Saturday, November 6, 2010

Merapi



Letusan Merapi terkuat semalam


2010/11/06

« sebelum selepas »

MAYAT seorang mangsa letusan terbaru Merapi terbaring ketika seorang anggota penyelamat tiba di Argomulyo, Yogyakarta, Indonesia, semalam.



Semburan gas panas setinggi 8,000 meter, 78 mangsa maut termasuk kanak-kanak

SLEMAN: Merapi mencatatkan letusan paling kuat awal pagi semalam, dengan semburan gas panas setinggi 8,000 meter ke udara, selain menghasilkan hujan abu volkanik, hujan pasir serta kerikil sehingga ke Yogyakarta, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari gunung berapi itu.

Gas panas yang disembur lebih jauh dari yang dijangkakan itu menyebabkan rumah di pinggir zon bahaya terbakar, lalu mencetuskan pemindahan lebih ramai penduduk dan menyaksikan jumlah kematian meningkat melebihi 100 orang sejak gunung berapi itu mula meletus 26 Oktober lalu.
Kejadian itu semalam mengakibatkan sekurang-kurangnya 78 maut, menjadikan jumlah kematian 122 orang.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional berkata dalam laman webnya, mangsa kematian terbaru itu dilaporkan di kawasan perkampungan Bronggang, 15 kilometer dari gunung berapi itu.

Laporan awal menyatakan sekurang-kurangnya 58 orang, termasuk tujuh kanak-kanak kecil, kebanyakannya dari kawasan Cangkringan di daerah Sleman, mati semalam akibat melecur di seluruh badan terkena abu volkanik, manakala 66 lagi cedera dengan lebih 40 peratus kesan lecuran.

Berpuluh ribu penduduk dipindahkan selepas pihak berkuasa meningkatkan radius zon bahaya kepada 20 kilometer di luar puncak Merapi, termasuk penduduk Sleman yang sering terdedah kepada ancaman gas panas.
Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta pula ditutup semalam berikutan ditimpa abu volkanik, sementara penerbangan ke destinasi itu serta ke Solo dibatalkan.

Sementara itu, lebih 500 pelajar Malaysia di Yogyakarta, Magelang dan Solo kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk dibawa pulang.

Selepas 10 hari meletus, Merapi sudah memaksa perpindahan lebih 75,000 penduduk yang tinggal di sekitar gunung berkenaan.

Rizal, seorang doktor forensik dari unit pengecaman polis Yogyakarta dilaporkan memberitahu Metro TV mayat yang terbakar teruk dibawa ke Hospital Sardjito semalam.

“Kemungkinan angka kematian akan meningkat ketika kami masih meneruskan pencarian mangsa,” kata Rizal.

Sutopo Purwo Nugroho, pengarah pengurangan risiko bencana di Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan berkata, sekurang-kurangnya 66 orang cedera berikutan letupan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan yang cedera daripada bencana alam itu meningkat kepada 185 orang.

Kepulan debu kelihatan sekurang-kurangnya 4 kilometer dari atas kawah Gunung Merapi ketika pihak berkuasa memindahkan perkampungan dalam sekitar lingkungan 20 km dari gunung berapi terbabit, kata pakar gunung berapi tempatan, Surono. – Reuters/BERNAMA

No comments:

Post a Comment