Tuesday, September 7, 2010


'Belum sedia serah 5 adik'
Oleh D J Dolasoh

2010/09/07

GERIK: Sebaik kisah mereka dipaparkan akhbar ini, semalam, nasib lima beradik ditinggalkan ibu mereka menemui sinar baru apabila menerima banyak panggilan daripada masyarakat yang prihatin termasuk yang menyatakan hasrat mengambil semua mereka dijadikan anak angkat.


MENANTI...Syafiqah Abdullah (dua dari kanan) bersama adik-adiknya menunggu kepulangan ibu mereka yang menghilangkan diri, semalam.
Sehingga petang semalam, mereka menerima 13 panggilan yang semuanya berhasrat membela nasib lima beradik berkenaan selain dua daripadanya memberi sumbangan wang tunai. Abang sulung berlainan ibu kepada lima beradik berkenaan, Mohd Irwandi Awang Bakar, 24, berkata, seawal jam 8 pagi semalam, dia menerima 13 pemanggil yang semuanya adalah wanita dan mereka menyatakan hasrat untuk mengambil adik-adiknya untuk dipelihara sebagai anak angkat. Katanya, pemanggil berkenaan yang menghubunginya dari seluruh pelosok negara itu kebanyakannya mahu membela adik-adiknya yang kecil iaitu yang bongsu berusia lima tahun dan sehingga berusia 11 tahun.

“Saya terharu di atas simpati pemanggil itu yang masing-masing menghubungi saya dari Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Kelantan dan Kedah serta menyatakan kesungguhan mereka untuk mengambil adik-adik saya untuk dijadikan anak angkat.


“Terima kasih di atas hasrat semua mereka dan saya minta maaf banyak kerana setakat ini hati saya belum bersedia untuk menyerahkan adik-adik saya ini selagi saya sendiri boleh membelanya,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Bersia Lama, semalam.


Katanya, meskipun dia sukar untuk membela adik-adiknya itu kerana kemiskinan dan tiada pekerjaan tetap, dia berazam membela nasib mereka selagi terdaya.


Mohd Irwandi, seorang nelayan di Tasik Banding, Gerik yang berpendapatan antara RM400 dan RM700 sebulan turut mendapat simpati daripada dua pembaca yang mahu menderma kepada keluarganya terutama membeli pakaian raya lima adiknya yang masih belum dibeli.


Sehingga ini, katanya, seorang hamba Allah dari Kuala Lumpur menderma RM500 selain seorang lagi pemanggil dari Terengganu yang tidak dinyatakan jumlahnya. “Buat masa ini, saya mahu adik-adik saya diberi kemudahan untuk belajar bagi menjamin masa depan mereka. Saya buntu memikirkan hal ini terutama dua daripada mereka yang tidak dibenarkan bersekolah.


“Saya juga buntu memikirkan tempat tinggal kami selepas Aidilfitri ini kerana tidak mampu untuk menyewa rumah kerana sewa yang paling rendah dengan kadar sewaan di Gerik ialah RM250 sebulan,” katanya.


Katanya, beliau berharap pihak berkenaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal atau pihak tertentu dapat membantunya mendapatkan sebuah rumah kediaman meskipun kecil.


Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan sumbangan menerusi rumah beralamat 52, Kampung Bersia Lama, 33320 Gerik, Perak atau melalui nombor akaun CIMB Mohd Irwandi: 0810-0066633-52-0 atau hubungi talian 019-5437025.

No comments:

Post a Comment