Thursday, September 23, 2010

Meja Lipat Bahaya


Budak mati tersepit meja lipat

Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my
KUALA KANGSAR 22 Sept. - Seorang kanak-kanak berusia lima tahun meninggal dunia setelah lehernya tersepit pada kaki meja lipat ketika bermain di rumahnya di Kampung Talang Hilir, di sini, semalam.

Kejadian berlaku pukul 5.50 petang ketika mangsa, Muhammad Irfan Mohd. Fadtah (gambar) bermain bersendirian di belakang rumahnya.

Dia meninggal dunia pada pukul 1.10 pagi selepas dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk menerima rawatan.

Bapa mangsa, Mohd. Fadtah Sadhabil, 27, berkata, kejadian itu hanya disedari salah seorang bapa saudaranya yang membuat pemeriksaan tidak lama selepas anaknya tersepit.

Menurutnya, sebelum itu, ahli keluarga ada terdengar Muhammad Irfan menjerit tetapi menganggap jeritannya itu sebagai gurauan kerana anaknya itu memang suka menjerit semasa bermain.

"Kami sekeluarga menganggap ia perkara biasa dan tidak sangka yang jeritan itu sebenarnya dia meminta tolong.

"Sebaik sahaja menyedari anak saya tiba-tiba sahaja mendiamkan diri, salah seorang bapa saudaranya pergi memeriksa dan mendapati anak saya tersangkut di kaki meja lipat dalam keadaan tenat, malah tubuhnya kebiruan akibat tidak dapat bernafas.

"Saya kemudian segera menghantar Muhammad Irfan ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan sebelum dia dihantar ke HRPB," katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di sini hari ini.

Mohd. Fadtah berkata, Muhammad Irfan adalah anak kedua daripada tiga beradik dan merupakan kanak-kanak yang sangat aktif.

Sementara itu, ibu mangsa, Salmah Sapiay, 25, pula berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergiannya sebagai satu suratan takdir.

Katanya, jenazah Muhammad Irfan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Talang Hilir di sini pada pukul 11 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Ghaffar Muhamad ketika dihubungi memberitahu pihaknya tidak menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Menurut beliau, sekiranya kejadian itu berkaitan dengan unsur jenayah, pakar perubatan di hospital kebiasaannya akan memaklumkannya kepada polis.

No comments:

Post a Comment