Saturday, September 11, 2010

Tip Memandu 3K

ARKIB : 09/09/2010

Hayati 3 'K' sewaktu memandu

NOOR MOHAMADSHAKIL HAMEED
Padang Rengas, Perak
Umat Islam di negara ini bakal menyambut ketibaan 1 Syawal esok yang sekali gus menandakan bermulanya pesta balik kampung di kalangan anak perantau yang akan pulang beraya di kampung halaman.

Bagi membendung kadar kemalangan jalan raya di musim perayaan ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi melancarkan Ops Sikap yang dikenali sebagai Ops Sikap Ke-22 bermula 3 September yang lalu. Apa yang menyedihkan ialah Ops Sikap yang baru sahaja bermula beberapa hari sudahpun mengorbankan sebilangan nyawa yang mula merisaukan semua pihak.

Lantas timbul satu persolan yang penting, apakah Ops Sikap Ke-22 ini mampu mengurangkan kadar kemalangan atau sebaliknya bakal meningkatkan lagi statistik kemalangan, terutamanya kemalangan jiwa di musim perayaan yang besar seperti ini?

Semuanya terletak pada diri pemandu dan pengguna jalan raya itu sendiri sama ada menjayakan Ops Sikap kali ini ataupun menjadi sebahagian daripada statistiknya kelak. Hal ini adalah kerana ternyata segala kajian yang dilaksanakan selama ini secara terang menjurus kepada sikap kecuaian dan kelalaian pemandu itu sendiri sebagai punca utama kepada kemalangan yang berlaku selama ini.

Untuk itu, saya ingin mengajak semua pemandu dan pengguna jalan raya bersama-sama menghayati formula tiga 'K' yang telah diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini dalam Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Sempena musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2010.

Tiga 'K' yang disyorkan oleh beliau ialah kelajuan, kesabaran dan kecergasan. Ketiga-tiga 'K' ini dilihat mempunyai hubungan yang sangat signifikan dengan sikap kecuaian dan kelalaian yang ada pada para pemandu selama ini.

Misalnya, sikap mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan keselamatan diri dan juga orang lain semasa berada di atas jalan raya mendorong para pemandu memandu kenderaan masing-masing melebihi had laju yang telah ditetapkan yang akhirnya mengundang pelbagai kecelakaan yang tidak diingini. Keinginan untuk sampai ke destinasi dengan segera dan cepat menyebabkan kita seringkali lupa kepada had laju yang telah ditetapkan.

Semasa berada di atas jalan raya juga, pemandu haruslah mengutamakan dan menyematkan elemen kesabaran dalam diri masing-masing. Bukankah dari kecil lagi kita telah diajar bahawa sabar itu separuh dari iman? Maka tiada salahnya kalau kita bertolak ansur mahupun sedikit mengalah dan lebih berhemah semasa memandu asalkan masing-masing selamat tiba ke destinasi.

Begitu juga halnnya dengan elemen kecergasan di mana ramai di kalangan kita gemar untuk memandu atau memulakan perjalanan pada waktu malam atas alasan lebih tenang dan kurang kenderaan. Perkara itu mungkin ada kebenarannya tetapi pada masa yang sama kita gagal untuk membuat persiapan yang sewajarnya sebelum memulakan pemanduan pada waktu malam seperti tidur dan mendapatkan rehat yang secukupnya.

Minda yang penat dan letih selalunya akan menyebabkan kita berasa mengantuk dan kurang cergas untuk memandu terutamanya jika ianya melibatkan pemanduan yang jauh. Akibatnya ramai yang terlelap semasa memandu yang akhirnya membawa kepada tragedi yang menyedihkan.

Justeru kita harap agar semua pemandu akan berusaha dan bertekad untuk mengurangkan kadar kelajuan masing-masing, paling tidak pun mematuhi had laju yang telah ditetapkan, lebih bersabar dan berhemah semasa memandu dan seterusnya memandu dalam keadaan yang lebih cergas.

Ingatlah kata-kata keramat yang sering diungkapkan 'seminit tidak membawa erti jika ia berakhir dengan tragedi'. Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaga keselamatan diri dan juga keselamatan pengguna jalan raya yang lain agar Aidilfitri kali ini kita dapat raikan dalam suasana yang lebih meriah dan bukannya menjadi majlis ratapan seluruh kaum keluarga.

No comments:

Post a Comment