Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Tuesday, November 9, 2010
Tegur Kena Tetak
Sapa pemuda, buruh parah ditetak
Mohammad Salleh dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 8 Nov. - Seorang buruh pastinya tidak menyangka tindakannya menyapa pemuda di kampungnya yang sedang memancing berakhir dengan tragedi apabila dia ditetak lelaki itu.
Kejadian berlaku pukul 10.30 malam kelmarin, ketika mangsa melihat suspek di sebuah longkang besar berhampiran Simpang Empat Tok Meknyah, Tumpat.
Semasa insiden itu, mangsa, Mohammad Salleh, 51, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menonton siaran ulangan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di salah sebuah kedai kopi berdekatan.
Menurut anak Mohammad, Siti Hajariah, 21, ketika melalui longkang itu, bapanya melihat seorang lelaki berusia 20-an dalam keadaan mencurigakan lalu memberhentikan kereta Proton Wira miliknya.
"Ayah kemudian menghampiri pemuda itu untuk mengenal pasti identitinya lalu menyapa lelaki tersebut.
"Namun tanpa diduga berlaku pertengkaran antara mereka sehingga menyebabkan pemuda tersebut tidak berpuas hati lalu pulang dan mengambil parang.
"Dia (suspek) lalu menetak ayah di kepala selain ditikam pada bahagian rusuk kanan," katanya ketika ditemui di bilik pembedahan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini hari ini.
Menurut Siti Hajariah, bapanya pulang ke rumah dengan memandu sendiri kereta dalam keadaan berlumuran darah, sejauh kira-kira 600 meter dari tempat kejadian.
"Selepas kejadian (ditetak) ayah masih pandu sendiri kereta pulang ke rumah, dia stabil pada masa itu dan boleh cerita tentang kejadian. Kami kemudian menghantarnya ke hospital.
"Ayah saya mendakwa, tiada orang lain menyaksikan kejadian tersebut kecuali isteri suspek yang turut membantu suaminya memukul ayah," katanya.
Katanya, berikutan kejadian itu bapanya telah dihantar ke Hospital Tumpat sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada malam yang sama.
"Hari ini ayah dihantar ke sini (HUSM) untuk pembedahan," jelasnya.
Siti Hajariah memberitahu, sehingga kini bapanya berada dalam keadaan stabil tetapi kelihatan agak pucat ekoran pendarahan yang banyak daripada insiden tersebut.
Katanya, keluarganya telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Khalid Munap ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan tersebut dan memberitahu kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment