedia menghadapi sebarang insiden sepanjang musim perayaan ini.

Beliau turut memberitahu, pihaknya telah memilih enam kawasan strategik di bandar ini untuk ditempatkan jentera bomba berikutan risiko kebakaran yang tinggi, antaranya berhampiran Masjid Muhammadi.

"Kami juga mempunyai pasukan bermotosikal 'Rapid Intervention Team' (RIT) yang akan melakukan rondaan di jalan raya dan memberi respons awal sekiranya berlaku kemalangan dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, Mohd. Fatmi berkata, pemberian kuih raya itu sebagai penghargaan kepada pasukan bomba dan penyelamat yang seakan-akan dilupakan berbanding pasukan keselamatan lain.

"Selalunya perhatian lebih ditumpukan kepada pasukan keselamatan seperti tentera di perbatasan, padahal bomba juga memainkan peranan amat penting dalam masyarakat," katanya.

No comments:

Post a Comment