Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Friday, September 3, 2010
18 cedera, dua parah
Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Muhammad Apendy Issahak
2010/09/03
GOMBAK: “Jalan terlalu licin, saya tak dapat kawal bas. Saya tak pandu laju kerana hujan lebat, tapi tiba-tiba saja terbabas dan merempuh penghadang jalan sebelum terbalik.
BANTU...anggota ketenteraman awam dan trafik membantu penumpang yang cedera.
“Saya cepat-cepat keluar bas ikut cermin depan yang pecah untuk selamatkan diri dan membantu penumpang lain,” kata pemandu bas persiaran, Atan Muhamad, 44, menceritakan detik cemas bas dari Genting Highlands ke Batu Pahat, Johor terbabas di Kilometer 31 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur dekat Terowong Genting Sempah, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, 18 daripada 27 penumpang cedera termasuk dua parah dan dirawat di Hospital Selayang.
Seorang penumpang cedera ringan, Manja Kasim, 28, berkata dia tidak sedar bagaimana kemalangan berlaku kerana tidur ketika kejadian.
“Saya hanya terjaga selepas terdengar dentuman kuat dan baru sedar bas sudah terbalik. Saya merangkak keluar menyelamatkan diri sebelum membantu penumpang lain.
“Semua penumpang dalam perjalanan pulang selepas bercuti di Genting Highlands,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, kejadian dipercayai berlaku kerana jalan licin akibat hujan lebat.
Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Selayang menggunakan enam ambulans manakala yang tidak cedera meneruskan perjalanan dengan menaiki bas lain.
“Tujuh penumpang patah dan retak tulang manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar. Antara yang parah ialah seorang wanita warga negara China dan seorang lelaki warga Indonesia.
“Mengikut rekod bas berkenaan membawa tujuh rakyat tempatan manakala bakinya warga asing,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment