Tuesday, September 7, 2010

Terbakar


RM10,000 terbakar
Oleh Mohd Fakri Awang Lah

2010/09/07

KUALA KRAI: Jeritan seorang kanak-kanak berusia enam tahun berjaya menyelamatkan dia serta adik perempuannya daripada rentung dalam kebakaran memusnahkan rumah mereka di Kampung Chuchuh Puteri B, dekat sini, semalam.


PILU...Zuhaimi dan anaknya melihat rumah mereka yang hangus dijilat api, semalam.
Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu disedari Mohd Fikri Hakim Mohd Zuhaimi, 6, yang ternampak percikan api di ruang tamu rumah mereka ketika menonton televisyen bersama adik perempuannya, Siti Hazar Zulaikha, 4.

Ketika itu, ibu mereka, Zakiah Che Soh, 37, menjemur kain di belakang rumah manakala bapa mereka, Mohd Zuhaimi Abdullah, 39, pula tiada di rumah kerana menoreh di kebun yang terletak beberapa kilometer dari rumah mereka. Keluarga empat beranak itu menganggarkan kerugian kira-kira RM120,000 apabila dua kereta dan dua motosikal milik mereka musnah dalam kebakaran itu.


Menurut Zakiah, dia terdengar anak lelakinya itu menjerit memberitahu ada api dalam rumah sebelum meluru masuk untuk menyelamatkan kedua-dua anaknya.


Katanya, dia turut terdengar letupan kecil sebelum kebakaran itu memusnahkan rumah mereka dalam masa kurang 10 minit.


“Saya yang terkejut mendengar jeritan anak terus bergegas masuk ke dalam rumah menyelamatkan anak.


“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya tidak sempat menyelamatkan barang berharga termasuk wang RM10,000 yang dipinjam dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya.


Dia sedih kerana banyak kelengkapan untuk menyambut Aidilfitri yang baru dibeli beberapa hari lalu turut hangus dalam kejadian itu.


“Saya dan suami sebenarnya bercadang ke bandar Kuala Krai petang ini (semalam) untuk membeli beberapa lagi barangan kelengkapan termasuk kasut raya anak selepas suami pulang, tetapi rancangan itu terpaksa dibatalkan akibat kejadian ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Che Mohd Nasir, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 9.49 pagi sebelum tiba di tempat kejadian setengah jam kemudian.


“Sepasukan 10 anggota bersama dua jentera dan dua van tiba di tempat kejadian dan melihat api sudah memusnahkan sebahagian rumah terbabit.


“Kami berjaya mengawal kebakaran 10 minit sejurus tiba di tempat kejadian. Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.” katanya.

No comments:

Post a Comment